POLITIK > BERITA

PRK Lamag: Mohd Ismail Mahu Perkasa Pengkalan Bukit Garam, Tingkatkan Ekonomi Setempat

15/01/2026 04:58 PM

Oleh Rohana Nasrah

KINABATANGAN, 15 Jan (Bernama) -- Memperkasa sektor pelancongan dan mewujudkan pusat kebudayaan berasaskan nilai sejarah serta identiti unik di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag menjadi antara agenda utama Mohd Ismail Ayob sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Lamag itu berkata, pekan Pengkalan Bukit Garam perlu ditransformasikan daripada sekadar tempat persinggahan kepada enjin pertumbuhan ekonomi yang mampu memberi limpahan rezeki kepada penduduk setempat.

“Pada masa ini, para pelancong hanya tertumpu di Lokan dan Tanjung Bulat, tetapi kita mahu di pekan Pengkalan Bukit Garam ini dijadikan sebagai pusat pelancongan dan ada pusat kebudayaan supaya mereka boleh turut singgah di sini.

“Pekan Pengkalan Bukit Garam adalah pusat pentadbiran asal sebelum berpindah ke kawasan yang ada pada hari ini. Tempat ini ada nilai sejarah tersendiri dan wajar dibangunkan untuk pelancongan,” katanya ketika ditemu bual Bernama baru-baru ini.

Mohd Ismail, 44, yang lebih mesra disapa Miha, berkata pekan Pengkalan Bukit Garam dahulunya merupakan nadi ekonomi dan pusat pentadbiran pertama daerah ini sehingga sekitar 1980-an, sebelum peranan tersebut berpindah ke kawasan lebih sistematik dan strategik berhampiran jalan utama.

Terletak kira-kira 18 kilometer dari pekan Kota Kinabatangan, pekan Pengkalan Bukit Garam masih menjadi pintu masuk utama pelancong tempatan dan antarabangsa ke pusat ekopelancongan berhampiran, khususnya melalui perkhidmatan bot di tebing Sungai Kinabatangan.

Menurut Mohd Ismail, inisiatif itu bertujuan memaksimumkan manfaat kehadiran pelancong yang bukan hanya singgah di jeti pekan, malah menggalakkan mereka menginap di inap desa dan menyertai pesta kebudayaan.

Katanya, langkah itu secara langsung membuka peluang pekerjaan serta mengetengahkan adat resam dan makanan tradisional masyarakat Orang Sungai dan komuniti lain di DUN Lamag.

Dalam aspek kebudayaan, Mohd Ismail berkata pusat kebudayaan yang dicadangkan akan menjadi lokasi utama menganjurkan pelbagai festival budaya, sekali gus menjadi wadah penyatuan rakyat pelbagai kaum.

Selain itu, beliau menegaskan kemudahan prasarana sukan, termasuk mini kompleks untuk kegunaan belia, juga menjadi agenda penting bagi memperkukuh pembangunan generasi muda di kawasan itu.

Mohd Ismail berkata kemudahan sukan yang kondusif amat penting bagi mencungkil dan mengembangkan bakat belia, selain usaha menambah baik kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air bersih dan elektrik di beberapa lokaliti yang masih berdepan kekangan, demi meningkatkan kualiti hidup penduduk.

Dalam bidang pendidikan, beliau berhasrat menangani isu sekolah daif di DUN Lamag secara holistik, termasuk cadangan pemindahan sekolah seperti di Kampung Balat ke lokasi baharu yang lebih selamat, bagi mengelakkan murid terpaksa menyeberangi sungai menggunakan bot setiap hari.

PRK DUN Lamag menyaksikan Mohd Ismail dicabar oleh Mazliwati Abdul Malek daripada Warisan. Sementara itu, PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas). PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandang, Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi kedua-dua PRK pada 24 Jan manakala pengundian awal pada 20 Jan.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan