POLITIK > BERITA

Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa Teliti Kemasukan Semula Ahli, "En Bloc" - Ahmad Zahid

16/01/2026 12:48 PM

KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- UMNO akan menubuhkan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa yang akan berperanan dalam meneliti dan menerima kemasukan semula serta penyertaan mana-mana individu atau en bloc ke dalam parti itu.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pintu untuk mana-mana pihak kembali menyertai UMNO sentiasa terbuka luas.

“Kita bukan parti elit, UMNO lahir daripada keringat rakyat dan inilah juga rumah untuk kita bertaut kembali, saat ada yang hilang arah, saat ada yang semakin rebah … kembalilah … bak kata pepatah, 'sesat di hujung jalan, kembali ke pangkal jalan'.

“UMNO ini rumah bangsa … UMNO ajar kita erti perjuangan, justeru bagi menyambut kembali kepulangan saudara-saudara kita, adik-beradik kita, ahli keluarga kita, jawatankuasa ini ditubuhkan,” katanya pada ucapan dasar Presiden bersempena dengan Perhimpunan Agung UMNO 2025 hari ini.

Pengumuman Ahmad Zahid itu kemudian disambut dengan sorakan perwakilan UMNO yang memenuhi  Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini.

Dalam ucapan kira-kira sejam itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri turut menggariskan tiga usaha pembugaran upaya politik UMNO melibatkan pemulihan keyakinan dan sokongan orang Melayu, perubahan budaya fikir dan pola bekerja serta penjenamaan semula dalam kerangka kerjasama politik.

Beliau berkata dalam usaha untuk memulihkan sokongan orang Melayu terhadap parti itu, UMNO perlu terlebih dahulu membetulkan naratif parti berkenaan di mata rakyat.

“Hal ini merupakan proses menyeluruh untuk mengembalikan keyakinan bagi membaiki persepsi, memulihkan kredibiliti dan menampilkan UMNO sebagai wadah perjuangan Melayu yang relevan, segar dan berwibawa,” katanya.

Bagi tujuan berkenaan, Ahmad Zahid berkata UMNO akan menganjurkan Musyawarah Nasional bagi membicarakan agenda politik kaum Melayu dengan merangkul semua pertubuhan, pakar, ahli akademik dan profesional Melayu.

Dalam mendepani perubahan budaya fikir dan pola bekerja, beliau berkata UMNO mesti bersedia menjadi parti yang sentiasa terbuka terhadap penyertaan dan idea baharu walaupun datangnya daripada luar kerangka parti.

Ahmad Zahid berkata realiti semasa juga menuntut UMNO melaksanakan penjenamaan semula dalam kerangka kerjasama politik, melibatkan penilaian semula kepada bentuk kerjasama politik yang sesuai termasuk mengkaji semula bentuk gabungan politik Barisan Nasional.

Presiden UMNO itu turut menggariskan tiga cabaran realiti politik yang dihadapi UMNO ketika ini, iaitu politik rentas gabungan kepartian, dinamika politik Melayu dan cabaran identiti serta krisis keyakinan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan