POLITIK > BERITA

Kempen Rumah Ke Rumah, Ceramah Kelompok Masih Relevan - Pengundi Kinabatangan

16/01/2026 05:21 PM

Oleh Suraidah Roslan

KINABATANGAN, 16 Jan (Bernama) -- Pengundi di Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag menyifatkan kempen dari rumah ke rumah dan ceramah kelompok masih berkesan dan relevan dalam menarik sokongan.

Berbanding ceramah mega, pendekatan sedemikian membolehkan mereka lebih dekat dan mengenali calon-calon yang bertanding.

Penyelia Perkhidmatan Sokongan Hospital Kinabatangan Kasnoor Armin, 49, berkata kempen secara bersemuka dengan pengundi memberikan ruang kepada mereka untuk menyuarakan secara langsung permasalahan yang dihadapi, di samping memahami dengan lebih jelas misi dan visi calon untuk kawasan berkenaan.

Kasnoor berkata selain kempen bersemuka, pendekatan kempen secara dalam talian juga wajar dimanfaatkan bagi membolehkan pengundi yang tinggal jauh mengikuti perkembangan serta tawaran yang dikemukakan oleh calon yang bertanding.

“Kempen dalam talian memainkan peranan penting dalam menghubungkan anak tempatan yang bertugas di luar daerah seperti di Kota Kinabalu dan juga di Semenanjung mengikuti perkembangan semasa di tempat mereka serta mengenali profil calon yang bertanding.

“Dalam era moden sebegini, media digital menjadi keperluan penting bagi memastikan mesej dapat disampaikan kepada setiap lapisan masyarakat tanpa terhalang oleh kekangan geografi, terutamanya bagi penduduk pedalaman yang sukar menghadiri ceramah fizikal,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.

Setakat ini, perjalanan kempen yang memasuki hari ketujuh hari ini, setiap calon bertanding dilihat masih perlahan dengan menyenaraikan satu hingga lima program sehari berikutan faktor geografi yang memerlukan masa perjalanan panjang untuk sampai ke sesuatu kawasan sama ada melalui jalan darat atau sungai, malah suasana perang bendera semasa PRK juga tidak semeriah Pilihan Raya Negeri Sabah pada 29 Nov tahun lepas.

Sementara itu, pandangan Kasnoor turut disokong pesara kerajaan, Kamsah Sulaiman, 68, yang menyifatkan pertemuan secara bersemuka sebagai kaedah paling berkesan kerana membuka ruang kepada interaksi dari hati ke hati.

“Saya menyarankan agar kempen secara berkelompok diteruskan kerana tetap relevan dalam menghimpunkan komuniti, terutamanya apabila melibatkan kehadiran pucuk pemimpin tertinggi parti untuk menyampaikan hala tuju pembangunan kawasan,” katanya.

Penduduk Kampung Sungai Lokan, Dini Ag Kecil, 26, berkata menerusi kempen rumah ke rumah, pendekatan itu membolehkan calon mendengar secara langsung pandangan dan idea pengundi muda mengenai pembangunan kawasan, manakala peniaga buah Abdul Malik Yussof, 59, pula berkata masyarakat kampung lebih selesa dengan corak kempen rumah ke rumah walaupun bersifat tradisional.

“Bagi orang lama seperti kami, kami lebih menghargai calon yang boleh berkunjung rumah ke rumah untuk menyantuni rakyat,” kata Abdul Malik.

PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan saingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas), manakala saingan satu lawan satu di DUN Lamag antara Mohd Ismail Ayob (BN) dengan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 24 Jan ini, manakala 20 Jan sebagai undi awal.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan