POLITIK > BERITA

UMNO Cadang UPSR, PT3 Dikembalikan - Ahmad Zahid

17/01/2026 07:42 PM

KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- UMNO mencadangkan agar peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dikembalikan dalam sistem pendidikan negara.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu telah memberi mandat kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, yang juga Menteri Pendidikan Tinggi, untuk membawa usul berkenaan kepada kerajaan.

“Kita mahu kedua-dua peperiksaan ini dilaksanakan semula dan bagi tujuan itu, Zambry akan diberi tanggungjawab untuk membawa mandat ini,” katanya dalam ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri, turut menyatakan saranan UMNO agar kerajaan mewujudkan satu akta perlindungan guru di negara ini bagi memastikan warga pendidik dilindungi ketika melaksanakan disiplin terhadap pelajar.

“Ini juga berkaitan beban tugas dan kebajikan guru-guru, kerana pada zaman dahulu, kalau murid kena rotan dengan guru, balik rumah, bila anak-anak mengadu kepada ibu bapa, mereka ditambah lagi rotan, berbeza dengan sekarang,” katanya.

“Sekarang, bila anak-anak mengadu kena rotan dengan guru, ibu bapa akan datang ke sekolah, tanya di mana guru yang merotan anak mereka, malah ada yang marah atau membuat laporan,” katanya.

Bagi pendidikan tinggi, Ahmad Zahid berkata, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah telah meminta Naib Canselor Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) memulakan Program for Executive Development in Management untuk graduan bagi menangani masalah ketidaksepadanan antara pembelajaran dan pekerjaan.

Beliau berkata, dengan kemahiran yang diperoleh melalui program berkenaan, mereka boleh diambil bekerja oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau mana-mana syarikat di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA).

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan