KINABATANGAN, 18 Jan (Bernama) -- Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan yang memasuki fasa akhir menyaksikan Barisan Nasional (BN) mempergiat gerak kerja secara lebih agresif bagi mempertahankan kerusi berkenaan.
BN turut menerima sokongan padu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) apabila jentera gabungan itu digerakkan sepenuhnya membantu kempen, selaras dengan semangat kerjasama politik antara kedua-dua pihak.
Ketua GRS Bahagian Sukau Datuk Juhari Janan berkata penglibatan GRS dalam kempen yang memasuki hari kesembilan hari ini dilaksanakan mengikut arahan Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor supaya bahagian Sukau, Lamag dan Kuamut turun padang bagi memastikan kemenangan calon BN.
“Kerjasama GRS dan BN dalam PRK ini berlandaskan komitmen gabungan serta sebagai tanda membalas sokongan BN kepada GRS ketika pembentukan Kerajaan Negeri Sabah sebelum ini,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Beliau berkata jentera GRS di peringkat akar umbi, termasuk Jawatankuasa Gerak Kerja (JKG) bahagian, sudah digerakkan bagi melaksanakan kempen bersemuka dan siri ceramah, khususnya melibatkan penyokong GRS di Kinabatangan termasuk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag yang turut berdepan PRK.
Di Sukau, katanya, GRS mempunyai kira-kira 7,400 ahli dengan lebih 6,200 daripadanya berdaftar sebagai pengundi.
“Saya berharap peratus keluar mengundi pada PRK kali ini bukan sahaja dapat dikekalkan, malah meningkat,” katanya.
Parlimen Kinabatangan merangkumi tiga DUN iaitu Sukau, Lamag dan Kuamut dengan keseluruhan 48,722 pengundi berdaftar, manakala DUN Lamag mempunyai 13,899 pengundi.
Dalam perkembangan sama, Juhari mengakui cabaran daripada calon Parti Warisan tidak boleh dipandang ringan memandangkan calon berkenaan berpengalaman dan mempunyai pengaruh tersendiri, sekali gus menuntut kerjasama GRS dan BN diperkukuh terutama menjelang tempoh akhir kempen.
PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan calon BN, Mohd Kurniawan Naim Moktar, berdepan saingan Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas).
Sementara itu, PRK DUN Lamag menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).
Kedua-dua PRK diadakan susulan kematian penyandang Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 24 Jan, manakala pengundian awal pada 20 Jan ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial