POLITIK > BERITA

PRK Kinabatangan: 83.07 Peratus Pengundi Awal Selesai Tunai Tanggungjawab Setakat 12 Tengah Hari

20/01/2026 01:36 PM

KINABATANGAN, 20 Jan (Bernama) -- Proses mengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan yang berlangsung hari ini mencatatkan peratusan keluar mengundi sebanyak 83.07 peratus atau 157 anggota polis setakat 12 tengah hari.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan bagi PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pula, sebanyak 147 anggota polis atau 78.19 peratus telah menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam tempoh yang sama.

Proses pengundian bagi memilih Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) baharu di situ berlangsung di Teratak Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan melibatkan 196 anggota polis dengan 189 daripadanya mengundi secara fizikal, manakala tujuh anggota lagi secara undi pos.

PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan saingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar mewakili Barisan Nasional (BN) Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas), manakala di DUN Lamag, pertandingan satu lawan satu berlangsung antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.

Parlimen Kinabatangan merangkumi tiga DUN iaitu Sukau, Lamag dan Kuamut dengan keseluruhan 48,722 pengundi berdaftar, manakala DUN Lamag mempunyai 13,899 pengundi.

SPR menetapkan Sabtu ini sebagai hari pengundian bagi kedua-dua PRK berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan