KINABATANGAN, 22 Jan (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan Mohd Kurniawan Naim Moktar hari ini melancarkan manifesto yang mengandungi 10 janji untuk kesejahteraan rakyat dan pembangunan kawasan itu.
Menerusi manifesto dimuat naik di Facebook rasminya, beliau berjanji akan menubuhkan Majlis Pembangunan Strategik Kinabatangan (MPSK) bagi merancang dan memantau pelan perancangan pembangunan Parlimen Kinabatangan, selain wakil pembangkang juga akan dilantik bagi proses semak dan imbang.
Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan itu turut berjanji akan membentangkan laporan kewangan setiap enam bulan, selain mewujudkan pusat pengumpulan hasil laut dan sungai bagi meningkatkan pendapatan nelayan serta menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam di Kinabatangan.
Turut terkandung dalam manifesto itu ialah penubuhan Yayasan Kinabatangan (Yakin) bagi bantuan pendidikan, kebajikan dan kecemasan; membina hab pelancongan dan kebudayaan; mentransformasikan Pusat Daerah Mengundi (PDM) sebagai Laman Stay Belia; memperkenalkan program Untung Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET); pelaksanaan e-tuiysen percuma serta penyediaan pemeriksaan kesihatan percuma secara berkala.
“Hari ini saya tidak datang membawa janji yang indah di bibir. Saya datang membawa pelan kerja yang boleh diaudit, dipantau dan dipersoalkan oleh rakyat. Saya mungkin muda, mungkin baru tetapi saya yakin, keikhlasan yang disusun dengan perancangan yang jelas akan mengalahkan janji kosong yang diulang-ulang.
“Saya mahu Kinabatangan bergerak ke hadapan dengan kerja, bukan retorik. Ambillah saya bekerja, tegurlah saya jika tersasar dan nilailah saya melalui hasil,” katanya.
PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan saingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim, Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas), manakala bagi DUN Lamag pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).
Pilihan raya kecil itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Sabtu ini sebagai hari pengundian bagi kedua-dua PRK berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial