POLITIK > BERITA

PRK Kinabatangan, Lamag: 48,526 Pengundi Tunai Tanggungjawab Esok

23/01/2026 08:46 AM

KINABATANGAN, 23 Jan (Bernama) -- Sebanyak 48,526 pengundi akan menunaikan tanggungjawab untuk memilih wakil rakyat baharu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan 13,703 pengundi akan memilih bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, esok.

Kesemua 36 pusat mengundi yang mengandungi 117 tempat mengundi atau saluran itu akan dibuka dari 7.30 pagi hingga 5.30 petang, kecuali 25 pusat mengundi ditutup seawal 12 tengah hari hingga 5 petang.

Kesemua 25 pusat pengundian itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Inarad dan SK Sri Ganda, masing-masing ditutup pada 12 tengah hari, diikuti SK Kuamut, SK Masaum, SK Sangau, SK Tundun Bohangin, SK Litang serta SK Ladang Tomanggong, pada 1 tengah hari.

Pusat pengundian di SK Keramuak, SK Sungai Lokan, Dewan Serbaguna Kampung Balat Kinabatangan, SK Bilit dan SK Abai ditutup pada 2 petang, manakala 3 petang melibatkan SK Penangah, SK Minusuh, SK Saguon, SK Tanjong Aru, SK Tanjong Batu dan SK Mumiang.

SK Pulau Lubukan adalah satu-satunya pusat pengundian yang ditutup pada 4 petang, diikuti  SK Menanam, SK Sogo-Sogo, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Entilibon, SK Pekan Tongod dan SK Batu Puteh, 5 petang.

Proses memilih Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu tamat selepas 11 pusat pengundian terakhir ditutup pada 5.30 petang melibatkan SK Buang Sayang, SK Bukit Garam, SMK Bukit Garam, SMK Bukit Garam II, SK Bukit Garam II, SK Kota Kinabatangan, SK Rancangan Suan Lamba,  Dewan Serbaguna Kampung Gomantong Jaya, SK Paris, SMK Paris dan SK Sukau.

Parlimen Kinabatangan memiliki tiga DUN di bawahnya iaitu Sukau, Lamag dan Kuamut dan proses penjumlahan undi akan berlangsung di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi, iaitu di Dewan Sri Lamag.

Pada Selasa lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan sebanyak 93 peratus atau 176 anggota polis telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal bagi kedua-dua PRK berkenaan.

Kempen PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag telah memasuki hari terakhir hari ini dan akan tamat pada 11.59 malam ini.

PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan saingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar mewakili Barisan Nasional (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas), manakala bagi DUN Lamag pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.

Kesemua lima calon akan mengundi pada PRK berkenaan dengan  Mohd Kurniawan Naim akan mengundi di SK Bilit, Saddi (SK Batu Puteh),  Goldam (SK Pekan Tongod), Mohd Ismail (SK Bukit Garam II) dan Mazliwati di SK Buang Sayang.

Pada  Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Bung Moktar mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan selepas memperoleh majoriti 4,330 undi dengan menewaskan pencabarnya Mazliwati daripada Warisan.

Bung Moktar turut melakar kemenangan dalam saingan lima penjuru di DUN Lamag pada Pilihan Raya Negeri Sabah, 29 Nov lepas dengan memperoleh majoriti 153 undi.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca baik pada sebelah pagi esok manakala ribut petir dijangka melanda pada petang dan hujan sebelah malam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan