KINABATANGAN, 24 Jan (Bernama) -- Proses pembukaan sampul undi pos bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan bermula 2 petang ini, membabitkan pengundi daripada kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sukau.
Proses berkenaan berlangsung di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kinabatangan, di sini dan disaksikan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), ejen calon serta pemerhati pilihan raya.
Berdasarkan siaran langsung SPR di Facebook Akademi Pilihan Raya, sebanyak 251 sampul undi pos akan dibuka dalam proses berkenaan.
Sebelum ini, SPR memaklumkan sebanyak 446 kertas undi pos dikeluarkan kepada individu yang berhak untuk mengundi secara pos bagi PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag.
Parlimen Kinabatangan memiliki sebanyak 48,282 pengundi biasa yang layak mengundi pada hari ini, manakala DUN Lamag mempunyai 13,515 pengundi.
Pada Selasa lepas, SPR memaklumkan sebanyak 93 peratus atau 176 anggota polis telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal bagi kedua-dua PRK berkenaan yang berlangsung di Teratak Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan.
PRK Parlimen Kinabatangan yang menyaksikan saingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar mewakili Barisan Nasional (BN) Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas), manakala bagi DUN Lamag, pertandingan satu lawan satu membabitkan Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan), diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial