POLITIK > BERITA

PRK Kinabatangan: 50.37 Peratus Keluar Mengundi Setakat 3 Petang - SPR

24/01/2026 04:31 PM

KINABATANGAN, 24 Jan (Bernama) -- Sebanyak 50.37 peratus atau 24,322 pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan telah menunaikan tanggungjawab masing-masing setakat 3 petang ini, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Mengikut pecahan kawasan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag mencatat peratusan keluar mengundi tertinggi iaitu 55.16 peratus, diikuti DUN Sukau (51.27 peratus) dan DUN Kuamut (46.02 peratus).

Kesemua 36 pusat mengundi yang menempatkan 117 saluran dibuka pada 7.30 pagi tadi, membolehkan 48,282 pengundi berdaftar melaksanakan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu. Pusat mengundi berkenaan akan ditutup secara berperingkat hingga 5.30 petang mengikut jadual yang ditetapkan.

PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar mewakili Barisan Nasional (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas), manakala bagi DUN Lamag, pertandingan satu lawan satu membabitkan Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan