POLITIK > BERITA

PRN Johor: Pakatan Harapan Mula Bincang Pembahagian Kerusi - Teo

07/02/2026 01:15 PM

KULAI, 7 Feb (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) Johor telah mula mengadakan rundingan dan perbincangan awal mengenai pembahagian kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengerusi DAP Johor Teo Nie Ching berkata rundingan berkenaan setakat ini hanya melibatkan parti dalam gabungan PH.

“Saya rasa kita tidak boleh menolak kemungkinan untuk menghadapi PRN Johor pada tahun ini. Oleh itu, PH Johor telah bermesyuarat dan kami sedang dalam peringkat membincangkan pembahagian kerusi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Next Gen Luxury Coaches di sini hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Komunikasi berkata perbincangan pembahagian kerusi dalam PH akan diselesaikan terlebih dahulu sebelum melihat peluang atau kemungkinan kerjasama dengan pihak lain.

Timbalan Pengerusi PH Johor itu juga berkata kelazimannya rundingan politik akan bermula dalam kalangan gabungan terlebih dahulu sebelum diperluas kepada parti lain jika perlu. 

Teo turut menzahirkan keyakinan bahawa semua parti politik kini juga sedang membuat persediaan masing-masing bagi menghadapi PRN dan sekiranya belum bermula, persiapan itu dijangka dimulakan dalam masa terdekat.

Pada PRN lepas, PH memenangi 12 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Barisan Nasional (40), Perikatan Nasional (tiga) dan MUDA sebanyak satu kerusi.

DAP memenangi 10 kerusi, manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah), dan MUDA masing-masing meraih satu kerusi.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan