POLITIK > BERITA

PKR Kedah Perkukuh Struktur Kepimpinan, Tekad Jadi Kubu Terbaik Parti

14/02/2026 01:53 PM

ALOR SETAR, 14 Feb (Bernama) -- Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah akan memberi tumpuan kepada pengukuhan struktur kepimpinan dan kesiapsiagaan jentera, di samping menyatukan pengalaman pimpinan terdahulu dengan semangat generasi baharu bagi memastikan gerak kerja yang berkesan serta berterusan.

Pengarah Komunikasi MPN PKR Kedah Tunku Nashrul Abaidah berkata selari dengan kedudukan parti yang semakin mantap dan tersusun, usaha mengembalikan peranan negeri itu sebagai benteng penting akan digerakkan secara lebih berfokus melalui perancangan strategik, pengukuhan organisasi serta kesatuan pimpinan dan anggota di setiap cabang.

"Pendekatan politik Keadilan (PKR) Kedah akan terus berteraskan fakta, penyelesaian yang jelas serta pembelaan terhadap kepentingan dan keperluan rakyat.

"Keutamaan parti adalah memastikan Keadilan kekal dekat dengan rakyat melalui kefahaman terhadap realiti setempat serta perjuangan berterusan ke arah tadbir urus yang adil, telus dan berwibawa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tunku Nashrul berkata seiring dengan hala tuju Presiden Parti Datuk Seri Anwar Ibrahim, PKR Kedah akan terus menyantuni rakyat tanpa mengira latar belakang, memperkukuh hubungan akar umbi serta menampilkan kepimpinan berprinsip dalam memikul amanah kepada negeri.

Beliau berkata PKR Kedah beriltizam untuk tampil sebagai alternatif terbaik kepada rakyat negeri ini dengan membawa politik berteraskan penyelesaian, kepimpinan berintegriti serta tadbir urus yang adil dan berwibawa demi kesejahteraan rakyat keseluruhannya.

Semalam, ketika berucap pada Konvensyen Keadilan Kedah, Anwar mahu negeri itu menjadi contoh kubu terbaik kepada semua pergerakan parti itu di negeri lain.

Anwar berkata beliau memberikan kepercayaan kepada kepimpinan parti pada peringkat cabang dan ranting yang merupakan asas kekuatan PKR serta mahu semua pihak bekerja secara berpasukan dengan baik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan