SEREMBAN, 24 Mei (Bernama) -- Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anthony Loke berkata gabungan itu mempunyai keupayaan dan kekuatan politik di Negeri Sembilan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), tanpa perlu bergantung kepada mana-mana pihak lain.
Beliau berkata PH mampu mentadbir secara sendiri di negeri itu sejak 2018 hingga 2023 meskipun berdepan pelbagai cabaran.
“Ketika berlaku Langkah Sheraton di peringkat pusat pada 2020, Negeri Sembilan tetap bertahan. Dalam tempoh COVID-19 pun kita kekal mentadbir secara solo walaupun hanya mempunyai 20 kerusi dan kerajaan tidak jatuh.
“Itu membuktikan PH mempunyai kekuatan sendiri dan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran kita tetap kukuh,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Hi-Tea Bersama Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 peringkat Parlimen Seremban di sini hari ini.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PH membentuk kerajaan di Negeri Sembilan selepas memenangi 20 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Setiausaha Agung DAP itu berkata kekuatan dalaman, kestabilan pentadbiran serta rekod perkhidmatan kepada rakyat perlu terus menjadi asas utama PH dalam mendepani cabaran politik akan datang.
Dalam pada itu, Loke mengulangi bahawa anggota PH Negeri Sembilan perlu bersedia menghadapi kemungkinan pilihan raya negeri (PRN) serentak bersama Johor atau Melaka, sekiranya dua negeri berkenaan membubarkan DUN dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, beliau berkata perkara itu tertakluk kepada keputusan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun selepas merujuk kepada kepimpinan tertinggi PH serta mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Konvensyen PH 2026 di Johor minggu lepas berkata gabungan itu bersedia meletakkan calon di semua kawasan DUN di Johor dan Negeri Sembilan sekiranya UMNO serta Barisan Nasional (BN) memutuskan untuk bertanding di semua kerusi pada pilihan raya negeri akan datang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial