RENCANA

PETANI KUNDASANG TERUSKAN KELANGSUNGAN HIDUP SEMASA PKP

28/05/2020 09:20 PM

Oleh Rohana Nasrah

KOTA KINABALU (Bernama) -- Sudah hampir 20 tahun Hali Lasin, 37, mengusahakan penanaman sayuran tanah tinggi di Kundasang, Ranau, kira-kira 92 kilometer dari sini dan tidak pernah sehari pun hasil tanaman sayuran yang diusahakan beliau, tidak terjual.

Malah, semasa kejadian gempa bumi Ranau pada 2015, hasil titik peluh Hali tetap laku walaupun rata-rata rakyat Sabah bimbang dan trauma ketika berlaku peristiwa berkenaan

Namun, keadaan jauh berbeza apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sejak 18 Mac lepas bagi membendung penularan COVID-19 yang menjadi krisis global dan setakat ini mengorbankan lebih 340,000 orang di seluruh dunia.

Hali, anak jati Kampung Mesilau, dekat Ranau yang bertani secara kecil-kecilan bagi memperoleh pendapatan sampingan untuk menyara keluarga dan lima anaknya, mengalami kerugian agak besar ekoran pelaksanaan PKP.

Lebih menyedihkan, mata pencarian utama Hali sebagai pemandu pelancong di Kundasang dan Ranau, yang popular sebagai destinasi pelancongan domestik dan antarabangsa turut terjejas.

Menurut Hali, pada awalnya, beliau menyedari sektor pelancongan akan terjejas ekoran penularan wabak ini, namun, berpendapat masih ada alternatif menjana pendapatan melalui pertanian yang diusahakannya itu.

“Saya langsung tidak menyangka kedua-dua sektor ini akan terkesan dalam tempoh (PKP) ini. Hasil tanaman saya langsung tidak terjual. Semasa fasa pertama PKP, dianggarkan lebih RM5,000 kerugian dialami merangkumi baja, biji benih selain aspek penjagaan harian tanaman,” kata Hali menceritakan pengalaman pahitnya berdepan situasi mencabar itu kepada Bernama, baru-baru ini.

 

DAUN SUP, DAUN BAWANG PUN SUSAH DIJUAL

Hali berkata perubahan drastik berlaku apabila tiada pembeli sayur-sayuran khususnya dalam kalangan pengusaha restoran dan kedai makan di seluruh Sabah yang terpaksa menutup operasi perniagaan mereka dalam tempoh PKP.

Restoran di negeri ini adalah antara pelanggan tetap para petani Kundasang dan menurutnya, hasil tanaman seperti daun sup dan daun bawang pun begitu susah untuk terjual pada fasa pertama PKP dilaksanakan.

Gerai sayur Kundasang yang menjadi antara tarikan pelancong juga tidak dapat beroperasi kerana pergerakan rentas daerah di Sabah, turut dikuatkuasakan.

Kebiasaannya, beliau boleh menjana pendapatan sehingga RM1,000 sebulan dengan menjual hasil tanamannya kepada penjaja di gerai itu yang turut menjual pelbagai sayuran berkualiti tanah tinggi.

“Untuk menghantar sayur-sayuran ke pekan Kundasang pun disekat selain memerlukan kos tinggi,” katanya sambil menambah, ini semua satu pengalaman baharu yang perlu dihadapinya dengan tenang dan reda.

Menyedari hakikat keadaan tidak menentu, Hali pasrah malah tetap menjalankan rutin seperti biasa. Setiap hari seawal 8 pagi dia akan bersiap-siap ke kebunnya yang seluas kira-kira 0.8 hektar, terletak berdekatan rumahnya, bagi memastikan sayur-sayuran yang ditanam sebelum PKP dijaga rapi.

 

KUNDASANG CASHLESS AGRO SUPPLY

Demi meneruskan kelangsungan hidup, Hali tidak menafikan sayur yang tumbuh menghijau memberi kekuatan dan harapan kepadanya bahawa tanaman itu akan mampu menyara kehidupan beliau sekeluarga.

Anak-anaknya berumur antara tiga hingga 15 tahun menjadi penguat semangat serta sumber inspirasi untuk dia tetap optimis dan terus berusaha untuk menjual hasil tanamannya.

Ternyata, kesabaran dan komitmennya terbayar apabila beliau dipelawa seorang rakan pertanian Azizul Julirin, yang turut membantu kira-kira 1,000 petani Kundasang untuk  memasarkan produk sayur-sayuran ke Kota Kinabalu, sepanjang tempoh PKP.

Azizul, 32, seorang pengusaha pertanian moden mencetuskan idea kreatif menjalankan projek Kundasang Cashless Agro Supply iaitu khidmat membekalkan sayur-sayuran ke pintu rumah, sebagai satu bentuk keusahawanan sosial bagi membantu petani kecil-kecilan di Kundasang yang hilang punca pendapatan dalam tempoh PKP.

Projek dimulakan pada 24 Mac lepas, iaitu beberapa hari selepas PKP dilaksanakan dan inisiatif berkenaan diuar-uarkan Azizul melalui Facebook manakala tempahan dibuat menerusi aplikasi Whatsapp dan pembayaran dilakukan secara dalam talian.

“Azizul membantu memasarkan hasil tani saya. Meskipun kuantiti tidak banyak, tetapi sekurang-kurangnya ada sayur terjual dan boleh memberi pendapatan, walaupun (pendapatan) tidak seperti biasa,” jelasnya yang sudah lama mengenali Azizul.

 

AGIH SAYUR PERCUMA, AMAL SISTEM BARTER

Semasa musim PKP, Hali turut tidak melepaskan peluang membantu jiran-jiranya dengan memberikan sayur-sayuran secara percuma selain bertukar-tukar hasil tanaman bagi memenuhi keperluan seharian masing-masing.

Ibarat pepatah “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”, Hali tetap melaksanakan tanggungjawab dan bekerjasama menjaga kebajikan penduduk di kampung berdekatan.

“Memang begitulah kami buat di kampung pada peringkat awal pelaksanaan PKP. Kami laksanakan sistem barter, bertukar-tukar sayur-sayuran yang ada,” katanya menambah terdapat juga badan bukan kerajaan yang membekalkan barangan keperluan asas seperti beras kepada penduduk.

Pendekatan sama turut dilaksanakan Pengerusi Persatuan Penjaja Kundasang Mariana Taliban, 53, yang menyumbang hasil tanaman sayur-sayuran kepada individu mahupun keluarga di beberapa kampung di Kundasang dan Ranau.

Langkah proaktif ini, kata Mariana dapat mengatasi masalah lambakan sayur sekali gus mengelakkan pembaziran.

Sebagaimana nasib Hali, Mariana berkata, beliau juga terjejas kerana hasil tanamannya seperti kobis langsung tidak terjual selepas lebih 20 tahun berkecimpung dalam bidang pertanian.

“Jualan merosot mendadak terutama pada awal PKP kerana pada masa itu tiada pemborong mengambil bekalan sayur-sayuran di Kundasang,” cerita Mariana yang mengusahakan tanaman kobis di kebun seluas dua ekar.

Menurut Mariana, peniaga runcit di gerai sayur-sayuran Kundasang, yang biasanya boleh menjana pendapatan sehingga RM100 sehari, langsung tidak mampu memperoleh pendapatan dalam tempoh tersebut.

 

SAYUR TIDAK TERJUAL

Sementara itu, Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan Kinabalu Muhammad Irwan Maruji berkata, hampir 90 peratus operasi perniagaan di Kundasang tidak dapat diteruskan ketika PKP dan dianggarkan lebih 10 tan metrik sehari sayur tidak terjual sepanjang minggu pertama PKP dikuatkuasakan.

Ini sekali gus memberi impak besar kepada para petani Kundasang lebih-lebih lagi semasa fasa pertama PKP, mereka tidak dapat menuai tanaman sehingga menyebabkan semua sayuran mahupun buah-buahan rosak di kebun masing-masing.

Bagaimanapun, menurut Irwan sektor pertanian di Kundasang beransur pulih selepas kerajaan negeri memberi reaksi segera terhadap keluh-kesah petani dan pengusaha dengan membenarkan pemborong mengambil bekalan sayuran termasuk mengeksport ke Sarawak.

Sementara itu, Hali berkata para petani juga gembira dengan keputusan kerajaan melonggarkan PKP dengan memperkenalkan PKP Bersyarat (PKPB) dengan membolehkan sektor pertanian beroperasi mulai 4 Mei lepas.

Malah, Hali kini lebih yakin dan aktif bertani semula meskipun pernah ketiadaan modal pusingan selain bekalan racun dan baja yang sukar diperoleh.

“Kini, saya kembali bercucuk tanam dan sebagai langkah persediaan supaya ada sayur-sayuran yang boleh dijual selepas PKP ditamatkan. Tanaman mengambil masa satu hingga empat bulan (mengikut jenis sayur) sebelum boleh dituai,” katanya dengan nada gembira.

Mariana pula, sejak awal April lepas, sudah menjalankan semula aktiviti bertani dengan memilih jagung, ubi kayu, sawi, cili dan pelbagai sayuran serta buah-buahan yang sesuai diusahakan dalam tempoh PKP.

Bagi kedua-dua petani Kundasang ini, mereka sangat berharap agar seluruh rakyat Malaysia bekerjasama memutuskan rantaian penularan COVID-19 bagi menamatkan PKP sepenuhnya.

 

Disunting oleh Rafe‘aton Md. Ali

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan