RENCANA

COVID-19: TIADA KEMATIAN ENAM HARI BERTURUT-TURUT DAN KES BAHARU TERENDAH

29/05/2020 12:33 PM

Oleh Melati Mohd Ariff

Berikut adalah rangkuman mingguan mengenai COVID-19 dan perkara yang berkaitan di Malaysia serta di peringkat dunia dari 23 Mei hingga pukul 12:30 tgh 29 Mei.

Jumlah kes COVID-19 di Malaysia melepasi angka 7,000 sementara di peringkat global, kes wabak ini mencecah 5.9 juta dengan angka kematian pula mengatasi 360,000 orang. Pandemik COVID-19 sudah merebak ke lebih 200 buah negara dan wilayah.

 

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Selepas dikejutkan dengan kenaikan tiga angka pada Isnin dan Selasa lepas, Malaysia semalam mencatat 10 kes positif baharu COVID-19, angka terendah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan 18 Mac lepas.

Sehingga pukul 12 tengah hari Khamis (28 Mei), buat enam hari berturut-turut tiada kes kematian baharu dilaporkan dan angka kematian kekal 115, iaitu 1.51 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Jumlah kumulatif kes keseluruhan penularan wabak maut di negara ini setakat semalam ialah 7,629 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 1,345.

Daripada 10 kes baharu yang dilaporkan, kesemuanya penularan tempatan, lima (5) daripadanya adalah bukan warganegara Malaysia dan baki lima (5) lagi adalah warganegara Malaysia.

Seramai 86 orang pesakit COVID-19 dilaporkan sembuh dan discaj, menjadikan jumlah pesakit yang sembuh 6,169 orang iaitu 80.86 peratus daripada jumlah keseluruhan kes setakat ini.

Sementara itu, lapan (8) kes positif COVID-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan empat kes daripadanya, memerlukan bantuan pernafasan.

Untuk rekod, negara mencatat 15 kes baharu (enam kes import) pada Rabu 27 Mei dan daripada jumlah itu, buat pertama kalinya sejak PKP, kes penularan tempatan adalah satu angka iaitu sembilan (9) di mana empat (4) kes melibatkan bukan warganegara. Perkara ini dimaklumkan juga kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Sidang Video pada Khamis 28 Mei. 

 

AMARAN GELOMBANG WABAK

Sementara itu, Dr Noor Hisham dalam sidang harian media COVID-19 pada Rabu (27 Mei), mengingatkan rakyat di negara ini bahawa perang menghadapi virus COVID-19 masih belum tamat dan perlu berwaspada dan tidak mengambil mudah jika pun jumlah kes baharu menurun.

Sekiranya mereka tidak patuh dan ingkar Prosedur Standard Operasi (SOP) yang ditetapkan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan kes COVID-19 akan meningkat dengan mendadak yang boleh mencetuskan gelombang baharu di negara ini.

Beliau turut berkongsi makna S.O.P yang perlu dipatuhi semua pihak iaitu S = Syarat-syarat yang ditetapkan, O = Orang yang berisiko tinggi dan dan P = Penjarakan Sosial.

Peringatan yang sering diulang untuk rakyat negara ini mematuhi SOP amat penting kerana sebahagian besar pesakit COVID-19 tidak menunjukkan sebarang gejala.

Ini berdasarkan perkongsian KKM dalam laman sesawang rasminya tentang hasil saringan di madrasah/sekolah tahfiz dan pasar. 

Saringan di 378 sekolah tahfiz serta madrasah, lebih 15,000 sampel diambil, 588 daripada 684 yang dikesan positif atau 86% tidak menunjukkan sebarang gejala.

Saringan di pasar pula, 271 yang dikesan positif COVID-19, 234 atau 86% tidak bergejala.

Maklumat ini amat membimbangkan kerana pesakit COVID-19 boleh menjangkiti orang lain secara senyap tanpa mereka tahu.

Untuk rekod juga, Tan Sri Muhyiddin kini menjalani tempoh kuarantin 14 hari kerana seorang pegawai yang hadir di mesyuarat pasca-Kabinet di Pejabat Perdana Menteri, Rabu minggu lalu disahkan positif COVID-19.  Beliau dilaporkan tidak menunjukkan sebarang gejala selain kelesuan.

Di samping WAJIB mengamalkan SOP yang disarankan, rakyat perlu mengelak 3S (sosial, sempit, sembang jarak dekat) dan mengamalkan cara hidup baharu lain. 

 

KLUSTER DEPOH TAHANAN

Dalam kenyataan akhbar 27 Mei dalam laman sesawang KKM, Dr Noor Hisham menjelaskan peningkatan mendadak kes baharu COVID-19 sejak beberapa hari lepas adalah hasil langkah mengesan  kes COVID-19 di beberapa Depoh Tahanan Imigresen (DTI) dan kluster lain yang masih aktif dan melibatkan bukan warganegara Malaysia.

Ia juga susulan tindakan pendekatan tertumpu (targeted approach) Kerajaan dalam membendung penularan kes COVID-19.

Kejayaan menurunkan kes penularan tempatan adalah hasil tindakan kesihatan awam di bawah pelaksanaan PKP dan seterusnya PKP Bersyarat (PKPB). Ia juga dibantu pematuhan norma dan kelaziman baharu serta SOP ditetapkan bagi pelbagai sektor dan industri,

KKM turut khuatir mungkin berlaku peningkatan kes COVID-19 susulan aktiviti kunjung -mengunjung, merentas negeri dan pergaulan dalam masyarakat sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Untuk rekod, daripada 187 kes baharu yang dicatat  pada 26 Mei (Selasa), 10 kes import dan daripada baki 177 kes penularan tempatan, 173 melibatkan warganegara asing dan 155 daripadanya dikesan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil. Sebanyak 13 kes lagi dikesan dari kluster Pengawal Keselamatan Cheras. Warganegara Malaysia empat (4) orang sahaja.

Daripada jumlah 172 kes baharu pada Isnin 25 Mei, lima (5) kes import ; 167 kes penularan tempatan - 159 melibatkan warga asing di mana 112 kes dikesan di tiga DTI iaitu DTI Sepang, DTI Bukit Jalil dan DTI Semenyih . warganegara Malaysia yang terlibat lapan (8) orang sahaja.

 

SENARIO DAN STATISTIK GLOBAL

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran,  negara yang mencatat penurunan kes COVID-19 berdepan kemungkinan wabak maut boleh memuncak bagi kali kedua sekiranya langkah kawalan ditarik balik dengan cepat.

Pengarah Eksekutif, Program Kecemasan Kesihatan WHO, Mike Ryan pada taklimat media Isnin (25 Mei), dipetik sebagai berkata, “dunia ketika ini berada pada peringkat pertengahan gelombang pertama.

“Epidemik biasanya berlaku dalam beberapa gelombang dan wabak boleh melanda semula pada penghujung tahun sewaktu musim influenza yang boleh merumitkan lagi kawalan penyakit.”

Sementara itu, menurut perangkaan CoronaTracker (mengambil sumber pelbagai agensi termasuk WHO), jumlah kes COVID-19 di seluruh dunia, setakat rangkuman ini dibuat ialah 5,900,765 dengan angka kematian, 361,776 orang. Jumlah pesakit yang sembuh seramai, 2,577,225 orang.

Sementara itu, Amerika Syarikat terus kekal kedudukan negara paling banyak kes COVID-19 di dunia, sejak ianya mula dikesan di negara itu pada 20 Jan. Setakat ini, angka kes sudah meningkat kepada 1,768,346 kes dengan 103,330 kematian.

Brazil, salah sebuah negara Amerika Latin yang teruk dilanda pandemik ini mengatasi Rusia dengan 438,812 kes dan 26,991 kematian. 

Di Rusia, angka kes COVID-19 adalah 379,051 dengan 4,142 kematian; diikuti Sepanyol dengan 284,986 kes dan 27,119 kematian.

Di samping empat negara di atas, ada lapan lagi negara yang merekodkan lebih 100,000 kes COVID-19, iaitu United Kingdom 269,127 kes (37,837 kematian), Itali 231,732 kes (33,142 kematian), Perancis 186,238 kes (28,662 kematian), Jerman 182,452 kes (8,570 kematian), India 165,386 kes (4,711 kematian), Turki 160,979 kes (4,461 kematian), Iran 143,849 kes (7,627 kematian) dan Peru 141,779 kes (4,099 kematian).

Sementara China di mana bermulanya wabak COVID-19 pada penghujung Disember 2019 di tempat ke-14 dengan 82,995 kes dan 4,634 kematian.

Sebuah lagi negara Amerika Latin yang mencatat kes yang besar di rantau itu ialah Chile dengan 86,943  kes dengan 890 kematian.

Dalam kalangan negara-negara jiran Malaysia di Asia Tenggara, wabak penyakit COVID-19 adalah seperti berikut:- 

Singapura terus mencatat jumlah kes paling tinggi iaitu 33,249 kes dengan 23 kematian. Sebahagian besar daripada kes baharu yang dikesan di Republik itu melibatkan mereka yang memegang permit kerja dan tinggal di asrama pekerja.

Ini diikuti Indonesia 24,538 kes (1,496 kematian), Filipina  15,588 kes ( 921 kematian), Thailand  3,065 kes ( 57 kematian), Vietnam 327 kes ( 0 kematian), Myanmar 206 kes (6 kematian), Brunei  141 kes  ( 2 kematian), Kampuchea  124 kes ( 0 kematian ) dan Laos  19 kes ( 0 kematian).

Negara lain dunia yang mencatat jumlah kes COVID-19 yang besar termasuk:-

Kanada 88,512 (6,877 kematian), Arab Saudi 80,185 kes (441 kematian), Mexico 78,023 kes (8,597 kematian), Pakistan 61,227 kes ( 1,260 kematian), Belgium 57,849 kes (9,388 kematian), Qatar 50,914 kes (33 kematian), Belanda 45,950 kes (5,903), Belarus 39,858 kes (219 kematian), Bangladesh 40,321 (559 kematian) dan Equador 38,471 kes (3,313 kematian).

----------------------------------------------------------------------------------------

RUANGAN SISI

LATAR BELAKANG COVID-19

-- Penularan wabak COVID-19 yang pada awalnya dipanggil virus Wuhan berlaku ketika masyarakat Cina di seluruh dunia termasuk di China membuat persiapan untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina.

-- Virus dikesan di Wuhan, ibu negeri wilayah Hubei, China pada 31 Dis 2019 selepas WHO dimaklumkan terdapat beberapa kes radang paru-paru di bandar tersebut.  

-- Menurut WHO, pihak berkuasa China pada 7 Jan lalu mengesahkan koronavirus yang baru dikenal pasti itu boleh tersebar daripada manusia kepada manusia. 

-- WHO memberi nama rasmi virus "2019-nCoV" iaitu COVID-19, singkatan untuk Corona Virus Disease 19. Virus ini dilaporkan mempunyai komponen genetik yang paling serupa yang terdapat pada ular dan kelawar.

-- Pegawai kesihatan China mengenal pasti Pasar Huanan Seafood di pusat bandar Wuhan sebagai lokasi bermulanya penyebaran wabak ini kerana terdapat jualan membabitkan daging haiwan eksotik di pasar tersebut seperti musang, serigala, buaya, ular, tikus, burung merak, landak dan unta.

-- Laporan dari Wuhan pada Selasa 11 Feb menyebut data terbaharu berdasarkan penyelidikan membabitkan lebih 1,000 pesakit COVID-19 di China mendapati tempoh inkubasi virus itu boleh mencecah 24 hari, bukannya 14 hari seperti yang dipercayai sebelum ini. 

-- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac akhirnya melabelkan wabak penyakit COVID-19 sebagai pandemik.

-- WHO menyifatkan wabak penyakit COVID-19 sebagai 10 kali ganda lebih berbahaya daripada Influenza A H1N1atau lebih dikenali sebagai Selesema Babi (Swine Flu).

-- Wabak Selesema Babi berlaku antara Januari 2009 dan Ogos 2010 menyaksikan lebih 1.6 juta kes dikesan dengan 18,449 kematian. Ia mula dikesan di Mexico dan kemudiannya di Amerika Syarikat pada Mac 2009.

-- Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran pandemik COVID-19 akan mengheret ekonomi global kepada penguncupan ekonomi paling teruk sejak Zaman Kemelesetan The Great Depression.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan