RENCANA

URUSKAN MAKANAN SECARA BIJAK SEPANJANG PKPP 

20/10/2020 04:29 PM

Oleh Soon Li Wei

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Sering kali kita mendengar rungutan orang ramai tentang kesukaran untuk mendapatkan makanan tertentu seperti roti, air galian, beras dan telur ayam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Apatah tidaknya! Setiap kali pengumuman kerajaan untuk melaksanakan ataupun mengaktifkan semula PKP di kawasan tertentu, pastinya tercetus fenomena 'pembelian panik' di pasar raya dan kedai runcit.

Maka panjanglah barisan orang yang beratur di kaunter pembayaran malah di luar pintu masuk lagi. Apatah lagi dengan keperluan diambil suhu badan serta mengimbas kod QR atau MySejahtera.

Meskipun kerajaan memberi jaminan bahawa bekalan makanan mencukupi sepanjang tempoh PKP, namun ada anggota masyarakat masih berpegang kepada 'sediakan payung sebelum hujan' dengan berbelanja besar terlebih dahulu bagi menghadapi sebarang kemungkinan. 

Secara tidak langsung, pembelian panik itu mencetuskan pembaziran makanan secara besar-besaran. Makanan yang tidak boleh disimpan lama berakhir di tapak pelupusan sampah. 

Buktinya, gambar yang tular di media sosial ketika PKP mengenai pembuangan bungkusan roti yang masih belum disentuh namun tamat tempoh, mencetuskan kemarahan netizen kerana sikap individu yang pentingkan diri sendiri itu.  

Menurut data 2019 Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), sektor isi rumah menjana 44.5 peratus daripada sisa makanan di Malaysia berjumlah 16,667.5 tan setiap hari secara keseluruhan. 

Daripada jumlah itu, 4,005 tan atau 24 peratus daripada sisa makanan adalah yang boleh dielakkan iaitu yang masih elok dan boleh memberi makan kepada 2,970,000 orang untuk tiga kali makan setiap hari. 

 

HIKMAH PKP

Ketiadaan penganjuran bazar ramadan, kenduri kahwin dan sebarang majlis keramaian ketika PKP akibat pandemik COVID-19, menjadi faktor penurunan kadar penghasilan sisa makanan ke tapak pelupusan sampah. 

Selain itu, masyarakat juga semakin menghayati serta menghargai nilai makanan semasa PKP dan ini menyumbang kepada penurunan jumlah sisa secara drastik.

Di sekitar Lembah Klang misalnya, penghasilan sisa makanan terutamanya dari pusat komersial dan restoran juga turut berkurangan disebabkan waktu operasi pendek dan pergerakan terhad orang awam. 


Mohd Zahir Shari, Pengarah SWCorp Wilayah Persekutuan.-- Gambar ihsan SWCorp Wilayah/ Rozainah Zakaria

Menurut Pengarah SWCorp Wilayah Persekutuan Mohd Zahir Shari, penjanaan sisa makanan dilihat menurun sebanyak 26 peratus berbanding sebelum pelaksanaan PKP di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya. 

Bagi tempoh bulan Mac ambil kira dua minggu sebelum PKP, purata janaan sisa pepejal adalah 2.1 tan sehari dan apabila pada bulan April selepas PKP dilaksanakan, purata janaan adalah 1.7 tan sehari iaitu menurun kira-kira 0.3 tan sehari.

"Selain pusat membeli-belah dan restoran hanya menyediakan perkhidmatan 'take away', kebanyakan orang berada di rumah sepanjang hari, jadi apabila mereka memasak ataupun membungkus makanan dari luar, mereka akan menghabiskannya. 

"Namun, apabila beralih dari PKP ke Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Pemulihan (PKPP), angka itu dilihat naik sedikit iaitu antara 2.2 hingga 2.3 tan pada bulan Jun dan Julai kerana pergerakan mula bebas dan sektor ekonomi sudah pulih seperti sediakala," katanya kepada Bernama baru-baru ini. 

Mohd Zahir berkata, hidangan bufet di restoran dan hotel adalah antara penyumbang terbesar sisa makanan ke tapak pelupusan saban tahun. 

"Atas hikmah PKP, menurut kajian komposisi sisa kami, purata janaan sisa makanan semasa Ramadan dan PKP 2020 berkurang sebanyak 40.9 peratus berbanding 2019.  

"Justeru, kita mengharapkan rakyat mengambil iktibar daripada apa yang berlaku dengan berusaha untuk terus mengambil inisiatif dan sedar pengurangan sisa pepejal boleh dijayakan dengan kawalan kendiri dan perubahan sikap," katanya.

 

PENGKOMPOSAN SISA MAKANAN


Ramai dalam kalangan umat Islam di Malaysia yang berbuka puasa di hotel-hotel dilihat melakukan pembaziran selepas mengambil hidangan secara berlebihan. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Sisa makanan boleh dikategorikan kepada dua jenis iaitu yang boleh dielakkan dan tidak boleh dielakkan. 

Sisa makanan yang boleh dielakkan adalah makanan yang dibazir dan tidak boleh dihabiskan serta yang mempunyai tarikh luput ataupun tercemar, manakala sisa makanan tidak boleh dielakkan adalah sisa dapur seperti kulit buah dan tulang-tulang daging.  

Bagi sisa makanan yang tidak boleh dielakkan, ia sebenarnya boleh dikomposkan menjadi baja untuk tanaman di rumah ataupun di kebun-kebun. 

"Kami bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat konsesi Alam Flora untuk pengkomposan sisa makanan yang tidak boleh dielakkan itu dalam mesin Anaerobic Digestor untuk menghasilkan baja.

"Anaerobic Digestor yang boleh memuatkan sehingga 50 kilogram sisa makanan itu kini di tempatkan di Fasiliti Inovasi Kitar Semula (FIKS) di Presint 5, Putrajaya, “ kata Mohd Zahir.

Menurut beliau, pihaknya menggalakkan penduduk di sekitar untuk memanfaatkan kemudahan itu dengan mengasingkan sisa makanan ke dalam mesin itu.

“Bukan semua makanan yang luput tarikhnya tidak boleh dimakan langsung jika ia disimpan dengan cara yang betul. 

"Misalnya, roti yang sudah hampir luput tarikhnya boleh disimpan di dalam freezer peti sejuk yang boleh bertahan sehingga tiga bulan dan boleh dipanaskan atau digoreng," katanya. 

Mohd Zahir berkata, menerusi kempen kesedaran seperti 'MYSaveFood', selain mendidik pengguna supaya tidak membazirkan makanan, pihaknya turut 'menyelamatkan' makanan daripada menjadi sisa buangan daripada restoran, gerai serta medan selera untuk disalurkan kepada golongan memerlukan. 

"Kami bercadang untuk mengadakan program ini setiap musim perayaan namun disebabkan PKP, ia tidak dapat dijalankan secara fizikal melainkan menerusi hebahan dan perkongsian daripada media sosial.

"Pada tahun lepas, sebanyak 2,385.6 kilogram makanan di Wilayah Persekutuan berjaya ‘diselamatkan’ daripada menjadi sisa buangan daripada gerai bazar Ramadan terpilih," katanya. 

 

FOODBANK MALAYSIA SELAMATKAN MAKANAN


Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Foodbank Malaysia, Ab Wahab Long (kanan) meninjau bekalan makanan yang akan diagihkan kepada golongan memerlukan di Yayasan Foodbank Malaysia warehouse di Kajang, Selangor. -- Gambar ihsan Yayasan Foodbank Malaysia Warehouse
  

Selain restoran dan isi rumah, pasar raya dan pasar borong juga turut menyumbang kepada pembaziran makanan organik secara besar-besaran apabila lebihan makanan yang tidak habis dijual terpaksa dilupuskan. 

Justeru, Yayasan Foodbank Malaysia dengan kerjasama beberapa NGO lain serta pasar raya berusaha untuk 'menyelamatkan' lebihan makanan ini daripada dibuang begitu sahaja, dan disalurkan kepada golongan sasar yang terdiri daripada penghuni PPR, rumah kebajikan serta warga gelandangan. 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ab Wahab Long berkata, pihaknya mengumpul lebih 1,000 kilogram makanan yang selamat dan masih boleh dimakan setiap hari daripada hotel, pasar raya dan kilang makanan untuk disumbang kepada golongan miskin dan gelandangan, di sekitar Lembah Klang.

"Di pasar borong misalnya, banyak sayur-sayuran, buah-buahan serta makanan mentah lain yang masih elok lagi dimakan tetapi dibuang begitu sahaja kerana tidak habis dijual dan ia mengundang kepada pembaziran. 

"Justeru, kami turun padang untuk 'menyelamatkan lebihan makanan ini daripada berakhir di tapak pelupusan sampah, sama ada digunakan untuk memasak kepada golongan memerlukan ataupun menyalurkan kepada golongan asnaf dan rumah kebajikan," katanya. 

Selain itu, barangan harian dan makanan kering yang sudah dekat dengan tarikh luput juga turut 'diselamatkan' untuk disalurkan sebagai bantuan makanan kepada golongan mahasiswa yang terkandas di kampus sepanjang tempoh PKP. 

"Penghasilan sampah yang begitu banyak akibat daripada sisa pepejal industri mahukan makaan akan menghasilkan gas karbon yang memudaratkan kesihatan sejagat. 


Ab Wahab Long (tiga dari kanan) bersama sukarelawan pengagihan makanan kepada golongan yang memerlukan. -- Gambar ihsan Yayasan Foodbank Malaysia Warehouse

"Oleh itu, kami bukan sahaja menyelamatkan makanan yang masih boleh dimakan untuk disalurkan kepada golongan memerlukan tetapi juga turut membantu mengembalikan bumi hijau dengan mengurangkan sampah," katanya. 

Ab Wahab berkata pihaknya turut mencadangkan kepada kerajaan supaya mewujudkan 'Bulan Foodbank Kebangsaan' bermula tahun ini (2020) bagi memberi kesedaran kepada orang ramai untuk tidak melakukan pembaziran makanan setiap hari. 

"Foodbank Malaysia ditubuhkan sejak Januari 2019 dengan misi utama mengurangkan pembaziran makanan dan menangani masalah kebuluran serta kekurangan nutrisi menerusi menyelamatkan makanan lebihan.

“Lebihan makanan daripada operator makanan, pengusaha industri makanan, pengilang atau pengeluar makanan, pasar raya besar dan sederhana, pengimport makanan dan pemborong bahan makanan dengan status halal akan kami selamatkan.


Ab Wahab Long menunjukkan bilik stor Yayasan Foodbank Malaysia Warehouse yang menyimpan makanan beku yang diselamatkan dari pasaraya. -- Gambar ihsan Yayasan Foodbank Malaysia Warehouse

“Sebenarnya makanan dikumpul ialah lebihan produk seperti makanan sejuk beku, ramuan dan bahan mentah, produk bermusim yang masih elok, tetapi mungkin disebabkan kesilapan label, dipulangkan pelanggan serta sebagainya mereka tidak boleh menjualnya semula,” katanya.

Setakat ini, Foodbank Malaysia berjaya membantu sebanyak 622,726 isi rumah, 77,251 orang mahasiswa dari 195 buah universiti seluruh negara sejak ditubuhkan tahun lepas hasil daripada makanan yang diselamatkan. 

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

 BERNAMA 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan