RENCANA

COVID-19: KES AKTIF MELEPASI 42 RIBU, JUMLAH KESELURUHAN KES DI MALAYSIA MENCAPAI 176 RIBU

22/01/2021 09:21 PM

Oleh Melati Mohd Ariff

Berikut adalah rangkuman TERKINI mingguan mengenai COVID-19 dan perkara yang berkaitan di Malaysia serta di peringkat dunia dari 16 Jan hingga pukul 8:30 malam 22 Jan 2021.

Jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia melepasi 176 ribu. Di peringkat global, lebih 98 juta kes dilaporkan dengan lebih 2 juta kematian.  Lebih 70 juta pesakit COVID-19 dilaporkan sembuh. Pandemik COVID-19 sudah merebak ke 216 buah negara dan wilayah.

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Dua hari mencatat kes baharu positif COVID-19 sekitar empat (4) ribu membenarkan unjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa Malaysia berhadapan dengan ledakan pandemik, ketika Gelombang Ketiga membadai negara.

Ini ditunjukkan dengan rekod kes harian baharu COVID-19 pada 16 Januari iaitu sebanyak 4,029 kes dan pada 20 Januari, sebanyak 4,008 kes.

Jumlah 4,029 kes adalah rekod tertinggi untuk Malaysia sejak kes pertama COVID-19 diumumkan di negara ini pada 25 Januari 2020. Tanggal 25 Januari 2021 ini, genap setahun Malaysia dibadai koronavirus maut ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah semalam berkata, “kita belum nampak lagi pengakhiran atau penghujung kepada peperangan ini (perang COVID-19)”.


Suasana lengang di ibu kota berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan selepas 12 malam. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

KKM juga dilaporkan berkemungkinan mencadangkan kepada kerajaan untuk memperketatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) yang dikuatkuasakan baru-baru ini.

Langkah ini juga dilihat amat perlu, untuk menyekat ledakan kes harian baharu, tambahan terdapat beberapa perayaan dijadual disambut dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

KKM sebelum ini membuat unjuran untuk tempoh 4 Januari-31 Mei 2021 iaitu kes harian antara 3,000 (minggu kedua Februari 2021), 5,000 kes sehari (minggu kedua April 2021) dan 8,000 sehari (minggu keempat Mei 2021).

Unjuran tersebut berdasarkan R naught (RO) 1.1. RO merujuk kepada kebolehjangkitan sesuatu virus pada permulaan wabak dalam masyarakat.  

Pengisytiharan Darurat bermula 12 Januari sehingga bulan Ogos 2021 serta penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) yang kini meliputi seluruh negara kecuali Sarawak, diharap dapat melandaikan lengkungan jangkitan COVID-19 di negara ini.

Dr Noor Hisham Abdullah dipetik pada 14 Januari sebagai berkata, usaha melandaikan semula lengkungan dijangka menunjukkan hasil menjelang Mei atau Jun 2021, dengan sasaran kes baharu berlegar antara 500 hingga 1,000 kes sehari.

Jumaat 22 Januari, negara mencatat 3,631 kes harian baharu ( penularan tempatan 3,625 kes dan import 6 kes), menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 42,814 kes.

Jumlah keseluruhan kes COVID-19 negara (bermula dengan tiga kes pada 25 Januari 2020) melonjak kepada 176,180 kes.

Malaysia kini berada di tangga 58 dalam senarai 216 buah negara yang dilanda pandemik COVID-19, memintas Kazakhstan (173,842 kes) dan Lithuania (174,846 kes). Berada di hadapan Malaysia adalah Ireland dengan 181,9220.

Negara China yang melaporkan kes awal koronavirus maut ini pada penghujung tahun 2019, di tangga 83 dengan 88,804 kes, sementara negara jiran Singapura di tangga 90 dengan 59,250 kes.

Untuk rekod, kes baharu harian sepanjang rangkuman mingguan (16 Jan-22 Jan) adalah 4,029 kes (16 Jan), 3,339 kes (17 Jan), 3,306 kes (18 Jan), 3,631 kes (19 Jan), 4,008 kes (20 Jan), 3,170 kes (21 Jan) dan 3,631 (22 Jan).

 

TEMPOH PKP 2.0 KRITIKAL


Keadaan sebuah pusat beli-belah yang menjadi tumpuan orang ramai sebelum ini bertukar lengang berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

PKP 2.0  untuk Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor, Kelantan dan Sabah yang dijadualkan berakhir 26 Januari dilanjutkan sehingga 4 Februari.

Sebelum ini pelaksanaan PKP selama dua minggu diisytihar untuk Perlis, Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Pahang dan Terengganu dan Perlis, bermula Jumaat 22 Januari sehingga 4 Februari 2021. 

Sarawak pula dikenakan PKP Bersyarat (PKPB), kecuali daerah Sibu yang dietakkan di bawah PKP mulai 16 Januari hingga 29 Januari 2021.

Tempoh pelaksanaan PKP 2.0 ini amat kritikal untuk mengekang penularan pandemik COVID-19 daripada menjerumuskan negara kepada bencana lebih besar.

Dr Noor Hisham pada Selasa 19 Januari berkata, kes jangkitan baharu COVID-19 di Malaysia dijangka kekal tinggi dalam beberapa hari lagi dengan purata 3,000 kes sehari.

Beliau turut menjelaskan, jumlah kes tinggi yang dilaporkan sejak kebelakangan ini, adalah hasil pendedahan kepada virus COVID-19 bagi tempoh 14 hari lalu iaitu sebelum 13 Jan lalu. Selepas 26 Januari iaitu dua minggu selepas PKP, kes baharu dijangka menurun sedikit namun tidak terlalu ketara.


Kerajaan bersetuju melanjutkan operasi kedai makan, restoran dan perkhidmatan penghantaran makanan sehingga 10 malam mulai 22 Januari 2021. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Keberkesanan memutuskan rantaian jangkitan akan dapat dilihat dengan lebih ketara, selepas empat minggu dan usaha melandaikan keluk jangkitan dijangka dapat dicapai pada bulan Mei atau Jun.

Sementara itu, KKM turut mempertingkatkan fasiliti kesihatan bagi menampung bilangan pesakit COVID-19 yang semakin bertambah ramai, antaranya, menubuhkan Hospital Bersepadu di MAEPS yang akan beroperasi 24 Jan ini hasil kerjasama pelbagai agensi lain.

Sebanyak 14 lagi hospital COVID-19 dibuka di Johor, Terengganu, Kelantan, Pahang, Selangor, Kedah, Sabah dan Sarawak untuk menempatkan pesakit tahap 3, 4 dan 5 dengan keseluruhan 539 katil.

Bagi mengurangkan kesesakan di PKRC, pesakit tahap 1 dan 2 yang memenuhi syarat selepas penilaian risiko, dibenarkan menjalani kuarantin di rumah.

 

BEBAN KLUSTER BAHARU DAN SEDIA ADA


Pita larangan masuk dipasang pada kawasan taman permainan bagi melarang orang ramai menggunakannya sebagai langkah bagi mengekang penularan wabak COVID-19 ketika tinjauan di Taman Tasik Shah Alam. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

KKM mengumumkan sehingga 22 Januari 2021, terdapat 713 kluster termasuk 12 kluster baharu. Sebanyak 378 kluster diisytihar tamat sementara 335 kluster masih aktif dan dipantau.

Daripada jumlah itu, sebanyak 86 kluster mencatat pertambahan kes dan kluster dengan pertambahan tertinggi adalah Kluster Pasai (112 kes), Kluster Tapak Bina Muda (93 kes) dan Kluster Seri Bayu (81 kes).

Kluster Pasai diumumkan pada 9 Januari dan melibatkan daerah Sibu dan Mukah di Sarawak. Kes positif dikesan pada 7 Januari 2021, hasil saringan rentas negeri. Ia melibatkan seorang wanita yang kembali dari Johor untuk menghadiri pengebumian bapanya di Pasai Siong. Sebanyak 38 kes positif dikesan ketika diumumkan pada 7 Januari. Setakat 21 Januari, kluster ini merekodkan 981 kes.

Berdasarkan laporan KKM, sepanjang tempoh rangkuman mingguan (16 Jan - 21 Jan), Kluster Tempat Kerja (KTK) melibatkan tapak binaan, kilang dan syarikat begitu ketara di samping kluster yang dikesan akibat majlis perjumpaan keluarga dan acara pengkebumian dan juga di pusat tahanan.

Untuk rekod, jumlah kluster baharu sepanjang 16 Jan -  22 Jan adalah  6 kluster (16 Jan), 10 kluster (17 Jan), 9 kluster (18 Jan), 9 kluster (19 Jan), 16 kes (20 Jan), 16 kluster (21 Jan) dan 12 kluster (22 Jan).

Pada 22 Januari, daripada 12 kluster baharu, tujuh (7) adalah KTK. Pada 20 Januari, daripada 16 kluster baharu, 11 adalah KTK dan 11 KTK juga direkodkan pada 21 Januari daripada 16 kluster baharu.

Antara KTK pada 22 Januari adalah Kluster Jalan Sungai Chandong, melibatkan daerah Klang di Selangor, hasil saringan bersasar sebuah kilang di Perdana Industrial Park, Port Klang. Sebanyak 44 kes positif dikesan daripada 80 individu yang disaring.

KTK, Kluster Jalan Indah Gemilang, melibatkan daerah Johor Bahru dan Kota Tinggi di Johor, hasil saringan bersasar sebuah kilang di Taman Perindustrian Gemilang. Sebanyak 13 kes positif dikesan daripada 53 individu yang disaring.

KTK, Kluster Selasih Perindu di daerah Kulai, Johor, hasil saringan bersasar beberapa buah kilang di Kawasan Perindustrian Senai Jaya. Sebanyak 106 kes dikesan positif daripada 365 individu yang disaring.

Sementara Kluster Tembok Renggam melibatkan daerah Kluang, Johor pula, melibatkan tahanan dan kakitangan Penjara Simpang Renggam. Sehingga 22 Januari, 31 kes positif daripada 69 individu yang disaring.

Antara KTK yang dilaporkan pada 20 Januari adalah Kluster Tapak Bina Jalan Abdul Aziz yang melibatkan daerah Petaling, Selangor, hasil saringan bersasar di tapak binaan di Jalan Dato Abdul Aziz Seksyen 19, Petaling Jaya. Sebanyak 56 kes positif dikesan.

Terdapat satu kluster iaitu Kluster Kampung Balibata, melibatkan majlis pengkebumian dan kenduri tahlil dilaporkan di Kampung Balibata, Beaufort, Sabah. Kesemua 35 individu yang disaring disahkan positif COVID-19. 

Satu kluster pusat tahanan dilaporkan pada 19 Januari iaitu Kluster Penjara Jalan Sungai Jelok, melibatkan daerah Hulu Langat, Selangor. Sebanyak 217 kes positif dikesan hasil saringan bersasar di Penjara Wanita Kajang di Jalan Sungai Jelok, Kajang, Selangor.

Pada 20 Januari, KKM melaporkan Kluster Batu Enam, berlaku di Kampung Orang Asli Batu Enam, Batang Padang, Perak dan sebanyak 12 kes positif dikesan daripada 41 individu yang disaring.

 

PERINCIAN KES COVID-19 DI MALAYSIA


Anggota Polis Mohd Arbean Arjunaiti Dahlan membetulkan baret sebelum memulakan sekatan jalan raya berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Negeri Pahang di Tol Kuantan. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Menurut laporan KKM untuk perincian 3,631 kes positif COVID-19 pada Jumaat 22 Januari, Selangor merekod kes baharu terbanyak, 782 kes dengan dua kluster baharu, Kluster Jalan Sungai Chandong dan Kluster Putra Tujuh.

Johor melaporkan 466 kes dan lima kluster baharu, iaitu Kluster Jalan Perwira, Kluster Jalan Skudai, Kluster Jalan Indah Gemilang, Kluster Tembok Renggam dan Kluster Selasih Perindu.

Sabah terus mencatatkan jumlah kes yang banyak iaitu 453 kes dan satu kluster baharu, Kluster Ladang Desa Jerocco.

WP Kuala Lumpur melaporkan 435 kes termasuk enam (6) kes import; Sarawak 229 kes; Pulau Pinang 202 kes; Negeri Sembilan 197 kes; Terengganu 178 kes; Kedah 166 kes; Kelantan 161 kes; Perak 138 kes; Melaka 82 kes dan satu kluster baharu, Kluster Serkam Tengah.

Pahang melaporkan 61 kes dan dua kluster baharu, Kluster Kampung Paya Siput dan Kluster Tanjung Lumpur; WP Putrajaya 39 kes dan satu kluster baharu, Kluster Putra Tujuh; WP Labuan 29 kes dan satu kluster baharu, Kluster Jalan Kinabenua dan Perlis mencatat 13 kes.

Sementara itu, KKM melaporkan sehingga 21 Januari 2021, sebanyak 2,554 kes sembuh, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah sebanyak 132,706 kes (75.3 peratus).

Kes sembuh sepanjang 16 Jan hingga 21 Jan adalah 2,148 kes (16 Jan), 2,676 kes (17 Jan), 2,293 kes (18 Jan), 2,944 kes (19 Jan), 2,374 kes (20 Jan), 2,490 kes (21 Jan) dan 2,554 kes (22 Jan).

Sementara itu, seramai 251 pesakit COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi, dan 102 daripadanya, memerlukan bantuan pernafasan.

KKM pada 22 Januari mengumumkan 18 kes kematian, yang tertinggi setakat ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia sebanyak 660 kes (0.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes). Daripada 18 kes, sembilan (9) kes di Selangor, tiga (3) kes di Sabah, dua (2) kes di WP Kuala Lumpur, dua (2) kes di Sarawak dan masing-masing satu (1) di Johor dan Pulau Pinang. Jumlah kes kematian tertinggi sebelum ini dilaporkan pada 14 Januari iaitu 15 kematian.

Kes kematian sepanjang tempoh rangkuman adalah 8 kes (16 Jan), 7 kes (17 Jan), 4 kes (18 Jan), 14 kes (19 Jan), 11 kes (20 Jan), 12 kes (21 Jan) dan 18 kes (22 Jan).

 

STATISTIK GLOBAL COVID-19


Statistik terkini COVID-19 di seluruh dunia dan ringkasan kes COVID-19 di Malaysia. www.coronatracker.com

Setakat rangkuman mingguan ini, kes COVID-19 global sebanyak 98,180,233 (rangkuman minggu lalu 93,620,077 kes) dengan 2,102,588 kematian (minggu lalu 2,004,507 kematian). Jumlah pesakit sembuh 70,584,013 (minggu lalu 66,924,078).

Terdapat 216 negara dilanda pandemik COVID-19 dan 10 buah negara teratas dalam kedudukan senarai ini adalah Amerika Syarikat, India, Brazil, Rusia, United Kingdom, Perancis, Itali, Sepanyol, Turki dan Jerman.

Pecahan kes COVID-19 dan jumlah kematian adalah seperti berikut:-

Amerika Syarikat 25,196,086 kes (420,285 kematian), India 10,626,200 kes (153,067 kematian), Brazil 8,699,814 kes (214,228 kematian), Rusia 3,677,352 kes (68,412 kematian), United Kingdom 3,543,646 kes (94,580 kematian), Perancis 2,987,965 kes (71,998 kematian), Itali 2,428,221 kes (84,202 kematian), Sepanyol 2,560,587 kes (55,041 kematian), Turki 2,412,505 kes (24,640 kematian) dan Jerman 2,108,895 kes (51,151 kematian).

Sementara China, di mana bermulanya wabak COVID-19 pada penghujung Disember 2019 di tempat 83 dengan 88,804 kes dan angka kematian 4,635.

Di samping Malaysia, dalam kalangan negara di Asia Tenggara, Indonesia dan Filipina turut menyertai senarai 79 buah negara yang mencatat lebih 100 ribu kes COVID-19.

Indonesia merekod 965,285 kes dengan 27,453 kematian, di tangga 19 sementara Filipina melaporkan 509,887 kes dengan 10,136 kematian, di tangga 32.

Myanmar minggu ini melaporkan 136,166 di tangga 71 sementara Singapura melaporkan sebanyak 59,250 kes dan angka kematian kekal 29.

Thailand mencatat 13,104 kes dan 71 kematian; Vietnam mencatat 1,546 kes dan 35 kematian; Kampuchea mencatat 456 kes dan masih sifar kematian.

Tiada perubahan kes COVID-19 di Brunei 141 kes (2 kematian) sementara kes COVID-19 di Laos sebanyak 41 kes dan sifar kematian.

---------------------------------------------------------------------------------------------

RUANGAN SISI

LATAR BELAKANG COVID-19

-- Penularan wabak COVID-19 yang pada awalnya dipanggil virus Wuhan berlaku ketika masyarakat Cina di seluruh dunia termasuk di China membuat persiapan untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina.

-- Virus dikesan di Wuhan, ibu negeri wilayah Hubei, China pada 31 Dis 2019 selepas WHO dimaklumkan terdapat beberapa kes radang paru-paru di bandar tersebut. 

-- Menurut WHO, pihak berkuasa China pada 7 Jan lalu mengesahkan koronavirus yang baru dikenal pasti itu boleh tersebar daripada manusia kepada manusia.

-- WHO memberi nama rasmi virus "2019-nCoV" iaitu COVID-19, singkatan untuk Corona Virus Disease 19. Virus ini dilaporkan mempunyai komponen genetik yang paling serupa yang terdapat pada ular dan kelawar.

-- Pegawai kesihatan China mengenal pasti Pasar Huanan Seafood di pusat bandar Wuhan sebagai lokasi bermulanya penyebaran wabak ini kerana terdapat jualan membabitkan daging haiwan eksotik di pasar tersebut seperti musang, serigala, buaya, ular, tikus, burung merak, landak dan unta.

-- Laporan dari Wuhan pada Selasa 11 Feb menyebut data terbaharu berdasarkan penyelidikan membabitkan lebih 1,000 pesakit COVID-19 di China mendapati tempoh inkubasi virus itu boleh mencecah 24 hari, bukannya 14 hari seperti yang dipercayai sebelum ini.

-- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac akhirnya melabelkan wabak penyakit COVID-19 sebagai pandemik.

-- WHO menyifatkan wabak penyakit COVID-19 sebagai 10 kali ganda lebih berbahaya daripada Influenza A H1N1atau lebih dikenali sebagai Selesema Babi (Swine Flu).

-- Wabak Selesema Babi berlaku antara Januari 2009 dan Ogos 2010 menyaksikan lebih 1.6 juta kes dikesan dengan 18,449 kematian. Ia mula dikesan di Mexico dan kemudiannya di Amerika Syarikat pada Mac 2009.

-- Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran pandemik COVID-19 akan mengheret ekonomi global kepada penguncupan ekonomi paling teruk sejak Zaman Kemelesetan The Great Depression.  

-- Kes pertama 2019-nCoV di Malaysia disahkan pada 25 Jan membabitkan tiga (3) warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura pada 23 Jan.

-- Khamis 30 Julai genap enam bulan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mengisytiharkan Darurat Kesihatan Awam berikutan kebimbangan dunia terhadap jangkitan 2019 novel koronavirus yang dikenali kemudian sebagai COVID-19.

-- Pengumuman yang dibuat itu adalah yang ke-enam dibuat oleh Pertubuhan itu tetapi yang terburuk. Untuk rekod, pengumuman lalu ialah bersabit H1N1 (2009), Polio dan Ebola di Afrika Barat (2014), Zika (2016) dan Ebola di Republik Congo (2019).

-- Di UK, varian baru COVID-19 yang dikenali sebagai B117 dilaporkan  70 peratus lebih mudah merebak. Mula dikesan pada September 2020.

-- Afrika Selatan juga mengenalpasti varian baharu novel coronavirus, dirujuk sebagai "501Y.V2". pada awal Oktober 2020.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan