RENCANA

BUANG UBAT: KESAN JANGKA MASA PANJANG TERHADAP ALAM SEKITAR

26/01/2021 04:56 PM

Oleh Erda Khursyiah Basir

Isu buang ubat dalam kalangan masyarakat di negara ini termasuk pesakit yang diberi ubat oleh hospital kerajaan mungkin bukan perkara baru, dan mungkin juga ianya masih berterusan.

Artikel lima siri ini antaranya menyentuh aspek sikap yang bukan sahaja menjurus kepada pembaziran tetapi juga isu perundangan, masalah kesihatan terutama penyakit tidak berjangkit yang wajar diberi perhatian serta kesan kepada alam sekitar akibat cara pelupusan ubat yang tidak tepat.

Ini siri akhir daripada lima siri.

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Kaedah pelupusan ubat-ubatan secara tidak tepat boleh mengundang kepada pencemaran alam sekitar termasuk sumber air untuk jangka masa panjang.

Ia bahkan berisiko mengancam hidupan akuatik di mana kebarangkalian kesan yang boleh berlaku mungkin tidak diduga.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Kimia yang juga ahli penyelidik di Pusat Penyelidikan dan Analisis Air (ALIR) Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Nurfaizah Abu Tahrim berkata walaupun sisa bahan farmaseutikal ini bukanlah satu-satunya penyebab kepada pencemaran alam sekitar, namun ia tidak boleh dipandang remeh. 

“Terdapat juga ‘laluan’ lain bagi bahan farmaseutikal ini memasuki alam sekitar dan persekitaran akuatik antaranya melalui sisa kumuh manusia, efluen (sisa buangan) daripada hospital dan isi rumah serta melalui bahan kumuh haiwan.

“Sisa kumuh manusia dan haiwan hasil daripada penggunaan bahan farmaseutikal turut dikenal pasti sebagai punca pencemaran. Tidak semua ubat-ubatan yang diambil oleh manusia atau haiwan akan dicerna sepenuhnya di dalam badan. Sebagai contoh apabila sisa ubat keluar melalui najis, ia seterusnya akan disalurkan ke loji rawatan kumbahan untuk diproses,” katanya kepada Bernama.

 

BAHAN FARMASEUTIKAL SINTETIK


Dr Nurfaizah Abu Tahrim, Pensyarah Kanan Jabatan Sains Kimia yang juga ahli penyelidik di Pusat Penyelidikan dan Analisis Air (ALIR) Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). -- Gambar ihsan Dr Nurfaizah Abu Tahrim

Mengulas lanjut Nurfaizah berkata secara amnya, ubat-ubatan yang masuk ke dalam badan manusia akan dikumuhkan pada kadar yang berbeza di mana akhirnya (secara langsung atau tidak) akan dialir dan diproses melalui sistem rawatan kumbahan sebelum disalurkan kembali ke sungai.

“Loji rawatan kumbahan dan rawatan air konvensional sedia ada tidak direka untuk mengurai ubat-ubatan berkenaan.

“Justeru, masih akan ada sisa ubat-ubatan dalam efluen air kumbahan yang tidak terurai yang akan dilepaskan ke dalam sumber air sungai sekaligus boleh memberi kesan kepada hidupan air,” katanya.

Menurut beliau kehadiran bahan farmaseutikal sintetik dalam air kumbahan mula dilaporkan sekitar tahun 1970-an oleh kumpulan penyelidik dari Kansas, Amerika Syarikat.

Kumpulan penyelidik berkenaan berjaya mengesan chlorophenoxy isobutyrate dan salicylic acid yang merupakan metabolit kepada clofibrate dan aspirin.

Sejak daripada itu pelbagai jenis ubat-ubatan dan metabolit telah dikenal pasti dalam sampel persekitaran terutamanya di negara-negara barat.

Para penyelidik universiti tempatan juga tidak ketinggalan menjalankan kajian berhubung kehadiran ubat-ubatan dalam pelbagai sampel akuatik. 

“Hasil kajian ke atas beberapa sampel air sungai di negara ini telah mengesan ubat-ubatan seperti acetaminophen, carbamazepine, gliclazide, metoprolol, nifedipine, prazosin dan simvastatin, namun ia hanyalah pada kepekatan yang rendah iaitu dalam julat bahagian per bilion (ppb) dan trilion (ppt).

“Masih tiada satu kaedah analisis piawaian yang boleh digunakan untuk mengesan kehadiran sisa ubat-ubatan dalam alam sekitar secara menyeluruh disebabkan kepelbagaian sifat kimia dan fizikalnya.

“Di samping itu, kebanyakan kaedah analisis yang dibangunkan oleh para penyelidik memberi tumpuan kepada kumpulan ubat-ubatan yang khusus,” katanya sambil menambah antara ubat atau bahan farmaseutikal yang dijumpai dalam persekitaran akuatik adalah daripada kumpulan analgesik, anti-keradangan, anti-hipertensi, anti-epileptik, anti-diabetik, antibiotik dan juga hormon kontraseptif. 

 

PERUBAHAN HORMON HIDUPAN AKUATIK


Pencemaran saliran air menjejaskan hidupan di sekitarnya. (gambar hiasan) --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Turut berkongsi bahawa sejak beberapa dekad lepas laporan mengenai perubahan sifat hormon pada beberapa spesies hidupan akuatik semakin meningkat, beliau berkata pencemaran bahan kimia dianggap sebagai punca utama terjadinya perubahan hormon ini yang bertindak mengganggu fungsi endokrin sedia ada. 

“Fenomena ini dikenali sebagai gangguan endokrin atau ‘endocrin disruption’. Ia dikenal pasti oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai isu global dan bahan kimia terlibat dikategorikan sebagai ‘endocrine disrupting chemicals’ (EDC). 

“Hormon bersteriod sering dikaitkan dengan kejadian ini dan antara hasil kajian yang pernah dilaporkan oleh penyelidik luar termasuklah sifat betina yang terbentuk pada ikan jantan,” jelasnya sambil menambah bukan semua sisa bahan farmaseutikal tergolong dalam kategori EDC dan masih tiada laporan yang mengaitkan kesan pencemaran ubat-ubatan dalam persekitaran ke atas kesihatan manusia.


Amlir Ayat, Aktivis Alam Sekitar yang juga Naib Presiden EcoKnights. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA/ Erda Khursyiah Basir

Sementara itu, Aktivis Alam Sekitar yang juga Naib Presiden EcoKnights Amlir Ayat berkata kerajaan wajar merangka kaedah atau prosedur yang lebih praktikal bagi menguruskan sisa-sisa domestik dari rumah termasuk yang merangkumi bahan farmaseutikal yang boleh membahayakan kualiti kesihatan awam.

Pengabaian pengurusan bahan farmaseutikal dan sisa klinikal mengikut piawaian dan prosedur yang ditetapkan katanya bukan saja menyebabkan pencemaran air dan udara oleh sisa pepejal malahan lebih membahayakan ialah bahan-bahan kimia, patogen dan seumpamanya yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Bagi mencapai tahap penglibatan masyarakat di setiap peringkat beliau berpendapat peranan media untuk mengetengahkan isu risiko-risiko pengurusan sisa produk farmaseutikal dan klinikal perlu dipertingkatkan.

“Begitu juga dengan kesedaran dalam kalangan pengendali pusat-pusat perubatan supaya mereka segera mendaftar dengan pihak berwajib bagi mengelak ancaman yang lebih besar kepada alam sekitar lebih-lebih lagi dengan kemungkinan pandemik COVID-19 akan berlarutan untuk tempoh masa yang lebih lama dan sukar diramal,” katanya.

 

KESEDARAN, TANGGUNGJAWAB BERSAMA


Menjaga kebersihan sungai dan bebas dari pencemaran kimia merupakan tanggungjawab semua rakyat Malaysia. (gambar hiasan) --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Ironinya, meskipun insiden pencemaran alam sekitar disebabkan ubat-ubatan tidak ketara berlaku berbanding pencemaran yang berpunca akibat pembuangan sisa bahan kimia yang lebih mudah dikesan melalui bau, perubahan warna dan lazim berlaku pada skala yang lebih besar dan kerap, pemantauan berterusan perlu terus dijalankan.

Ambil dan makanlah ubat mengikut arahan atau waktu yang ditetapkan pihak hospital atau klinik.

Hargai ‘ubat percuma’ yang diberikan dan pulangkan kembali ubat kepada pihak sewajarnya jika tidak digunakan supaya ia dapat diurus atau dilupus dengan kaedah yang betul, bersistematik dan paling penting mengikut piawaian yang ditetapkan.

Peranan, rasa tanggungjawab dan kesedaran masyarakat di samping peruntukan undang-undang mampu membendung gejala buang atau membazir ubat sekali gus menyumbang kepada kelestarian sumber air, udara dan alam sekitar daripada sebarang jenis pencemaran.

BERNAMA


 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan