RENCANA

COVID 19: KES HARIAN BAHARU TERIKAT EMPAT ANGKA, KES HAMPIR CECAH 2 RIBU

10/04/2021 08:48 AM

Oleh Melati Mohd Ariff

Berikut adalah rangkuman TERKINI mingguan mengenai COVID-19 dan perkara yang berkaitan di Malaysia serta di peringkat dunia dari 3 April hingga pukul 8:30mlm 9 April 2021.

Kes kumulatif COVID-19 di Malaysia melebihi 357 ribu. Di peringkat global, lebih 134 juta kes dilaporkan dengan lebih 2.9 juta kematian. Lebih 108 juta pesakit COVID-19 dilaporkan sembuh. Pandemik COVID-19 sudah merebak ke 216 buah negara dan wilayah.

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Dengan 342 kluster aktif dan 67 daripadanya menambah kes baharu, Malaysia masih bergelut dengan kes harian baharu COVID-19 empat angka dan hari ini menghampiri dua (2) ribu kes.

Dalam laporan harian Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), boleh dilihat dua kluster yang sering mencetuskan kes baharu koronavirus maut ini iaitu Kluster Tempat Kerja (KTK) dan Kluster Komuniti.

Nampaknya tempat kerja terus menjadi ‘lubuk penularan’ COVID-19, antaranya kilang, tapak binaan, syarikat pembinaan, pusat perniagaan, pusat pendidikan, pusat pentadbiran awam dan syarikat perkhidmatan.

Sementara Kluster Komuniti dikaitkan antaranya dengan majlis perkahwinan dan majlis sosial.

Sepanjang tempoh rangkuman mingguan Bernama (3 April hingga 9 April 2021), sebanyak 54 kluster baharu direkod dan daripada jumlah itu, 31 adalah KTK sementara 18 adalah Kluster Komuniti. (Perincian mengenai laporan kluster ada di bawah laporan ini).

Sejak melaporkan kes harian baharu tiga angka (941 kes/terendah setakat ini untuk tahun 2021) pada 29 Mac lepas, Malaysia terikat dengan kes harian baharu empat angka.

Sehingga pukul 12 tengah hari Jumaat 9 April 2021, kes harian baharu COVID-19 menghampiri dua (2) ribu iaitu 1,854 kes. Pada Sabtu, 3 April, kes harian baharu melepasi angka 1,500 iaitu 1,638 kes.


Petugas kesihatan menunggu penduduk setempat bagi melakukan saringan kesihatan dan ujian calitan (swab test) di Klinik Kesihatan Membedai, Labuan. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, daripada jumlah 1,854 kes itu, sebanyak 1,834 kes adalah penularan tempatan, terdiri daripada 1,618 orang warganegara (88.2 peratus) dan 216 orang bukan warganegara (11.18 peratus).

Kes import yang direkod hari ini adalah sebanyak 20 kes, iaitu lima (5) orang warganegara dan 15 orang bukan warganegara.

Untuk rekod, kes import yang dicatat sepanjang rangkuman mingguan ini adalah seperti berikut:-

7 kes (3 April), 7 kes (4 April), 9 kes (5 April), 24 kes (6 April), 13 kes (7 April), 17 kes (8 April) dan 20 kes (9 April).

Kes import yang tinggi dilaporkan pada 26 Mac iaitu sebanyak 32 kes (21 warganegara dan 11 bukan warganegara).

Setakat 9 April 2021, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 meningkat semula kepada 14,805 kes, sementara kes kumulatif COVID-19 di Malaysia, sebanyak 357,607 kes.

Malaysia kini di tangga 46 (berbanding 45 pada rangkuman mingguan lepas) dalam senarai 216 buah negara yang dilanda pandemik COVID-19. Di hadapan Malaysia adalah Panama (357,704 kes), Bulgaria (367,376 kes) dan Slovakia (369,393 kes).

Malaysia terus mencatat jumlah kes sembuh empat angka dan setakat 9 April 2021, sebanyak 1,247 kes sembuh dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif kes pesakit yang pulih daripada COVID-19 kini 341,489 kes (95.49 peratus).

Rekod kes harian baharu sepanjang tempoh rangkuman mingguan Bernama 3 April hingga 9 April 2021 adalah seperti berikut:-

1,638 kes (3 April), 1,349 kes (4 April), 1,070 kes (5 April), 1,300 kes (6 April), 1,139 kes (7 April), 1,285 kes (8 April) dan 1,854 kes (9 April).

Sementara rekod kes sembuh harian sepanjang tempoh rangkuman ini:-

1,449 kes (3 April), 1,270 kes (4 April), 1,294 kes (5 April), 1,412 kes (6 April), 1,199 kes (7 April), 1,175 kes (8 April) dan 1,247 kes (9 April).

 

KLUSTER BAHARU LONJAK KES


Orang ramai dilihat sudah mula membuat persiapan sempena sambutan bulan Ramadan yang bakal tiba ketika tinjauan di sekitar ibu kota. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Sehingga Jumaat 9 April, jumlah kluster yang direkod dalam negara adalah sebanyak 1,442 kluster dan 1,100 daripadanya ditamatkan. Kluster yang masih aktif adalah sebanyak 342 dan daripada jumlah itu, 67 kluster mencatat pertambahan kes baharu.

Tiga kluster yang mencatat pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Tapak Bina Persiaran Freesia (63 kes), Kluster Sungai Gemuan (26 kes) dan Kluster Penjara Jalan Harapan (25 kes).

Kluster Tapak Bina Persiaran Freesia - mula dikesan pada 23 Februari 2021, melibatkan daerah Kuala Langat, Selangor; hasil saringan bersasar pekerja sebuah tapak binaan di Persiaran Freesia. Setakat 9 April, jumlah kes keseluruhan, 388.

Kluster Sungai Gemuan - kluster komuniti ini melibatkan daerah Meradong di Sarawak, dikesan pada 28 Mac 2021. Setakat 9 April, jumlah kes keseluruhan, 39.

Kluster Penjara Jalan Harapan - mula dilaporkan pada 21 November 2020, melibatkan Penjara Sungai Buloh, Selangor. Setakat 9 April, jumlah kes keseluruhan, 5,068 kes.

Sementara itu, tujuh (7) kluster baharu dilaporkan hari ini (9 April) iaitu empat (4) kluster tempat kerja (KTK), iaitu masing-masing satu di Pulau Pinang, Johor, Sabah dan WP Kuala Lumpur/Selangor. Tiga yang lain adalah kluster komuniti, iaitu dua (2) di Sarawak dan satu (1) di Sabah.

Untuk rekod, jumlah kluster baharu dan Kluster Tempat Kerja (KTK) sepanjang 3 April hingga 9 April 2021:-

Sabtu 3 April - 7 kluster (3 KTK); Ahad 4 April - 10 kluster (5 KTK); Isnin 5 April - 6 kluster (5 KTK); Selasa 6 April - 10 kluster (5 KTK); Rabu 7 April - 10 kluster (6 KTK), Khamis 8 April - 4 kluster (3 KTK) dan Jumaat 9 April - 7 kluster (4 KTK).

Jumlah kluster KTK sepanjang tempoh rangkuman mingguan Bernama (3 April hingga 9 April) ini adalah sebanyak 31 kluster.

Di samping KTK, terdapat sebanyak 18 kluster komuniti dilaporkan sepanjang tempoh rangkuman ini, tiga kluster pusat tahanan, satu kluster keagamaan dan satu kluster import.

Antara kluster komuniti yang mencatat kes COVID-19 yang tinggi adalah Kluster Kampung Binyu (3 April) dan Kluster Sungai Kawi (7 April).

Kluster Kampung Binyu, melibatkan daerah Kucing, Bintulu, Samarahan dan Simunjan, Sarawak. Kluster melibatkan majlis perkahwinan dan setakat 9 April, jumlah kes keseluruhan, 127.

Kluster Sungai Kawi, melibatkan daerah Meradong dan Sibu di Sarawak. Kes indeks dilaporkan positif COVID-19 pada 31 Mac 2021 hasil saringan individu bergejala. Setakat 9 April, jumlah kes keseluruhan, 153.

Tiga kluster pusat tahanan dilaporkan sepanjang rangkuman mingguan ini iaitu satu (1) di Sarawak pada 4 April 2021 dan dua di Johor, iaitu pada 6 April dan 7 April 2021.

Kluster pusat tahanan di Sarawak, Kluster Tembok Sri Aman, melibatkan daerah Sri Aman. Ia hasil saringan bersasar tahanan-tahanan Penjara Pusat Sri Aman. Setakat 9 April, jumlah kes keseluruhan 300.

Dua kes pusat tahanan di Johor, pada 6 April, Kluster Padang Hijau, melibatkan daerah Kluang, hasil saringan bersasar tahanan-tahanan di pusat transit penerimaan yang terletak di Padang Hijau, Kluang. Sehingga 6 April 2021, 12 kes dikesan positif COVID-19.

Kluster pusat tahanan dilaporkan pada 7 April, Kluster Tembok Choh Dua melibatkan daerah Johor Bahru di Johor, hasil saringan sebelum masuk wad. Sehingga 7 April 2021, 10 kes dikesan positif COVID-19.

Satu kluster import dilaporkan pada 7 April, juga di Johor, iaitu Kluster Highline, melibatkan daerah Kota Tinggi, hasil saringan sign off. Kluster ini melibatkan krew sebuah kapal yang berlabuh di Perairan Pengerang, Kota Tinggi. Sehingga 7 April 2021, lima (5) kes dikesan positif COVID-19.

 

PERKEMBANGAN LAIN DALAM NEGERI


Penyokong Kedah Darul Aman FC menjaga penjarakkan fizikal mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan pada Perlawanan Liga Super 2021 di Stadium Darul Aman Alor Setar. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Setakat 9 April 2021, KKM melaporkan 15 daerah di Semenanjung kekal zon hijau iaitu Kangar (Perlis), Padang Terap, Langkawi, Bandar Bharu, Sik dan Yan di Kedah; Hulu Perak, Kampar di Perak; Jelebu, Jempol dan Kuala Pilah di Negeri Sembilan; Kemaman dan Hulu Terengganu di Terengganu dan Bera dan Cameron Highlands di Pahang.

Mengenai perkembangan mutakhir Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (Laporan Harian Pemberian Dos 1 Vaksin Mengikut Negeri) sehingga 8 April 2021 adalah seperti berikut:-

* Dalam kurungan Jumlah Dos 2

Perlis 10,001 (6,920); Kedah 32,836 (24,621); Pulau Pinang 35,085 (23,131); Perak 52,548 (34,436); Selangor 75,225 (48,493); Kuala Lumpur 51,100 (32,141); Putrajaya 6,767 (4,541); Negeri Sembilan 29,263 (16,850); Melaka 16,241 (10,230); Kelantan 25,293 (18,951); Terengganu 26,557 (15,805); Pahang 35,469 (26,248); Johor 49,401 (27,323); Sabah 52,322 (39,089); Labuan 3,176 (2,319); Sarawak 57,466 (29,873).

Jumlah pemberian Dos 1 dan 2 adalah 919,721 (jumlah Dos 1: 558,750 dan Jumlah Dos 2: 360,971)

Laporan Harian Jumlah Pendaftaran Vaksinasi sehingga 8 April 2021 menunjukkan seramai 8,309,480 (34.30 peratus) individu, berusia 18 tahun ke atas telah mendaftar.

Dr Noor Hisham dalam catatan di Facebook peribadinya pada 8 April 2021 mengumumkan, kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian pada 9 April 2021 untuk seluruh negara kekal 1.06. Negeri mencatat Ro tertinggi ialah WP Putrajaya 1.26 dan paling rendah, Melaka 0.92.


Pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut ditempatkan di stadium bagi menjamin penyokong mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan pada perlawanan Liga Super di Stadium Darul Makmur. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan dari 1 April hingga 14 April 2021 bagi Selangor, Johor, Kelantan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pulau Pinang, sementara untuk Sarawak, berkuatkuasa 30 Mac hingga 12 April.

Sepuluh buah negeri lain dikekalkan status Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) iaitu Perlis, Kedah, Perak, WP Putrajaya, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu, Sabah dan WP Labuan. Ia berkuatkuasa bermula 1 April 2021 sehingga 14 April 2021.

Pergerakan rentas daerah dalam negeri (kecuali Sabah dan Sarawak) dibenarkan, bagaimanapun, pergerakan rentas negeri masih tidak dibenarkan.

Malaysia masih berada di bawah Pengisytiharan Darurat bermula 12 Januari sehingga bulan Ogos 2021.

 

PERINCIAN KES COVID-19 DI MALAYSIA


Kelihatan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertugas di jeti pelepasan Terminal Feri Antarabangsa Labuan yang sunyi dan sepi berikutan larangan rentas negeri. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Berdasarkan perincian KKM mengenai 1,854 kes positif COVID-19 yang dilaporkan KKM pada Jumaat 9 April 2021, sebanyak tujuh (7) buah negeri mencatat kes harian baharu tiga angka, iaitu Sarawak (555 kes), Selangor (403 kes), Pulau Pinang (176 kes), Kelantan (143 kes), Sabah (139 kes), WP Kuala Lumpur (135 kes) dan Johor (103 kes).

Negeri mencatat kes dua angka, Kedah (40), Negeri Sembilan (40), Melaka (34), Perak (29), Terengganu (29), dan Pahang (19).

Dua negeri merekod kes harian baharu satu angka iaitu WP Putrajaya (6) dan WP Labuan (3). Perlis mencatat sifar kes harian baharu COVID-19.

KKM mengumumkan kenaikan kes harian baharu di Sarawak adalah disebabkan pertambahan kluster dalam kalangan komuniti termasuk di rumah panjang. Peningkatan kes juga melibatkan acara keramian serta aktiviti sosial seperti upacara pengebumian, perkahwinan dan acara keraian yang lain.

Daripada 555 kes, sebanyak 124 kes daripada kluster termasuk dua kluster baharu; 293 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19, satu (1) kes import dan 137 kes daripada saringan lain COVID-19.

Selangor, daripada 403 kes, sebanyak 101 kes daripada kluster, 228 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19, dua (2) kes import dan 72 kes daripada saringan lain.

Pulau Pinang, daripada 176 kes, 53 kes daripada kluster termasuk satu (1) kluster baharu, 29 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19 dan 94 kes daripada saringan lain COVID-19.

Kelantan, daripada 143 kes, 42 kes daripada kluster sedia ada, 78 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19 dan 23 kes daripada saringan lain COVID-19.

Sabah, daripada 139 kes, 71 kes daripada kluster termasuk dua kluster baharu; WP Kuala Lumpur, daripada 135 kes, 19 kes daripada kluster baharu, Kluster Taman Bukit Pantai (KTK), 65 kes daripada saringanm kontak rapat kes positif COVID-19 dan terdapat 15 kes import; Johor, daripada 103 kes, 45 kes daripada kluster termasuk satu (1) kluster baharu.

Sementara itu, sebanyak lima (5) kes kematian dilaporkan hari ini, iaitu tiga (3) kes di Sarawak dan masing-masing satu (1) di Sabah dan WP Kuala Lumpur. Tiga (3) kes melibatkan warganegara dan dua (2) kes melibatkan bukan warganegara.

Ini menjadikan kes kumulatif kematian di negara ini sebanyak 1,313 kes (0.37 peratus).

Untuk rekod, kes kematian sepanjang tempoh rangkuman 3 April hingga 9 April 2021 :-

3 kes (3 April), 2 kes (4 April), 7 kes (5 April), 5 kes (6 April), 4 kes (7 April), 4 kes (8 April) dan 5 kes (9 April).

Sebanyak 169 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi dan 79 kes daripadanya, memerlukan bantuan pernafasan.

 

STATISTIK GLOBAL COVID-19


Statistik terkini COVID-19 di seluruh dunia dan ringkasan kes COVID-19 di Malaysia. worldometers.info/coronavirus

Jumlah kes COVID-19 global terkini (worldometer) adalah 134,683,627 kes (rangkuman minggu lalu 130,337,218 kes) dengan 2,918,347 kematian (minggu lalu 2,842,850 kematian). Jumlah pesakit sembuh seramai 108,429,057 orang (minggu lalu 105,010,639 orang).

Sebanyak 216 negara dilanda pandemik COVID-19 dan 10 buah negara teratas dalam kedudukan senarai ini adalah Amerika Syarikat, Brazil, India, Perancis, Rusia, United Kingdom, Itali, Turki, Sepanyol, dan Jerman.

Pecahan kes COVID-19 dan jumlah kematian adalah seperti berikut:-

Amerika Syarikat 31,721,688 kes (573,894 kematian),

Brazil 13,286,324 kes (345,287 kematian),

India 13,060,542 kes (167,694 kematian),

Perancis 4,939,258 kes (98,065 kematian),

Rusia 4,623,984 kes (102,247 kematian),

United Kingdom 4,370,321 kes (126,980 kematian),

Itali 3,717,602 kes (112,861 kematian),

Turki 3,689,866 kes (33,201 kematian),

Sepanyol 3,336,637 kes (76,179 kematian),

Jerman 2,951,814 kes (78,473 kematian).

Negara China, di mana bermulanya wabak COVID-19 pada penghujung Disember 2019 kekal di tempat 92 dengan 90,386 kes. Angka kematian kekal 4,636.

Di samping Malaysia, dalam kalangan negara di Asia Tenggara, Indonesia, Filipina dan Myanmar turut menyertai senarai 88 buah negara yang mencatat lebih 100 ribu kes COVID-19.

Indonesia di tangga 19 minggu ini dengan 1,558,145 kes dan 42,348 kes kematian. Filipina di tangga 28 dengan 840,554 kes dan 14,520 kes kematian.

Myanmar di tangga 80 dengan 142,558 kes dan 3,206 kes kematian. Singapura di tangga 102 dengan 60,601 kes dan 30 kes kematian.

Sementara Thailand di tangga 113 dengan 30,869 kes dan 96 kes kematian; Kampuchea di tangga 173 dengan 3,604 kes dan 24 kes kematian; Vietnam di tangga 177 dengan 2,683 kes dan angka kematian kekal 35.

Brunei di tangga 200 dengan 216 kes dan angka kematian kekal tiga (3) kes, sementara Laos di tangga 208 dengan 49 kes dan sifar kematian.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------

RUANGAN SISI

LATAR BELAKANG COVID-19

-- Penularan wabak COVID-19 yang pada awalnya dipanggil virus Wuhan berlaku ketika masyarakat Cina di seluruh dunia termasuk di China membuat persiapan untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina.

-- Virus dikesan di Wuhan, ibu negeri wilayah Hubei, China pada 31 Dis 2019 selepas WHO dimaklumkan terdapat beberapa kes radang paru-paru di bandar tersebut.

-- Menurut WHO, pihak berkuasa China pada 7 Jan lalu mengesahkan koronavirus yang baru dikenal pasti itu boleh tersebar daripada manusia kepada manusia.

-- WHO memberi nama rasmi virus "2019-nCoV" iaitu COVID-19, singkatan untuk Corona Virus Disease 19. Virus ini dilaporkan mempunyai komponen genetik yang paling serupa yang terdapat pada ular dan kelawar.

-- Pegawai kesihatan China mengenal pasti Pasar Huanan Seafood di pusat bandar Wuhan sebagai lokasi bermulanya penyebaran wabak ini kerana terdapat jualan membabitkan daging haiwan eksotik di pasar tersebut seperti musang, serigala, buaya, ular, tikus, burung merak, landak dan unta.

-- Laporan dari Wuhan pada Selasa 11 Feb menyebut data terbaharu berdasarkan penyelidikan membabitkan lebih 1,000 pesakit COVID-19 di China mendapati tempoh inkubasi virus itu boleh mencecah 24 hari, bukannya 14 hari seperti yang dipercayai sebelum ini.

-- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac akhirnya melabelkan wabak penyakit COVID-19 sebagai pandemik.

-- WHO menyifatkan wabak penyakit COVID-19 sebagai 10 kali ganda lebih berbahaya daripada Influenza A H1N1atau lebih dikenali sebagai Selesema Babi (Swine Flu).

-- Wabak Selesema Babi berlaku antara Januari 2009 dan Ogos 2010 menyaksikan lebih 1.6 juta kes dikesan dengan 18,449 kematian. Ia mula dikesan di Mexico dan kemudiannya di Amerika Syarikat pada Mac 2009.

-- Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran pandemik COVID-19 akan mengheret ekonomi global kepada penguncupan ekonomi paling teruk sejak Zaman Kemelesetan The Great Depression.

-- Kes pertama 2019-nCoV di Malaysia disahkan pada 25 Jan membabitkan tiga (3) warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura pada 23 Jan.

-- Khamis 30 Julai genap enam bulan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mengisytiharkan Darurat Kesihatan Awam berikutan kebimbangan dunia terhadap jangkitan 2019 novel koronavirus yang dikenali kemudian sebagai COVID-19.

-- Pengumuman yang dibuat itu adalah yang ke-enam dibuat oleh Pertubuhan itu tetapi yang terburuk. Untuk rekod, pengumuman lalu ialah bersabit H1N1 (2009), Polio dan Ebola di Afrika Barat (2014), Zika (2016) dan Ebola di Republik Congo (2019).

-- Di UK, varian baru COVID-19 yang dikenali sebagai B117 dilaporkan 70 peratus lebih mudah merebak. Mula dikesan pada September 2020.

-- Afrika Selatan juga mengenalpasti varian baharu novel coronavirus, dirujuk sebagai "501Y.V2". pada awal Oktober 2020.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan