RENCANA

BERBUKA DI LUAR KEMBALI RANCAKKAN INDUSTRI, JANGAN LALAI PATUH SOP

15/04/2021 12:07 PM

Oleh Balkish Awang

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Ramadan tiba lagi. 

Mengimbau saat menyambut bulan penuh mulia ini pada tahun lepas, pasti ramai yang akan mengenang peristiwa perlu ‘berkurung’ dan hanya berbuka puasa di rumah berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan pandemik COVID-19. 

Tiada istilah berkumpul dan berbuka puasa beramai-ramai bersama keluarga mahupun rakan-rakan baik di hotel atau restoran malahan operasi bazar Ramadan turut tidak dibenarkan.

Pada waktu itu yang dibenarkan hanyalah membungkus atau memesan makanan dan masing-masing berbuka di kediaman sendiri. 

 

BUKAN ‘TIKET’ LUPA DIRI

Kini setahun berlalu dan negara masih berjuang menentang pandemik COVID-19. 

Cuma bezanya puasa pada kali ini, terdapat negeri yang dalam kawasan PKP, PKP Diperketatkan (PKPD), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP). 

Suasana sambutan Ramadan kembali dirasai apabila kerajaan membenarkan operasi restoran dan hotel serta bazar Ramadan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Dengan kebenaran itu, hakikatnya, yang perlu menjadi keutamaan rakyat ketika ini ialah terus kekal menjaga SOP. 


Pelanggan yang hadir berdoa sebelum azan Maghrib dilaungkan untuk berbuka puasa. -- Gambar ihsan Malakat Food Sdn Bhd

Jangan sesekali leka dengan menjadikan kebenaran untuk berbuka atau bersahur di luar beramai-ramai sebagai ‘tiket’ untuk lupa diri.   

Kita masih ‘belum menang’ menentang pandemik ini, namun pada masa sama sektor ekonomi juga perlu kembali digerakkan agar tidak terus memberi kesan kepada masyarakat dan negara. 

Bagi pemain industri, kebenaran untuk kembali beroperasi khususnya semasa bulan Ramadan umpama sinar baharu selepas setahun berdepan episod suram apabila pendapatan terjejas selain tidak dapat menyajikan menu istimewa buat para pelanggan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakat yang juga Pengasas Restoran Casa De Madani Mohd Fadzil Hashim berkata kebenaran yang diberikan kerajaan secara langsung menyumbang kepada merancakkan kembali industri hotel dan restoran yang cukup terkesan kerana kekurangan dan ketiadaan pengunjung.


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakat dan Pengasas Casa De Madani (duduk dari kiri) Mohd Fadzil Hashim dan Ketua Pegawai Operasi Malakat Food Sdn Bhd Abdul Aziz Juhari. Chef Mohd Shahrul Nizam Zulkifli (berdiri dari kiri), Ketua Pegawai Operasi (COO) Kumpulan Malakat Adzhar Mohd Noor dan Pengarah Kulinari Kumpulan Malakat, Chef Azizan Shukri. -- Gambar ihsan Malakat Food Sdn Bhd

“Tahun lepas pelanggan tidak dapat berbuka di luar (hotel dan restoran), tahun ini sudah boleh. Syukur kerana ia petanda positif untuk industri ini kembali bangkit. Kita harapkan masyarakat sentiasa peka dan patuh kepada SOP agar sektor-sektor perniagaan dapat terus berjalan dan tidak timbul isu yang akan memberi kesan kepada semua pihak.

“Sekarang memang kita bergantung kepada pelanggan tempatan kerana pelancong luar memang tidak ada, mereka tidak boleh masuk, jadi amat penting untuk rakyat kita meluangkan masa dan berbelanja di restoran dan hotel supaya industri yang setahun ‘mati’ ini boleh bangkit semula," katanya kepada Bernama pada majlis uji rasa Santapan Sepurnama di restoran itu yang terletak di Malakat Mall, Cyberjaya, baru-baru ini.

 

SOP BUKA PUASA


Hidangan makanan laut turut menjadi pilihan pelanggan. -- Gambar ihsan Malakat Food Sdn Bhd

Kerajaan membenarkan semua restoran, warung, gerai, kedai makan termasuk ‘coffee house’ di dalam hotel serta kedai makanan segera dan perkhidmatan penghantaran di negeri-negeri dikenakan PKPB dan PKPP beroperasi sehingga pukul 6 pagi sepanjang bulan Ramadan ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kebenaran itu diberikan bagi membolehkan orang ramai terutama golongan bujang mendapatkan makanan untuk bersahur. 

Bagaimanapun, bagi premis makanan di dalam kompleks beli belah atau pasar raya, ia tertakluk kepada waktu operasi bangunan. 

Ismail Sabri turut berkata penganjuran majlis berbuka puasa dibenarkan seperti bufet Ramadan di hotel, restoran dan premis makanan dengan SOP yang ketat. 

Hidangan set ‘dome’ digalakkan bagi majlis berbuka namun bagi hidangan secara bufet, pramusaji dikehendaki menyendukkan makanan kepada pelanggan.  

 Bilangan kehadiran bagi bufet Ramadan di kawasan PKPB dan PKPP dibenarkan dengan syarat ada penjarakan fizikal antara pengunjung dan SOP kedudukan meja perlulah dua meter (jarak antara satu meja ke meja lain).


Antara hidangan juadah yang popular disediakan di Restoran Casa De Madani. -- Gambar ihsan Malakat Food Sdn Bhd

Untuk majlis berbuka puasa di pejabat dan dewan, kapasiti 50 peratus daripada keluasan tempat bagi kawasan PKPB manakala 100 peratus di kawasan PKPP mengikut SOP yang ditetapkan.

Mengulas berkenaan SOP di restoran berkenaan, Eksekutif Chef Kumpulan Malakat Chef Mohd Shahrul Nizam Zulkifli berkata premis itu akan mematuhi prosedur yang telah ditetap kerajaan bagi hidangan bufet Ramadan.

Ia mengamalkan konsep semi bufet di mana pelanggan hanya perlu mengambil menu pembuka  selera dan pemanis mulut manakala hidangan utama akan dihidangkan oleh pelayan.

“Susun atur dibuat dengan jarak dua meter antara meja bagi membolehkan penjarakan sekurang-kurang satu meter. Setiap meja tidak melebihi daripada empat orang dan restoran ini hanya terhad kepada 60 orang pelanggan sahaja,” katanya.

Selain suhu badan pekerja dan pelanggan akan diambil, cecair pembasmi kuman disediakan, jumlah pelanggan turut dipantau bagi memastikan penjarakan fizikal di samping restoran turut disanitasi mengikut garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).  

 

UBAT KERINDUAN KAMPUNG HALAMAN


Sekumpulan pemuzik mendendangkan lagu-lagu nasyid buat pelanggan yang hadir. -- Gambar ihsan Malakat Food Sdn Bhd

Perjalanan rentas negeri yang masih tidak dibenarkan sehingga kini pasti membuatkan banyak hati yang rindu pada menu di kampung halaman.

Bagi mengubati kerinduan itu, Ketua Pegawai Operasi Malakat Food Sdn Bhd Abdul Aziz Juhari berkata restoran berkenaan menghidangkan juadah istimewa pelbagai negeri antaranya rendang tok, bubur lambuk wagyu, ayam percik, daging salai, daging bakar serta pelbagai kuih-muih selain menu juga turut ditukar setiap minggu.

“Kita turut menyajikan menu-menu seperti di bazar Ramadan, kuih-muih tradisional yang sedikit sebanyak dapat mengubati kerinduan pada kampung halaman kerana ramai yang tidak dapat pulang ke kampung. Untuk kuih kita bekerjasama dengan beberapa peniaga yang membuat kuih-muih Melayu asli.

“Pada tahun lepas mereka tidak boleh berniaga, jadi kita ambil kuih-muih dari mereka sebagai cara untuk membantu menjana ekonomi," katanya sambil menambah terdapat lebih 300 menu disajikan di restoran berkenaan.

Selain menu tradisi masyarakat Malaysia, terdapat menu citarasa Eropah Moden, Andalusia dan Asian antaranya  ‘Aussie Braised Lamb Shank’, ‘Smoked Duck with Purple Mash’, ‘Pan Seared Wagyu MB5 with Orange Sweet Potato’, ‘Rack of Lamb with Purple Carrots’, ‘Lobster Thermidor with duo Spaghettini Aglio Olio’, ‘Pan Seared Wagyu MB7 with Roast Japanese Sweet Potato’ dan ‘Oven Baked Aromatic Chilean Cod Fish with Mango Chutney’. 

Merupakan antara restoran Halal Fine Dining, apa yang lebih menarik pekerja dan pelayan di Casa De Madani adalah merupakan bekas pramugara dan pramugari dari beberapa buah syarikat penerbangan terkemuka.

Justeru tidak mustahil apabila layanan yang diterima pengunjung persis berada di awan biru.

Bekas Ketua Pramugara Malaysia Airlines (MAS) Rizal Pawanteh yang merupakan antara pelayan di restoran itu berkata kebanyakan mereka mempunyai pengalaman bertugas antaranya dari VietJet Air, Qatar Airways dan EgyptAir.

“Kebanyakan kami sudah dilatih oleh MAS, Qatar Airways dan lain-lain penerbangan, oleh itu kami terus berusaha memberikan layanan terbaik dan menawarkan kelainan kepada pelanggan. 

“Di sini layanan kita lebih fokus kepada pelanggan kerana tidak terikat dengan tempoh masa penerbangan,” katanya yang berpengalaman 22 tahun bekerja dengan MAS dan optimis dengan ketentuan takdir biarpun terpaksa beralih kerjaya ekoran impak pandemik COVID-19.

 

Disunting oleh Erda Khursyiah Basir

BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan