RENCANA

COVID-19: VARIAN GANAS, MALAYSIA BERDEPAN ANCAMAN 'TSUNAMI' KES HARIAN BAHARU

15/05/2021 06:01 AM

Oleh Melati Mohd Ariff

Berikut adalah rangkuman TERKINI mingguan mengenai COVID-19 dan perkara yang berkaitan di Malaysia serta di peringkat dunia dari 8 Mei hingga pukul 8:30 mlm 2021.

Kes kumulatif COVID-19 di Malaysia melebihi 460 ribu. Di peringkat global, hampir 162 juta kes dilaporkan dengan kes kematian melebihi 3.3 juta. Lebih 139 juta pesakit COVID-19 dilaporkan sembuh. Pandemik COVID-19 sudah merebak ke 216 buah negara dan wilayah.

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Malaysia kini bukan sahaja berhadapan dengan ledakan kes harian baharu COVID-19 tetapi juga perlu 'berperang' dengan varian koronavirus yang lebih ganas dan mampu mencetuskan kadar jangkitan serta kematian yang lebih tinggi.

Malah kadar kes harian baharu dijangkakan boleh mencecah sehingga lima angka dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah baru-baru ini memberitahu sidang media, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang berusaha mengawal penularan kes membabitkan varian dari United Kingdom, Afrika Selatan, Brazil dan India.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menetapkan empat varian berkenaan sebagai 'varian yang membimbangkan' (VOC) di peringkat global.

Menurut Dr Noor Hisham, varian yang paling banyak dikesan di negara ini adalah varian dari Afrika Selatan (varian South African B.1.351.) dan kes COVID-19 daripada jangkitan varian berkenaan dikesan menular di beberapa negeri iaitu Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan dan Perak.

Sehingga kini, sebanyak 62 kes positif COVID-19 dikesan melibatkan varian South African B.1.351. sementara varian dari India (B.1.617) yang dikesan setakat ini melibatkan dua kes (B.1.617.1 dan B.1.617.2) dan seorang daripadanya sudah meninggal dunia.

Menurut penjelasan Dr Noor Hisham, kes B.1.617.2, melibatkan bukan warganegara tiba di Malaysia pada 7 April 2021 dan kedua-dua ujian COVID-19 (pada 7 April dan 12 April) didapati negatif. Beliau dilaporkan positif pada 21 April dan meninggal dunia pada 1 Mei 2021.

Mengenai varian Brazil, beliau berkata, KKM setakat ini masih belum mengesan kes COVID-19 jangkitan varian berkenaan.


BERTUKAR JUADAH… Batu penghadang dan pagar kawat berduri bukan penghalang bagi ahli keluarga bertemu di antara mereka untuk bertukar juadah raya di Jalan Bangi - Nilai iaitu sempadan Negeri Sembilan-Selangor. -- fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Untuk rekod, pada 11 Januari 2021, KKM memaklumkan pihaknya mengesan satu kes COVID-19 varian UK B.1.1.7 melibatkan pengembara dari Malaysia yang mempunyai sejarah perjalanan ke United Kingdom pada bulan Disember 2020. Pengembara itu didapati positif

Malaysia sebelum ini menyekat kemasukan pengembara dari Nepal, Bangladesh, Sri Lanka dan Pakistan, sebagai susulan tambahan sekatan penerbangan dari dan ke India, berikutan kebimbangan penularan COVID-19.

Dr Noor Hisham turut menekankan bahawa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dikuatkuasakan dari 12 Mei hingga 7 Jun depan adalah antara usaha untuk mengekang penularan varian baharu yang mempunyai kadar kebolehjangkitan dan kematian yang tinggi.

Malahan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perutusan Sempena Hari Raya Aidilfitri, yang turut menyentuh perkembangan mutakhir penularan COVID-19 menyebut “Malaysia kini berada pada titik genting dan penularan varian baharu harus disekat. Dijangkakan jumlah kes harian akan mencecah lima angka dalam tempoh beberapa minggu akan datang."

Menurut Perdana Menteri lagi, hampir semua kawasan di negara ini bertukar menjadi “merah” dengan hampir kira-kira 70 peratus kes jangkitan berlaku secara sporadik (penularan dalam komuniti) dan hampir 80 peratus kes positif dikesan tidak mempunyai sebarang gejala.

 

LONJAKAN KES BAHARU DAN KES KEMATIAN


Pergerakan (PKP) di seluruh negara bermula 12 Mei, ziarah rumah ke rumah dan ziarah kubur semasa sambutan Aidilfitri adalah tidak dibenarkan bagi mengurangkan risiko penularan wabak COVID-19. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Sepanjang tempoh Rangkuman Mingguan Bernama (8 Mei hingga 14 Mei 2021), Malaysia merekod lonjakan kes harian baharu COVID-19 Malaysia melebihi tiga ribu dan menghampiri lima ribu kes di samping kes kematian yang tinggi.

Sehingga pukul 12 tengah hari Jumaat 14 Mei 2021, Malaysia menambah sebanyak 4,113 kes harian baharu COVID-19. Kes harian baharu tertinggi sepanjang rangkuman mingguan ini dilaporkan semalam (13 Mei), iaitu sebanyak 4,855 kes.

Terdapat dua lagi hari kes harian mencatat sekitar empat ribu iaitu pada Sabtu 8 Mei (4,519 kes) dan Rabu 12 Mei (4,765 kes).

Kes aktif dengan kebolehjangkitan yang dicatat hari ini melonjak kepada 41,471 kes, sementara kes kumulatif pula sebanyak 462,190 kes.

Berikut adalah bilangan kes harian baharu yang dicatat sepanjang tempoh Rangkuman Mingguan Bernama 8 Mei hingga 14 Mei 2021:-

8 Mei (4,519 kes), 9 Mei (3,733 kes), 10 Mei (3,807 kes), 11 Mei (3,973 kes), 12 Mei (4,765 kes), 13 Mei (4,855 kes) dan 14 Mei (4,113 kes).

Sementara itu, sebanyak 34 kes kematian lagi dilaporkan hari ini 14 Mei 2021, menjadikan kes kumulatif kematian sebanyak 1,822 kes, kesemuanya warganegara.

Kes kematian tertinggi untuk tempoh rangkuman dilaporkan pada Rabu 12 Mei iaitu 39 kes.

Untuk rekod, kes kematian sepanjang tempoh rangkuman 8 Mei hingga 14 Mei 2021 :-

8 Mei - 25 (23 WN 1 BWN); 9 Mei - 26 kes (25 WN 1 BWN), 10 Mei - 17 kes (16 WN 1 BWN); 11 Mei - 22 kes (22 WN);12 Mei - 39 kes (37 WN 2 BWN), 13 Mei - 27 kes (27 WN) dan 14 Mei - 34 kes (34 WN) .

*WN = warganegara *BWN = bukan warganegara

Bilangan kes pesakit COVID-19 yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) turut kritikal dan setakat 14 Mei 2021, KKM melaporkan 482 kes dan 250 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham pada Selasa lepas menyatakan KKM "sedang cuba menambah bilangan katil di ICU berikutan peningkatan pesakit yang memerlukan rawatan rapi. Permintaan untuk katil ICU dijangka bertambah sehingga lebih 1,700 unit dengan jangkaan kes harian baharu meningkat pada akhir Mei atau pertengahan Jun depan."

Menurut beliau, terdapat sebanyak 734 katil ICU di seluruh negara dan setakat ini lebih 500 buah katil sudah digunakan termasuk untuk pesakit COVID-19.

Malaysia pernah mencatat kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 melepasi angka 50 ribu pada Gelombang Ketiga COVID-19 iaitu sebanyak 50,894 kes pada 6 Februari 2021.

Berikutan trend kes harian baharu CoVID-19 yang semakin meningkat, kerajaan memutuskan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara mulai 12 Mei hingga 7 Jun 2021.

Larangan rentas daerah dan negeri turut tidak dibenarkan kecuali untuk tujuan kecemasan, kesihatan, bekerja, ekonomi, temu janji vaksinasi dan pasangan jarak jauh.

 

SEMAKIN RAMAI WARGANEGARA POSITIF COVID-19


Keadaan jalan utama di ibu kota kelihatan lengang pada hari kedua Aidilfitri, susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilaksanakan seluruh negara sehingga 7 Jun 2021. -- fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Berdasarkan data KKM, warganegara masih menyumbang purata 90 peratus kepada kes harian baharu COVID-19 sepanjang tempoh Rangkuman Mingguan Bernama.

Rekod KKM hari ini (14 Mei 2021), daripada 4,113 kes baharu, sebanyak 4,112 adalah penularan tempatan iaitu 3,791 (92.2 peratus) melibatkan warganegara sementara 321 (7.8 peratus) bukan warganegara.

Hanya satu (1) kes import, melibatkan bukan warganegara.

Berikut adalah data yang menunjukkan situasi berkenaan, termasuk kes harian baharu dan kes kumulatif, berdasarkan makluman KKM.

Sabtu 8 Mei - Kes baharu : 4,519 kes (436,944 kes kumulatif); Kes tempatan : 4,514 kes [3,964 warganegara (87.8%); 550 bukan warganegara (12.2%)]; Kes import : 5 kes (5 warganegara);

Ahad 9 Mei - Kes baharu : 3,733 kes (440,677 kes kumulatif); Kes tempatan : 3,727 kes [3,301 warganegara (88.6%); 426 bukan warganegara (11.4%)]; Kes import : 6 kes (1 warganegara, 5 bukan warganegara);

Isnin 10 Mei - Kes baharu : 3,807 kes (444,484 kes kumulatif); Kes tempatan : 3,802 kes [3,642 warganegara (95.8%); 160 bukan warganegara (4.2%)]; Kes import : 5 kes (2 warganegara, 3 bukan warganegara);

Selasa 11 Mei - Kes baharu : 3,973 kes (448,457 kes kumulatif); Kes tempatan : 3,968 kes [3,540 warganegara (89.2%); 428 bukan warganegara (10.8%)]; Kes import : 5 kes (1 warganegara, 4 bukan warganegara);

Rabu 12 Mei - Kes baharu : 4,765 kes (453,222 kes kumulatif); Kes tempatan : 4,758 kes [4,291 warganegara (90.2%); 467 bukan warganegara (9.8%)]; Kes import : 7 kes (5 warganegara, 2 bukan warganegara);

Khamis 13 Mei - Kes baharu: 4,855 kes (458,077 kes kumulatif); Kes tempatan : 4,852 kes [4,494 warganegara (92.6%); 358 bukan warganegara (7.4%)]; Kes import : 3 kes (3 bukan warganegara);

Jumaat 14 Mei - Kes baharu : 4,113 kes (462,190 kes kumulatif);Kes tempatan : 4,112 kes [3,791 warganegara (92.2%); 321 bukan warganegara (7.8%)]; Kes import : 1 kes (1 bukan warganegara).

 

Dengan 462,190 kes kumulatif, Malaysia kini di tangga 42 dalam senarai 216 buah negara yang dilanda pandemik COVID-19. Malaysia mengatasi Nepal (439,658 kes) dan di hadapan Malaysia adalah Maghribi (514,670 kes).

Setakat 14 Mei 2021, sebanyak 4,190 kes sembuh dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif kes pesakit yang pulih daripada COVID-19 kini 418,897 kes (90.6 peratus).

Sementara rekod kes sembuh harian sepanjang tempoh rangkuman ini:-

8 Mei (2,719 kes), 9 Mei (3,211 kes), 10 Mei (3,454 kes), 11 Mei (3,848 kes), 12 Mei (3,124 kes), 13 Mei (3,347 kes) dan 14 Mei (4,190 kes).

 

MASIH ADA KLUSTER BAHARU


Anggota keselamatan berkawal di pintu masuk utama Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Pelagat 3 Seberang Jerteh, Terengganu yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 14 Mei 2021. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Laporan harian Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengenai Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia, turut menunjukkan masih ada kluster baharu dikesan dan kluster tempat kerja masih membiak kes positif COVID-19 yang banyak di samping kluster komuniti.

Sehingga Jumaat 14 Mei 2021, negara mencatat sebanyak 1,861 kluster dan 1,400 kluster daripadanya ditamatkan. Bilangan kluster yang masih aktif sebanyak 461 kluster.

Bilangan kluster baharu yang dilaporkan hari ini adalah sebanyak 13 kluster. Daripada jumlah itu, empat (4) adalah kluster tempat kerja, empat (4) kluster komuniti, dua (2) kluster keagamaan, dua (2) kluster pendidikan dan satu (1) kluster kumpulan berisiko tinggi.

Kluster yang paling banyak dikesan kes positif COVID-19 daripada semua kluster yang dilaporkan hari ini adalah Kluster Jalan Perindustrian Balakong, melibatkan daerah Hulu Langat, Selangor. Sebanyak 138 kes dikesan positif setakat hari ini daripada 276 individu yang disaring.

Sementara itu, Dr Noor Hisham Abdullah dalam catatan di Facebook peribadinya pada Jumaat 14 Mei 2021 mengumumkan, kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian pada 14 Mei 2021 untuk seluruh negara kekal 1.08. Negeri mencatat Ro tertinggi ialah Terengganu 1.33, Perak 1.23 dan Pahanhg 1.23.

R-Naught (Ro/Rt) iaitu kebolehjangkitan satu kes positif COVID-19 kepada orang lain dalam tempoh kebolehjangkitan sepanjang tempoh rangkuman Bernama  (8 Mei hingga 14 Mei 2021) secara konsistennya berada pada kadar lebih 1.0. Sebelum ini, kadar Ro 0.5 diperlukan untuk melandaikan lekuk jangkitan koronavirus maut ini.

 

PERINCIAN KES COVID-19 DI MALAYSIA


Anggota Polis (All Black) melakukan rondaan bagi memastikan para pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP) semasa membeli-belah ketika musim perayaan di sebuah pasaraya di Seksyen 13 Shah Alam. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Berdasarkan perincian KKM untuk 4,113 kes harian baharu COVID-19 yang dilaporkan KKM pada Jumaat 14 Mei 2021, Selangor masih mencatat kes tertinggi empat angka dan hari ini menokok lagi 1,269 kes.

Sebelum hari ini, untuk tempoh rangkuman ini, Selangor mencatat kes tertinggi pada Sabtu 8 Mei (1,722 kes), Ahad 9 Mei (1,278 kes), Isnin 10 Mei (1,149 kes), Selasa 11 Mei (1,328 kes), Rabu 12 Mei (2,082 kes) dan Khamis 13 Mei (1,783 kes).

Sebanyak 11 buah negeri mencatat kes harian baharu tiga angka iaitu Sarawak 533, Kelantan 371, Johor 335, WP Kuala Lumpur 306, Pulau Pinang 266, Kedah 228, Pahang 178, Terengganu 165, Perak 147, Negeri Sembilan 124 dan Melaka 107.

Untuk kes harian baharu dua angka, dua (2) buah negeri yang dilaporkan ialah Sabah 53 dan WP Putrajaya 20 kes.

WP Labuan dan Perlis mencatat kes harian baharu satu (1) angka iaitu masing-masing enam (6) kes dan lima (5) kes.

 

STATISTIK GLOBAL COVID-19


Statistik terkini COVID-19 di seluruh dunia dan ringkasan kes COVID-19 di Malaysia. worldometers.info/coronavirus

Jumlah kes COVID-19 global terkini (worldometer) adalah 161,929,910 kes (rangkuman minggu lalu 156,816,184 kes) dengan 3,360,935 kematian (minggu lalu 3,272,370 kematian). Jumlah pesakit sembuh seramai 139,775,441 orang (minggu lalu 134,205,395 orang).

Sebanyak 216 negara dilanda pandemik COVID-19 dan 10 buah negara teratas dalam kedudukan senarai ini adalah Amerika Syarikat, India, Brazil, Perancis, Turki, Rusia, United Kingdom, Itali, Sepanyol, dan Jerman.

Pecahan kes COVID-19 dan jumlah kematian adalah seperti berikut:-

Amerika Syarikat 33,626,402 kes (598,541 kematian);

India 24,046,809 kes (262,350 kematian);

Brazil 15,436,827 kes (430,596 kematian);

Perancis 5,841,129 kes (107,250 kematian);

Turki 5,083,996 kes (44,059 kematian);

Rusia 4,922,901 kes (115,116 kematian);

United Kingdom 4,444,631 kes (127,651 kematian);

Itali 4,139,160 kes (123,745 kematian);

Sepanyol 3,598,452 kes (79,281 kematian);

Jerman 3,575,644 kes (86,276 kematian).

Negara China, di mana bermulanya wabak COVID-19 pada penghujung Disember 2019 di tempat 97 dengan 90,815. Angka kematian kekal 4,636.

Di samping Malaysia, dalam kalangan negara di Asia Tenggara, Indonesia, Filipina dan Myanmar turut menyertai senarai 90 buah negara yang mencatat lebih 100 ribu kes COVID-19.

Indonesia di tangga 18 - 1,734,285 kes (47,823 kematian);

Filipina di tangga 25 - 1,131,467 kes (18,958 kematian);

Myanmar di tangga 82 - 143,004 kes (3,212 kematian);

Thailand di tangga 94 - 96,050 kes (548 kematian);

Singapura di tangga 105 - 61,505 kes (31 kes kematian);

Kampuchea di tangga 128 - 21,499 kes (147 kematian);

Vietnam di tangga 176 - 3,816 kes (35 kematian);

Laos di tangga 190 - 1,498 kes (2 kematian);

Brunei di tangga 201 - 232 kes (tiga kematian).

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------

RUANGAN SISI

LATAR BELAKANG COVID-19

-- Penularan wabak COVID-19 yang pada awalnya dipanggil virus Wuhan berlaku ketika masyarakat Cina di seluruh dunia termasuk di China membuat persiapan untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina.

-- Virus dikesan di Wuhan, ibu negeri wilayah Hubei, China pada 31 Dis 2019 selepas WHO dimaklumkan terdapat beberapa kes radang paru-paru di bandar tersebut.

-- Menurut WHO, pihak berkuasa China pada 7 Jan lalu mengesahkan koronavirus yang baru dikenal pasti itu boleh tersebar daripada manusia kepada manusia.

-- WHO memberi nama rasmi virus "2019-nCoV" iaitu COVID-19, singkatan untuk Corona Virus Disease 19. Virus ini dilaporkan mempunyai komponen genetik yang paling serupa yang terdapat pada ular dan kelawar.

-- Pegawai kesihatan China mengenal pasti Pasar Huanan Seafood di pusat bandar Wuhan sebagai lokasi bermulanya penyebaran wabak ini kerana terdapat jualan membabitkan daging haiwan eksotik di pasar tersebut seperti musang, serigala, buaya, ular, tikus, burung merak, landak dan unta.

-- Laporan dari Wuhan pada Selasa 11 Feb menyebut data terbaharu berdasarkan penyelidikan membabitkan lebih 1,000 pesakit COVID-19 di China mendapati tempoh inkubasi virus itu boleh mencecah 24 hari, bukannya 14 hari seperti yang dipercayai sebelum ini.

-- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac akhirnya melabelkan wabak penyakit COVID-19 sebagai pandemik.

-- WHO menyifatkan wabak penyakit COVID-19 sebagai 10 kali ganda lebih berbahaya daripada Influenza A H1N1atau lebih dikenali sebagai Selesema Babi (Swine Flu).

-- Wabak Selesema Babi berlaku antara Januari 2009 dan Ogos 2010 menyaksikan lebih 1.6 juta kes dikesan dengan 18,449 kematian. Ia mula dikesan di Mexico dan kemudiannya di Amerika Syarikat pada Mac 2009.

-- Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran pandemik COVID-19 akan mengheret ekonomi global kepada penguncupan ekonomi paling teruk sejak Zaman Kemelesetan The Great Depression.

-- Kes pertama 2019-nCoV di Malaysia disahkan pada 25 Jan membabitkan tiga (3) warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura pada 23 Jan.

-- Khamis 30 Julai genap enam bulan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mengisytiharkan Darurat Kesihatan Awam berikutan kebimbangan dunia terhadap jangkitan 2019 novel koronavirus yang dikenali kemudian sebagai COVID-19.

-- Pengumuman yang dibuat itu adalah yang ke-enam dibuat oleh Pertubuhan itu tetapi yang terburuk. Untuk rekod, pengumuman lalu ialah bersabit H1N1 (2009), Polio dan Ebola di Afrika Barat (2014), Zika (2016) dan Ebola di Republik Congo (2019).

-- Di UK, varian baru COVID-19 yang dikenali sebagai B117 dilaporkan 70 peratus lebih mudah merebak. Mula dikesan pada September 2020.

-- Afrika Selatan juga mengenalpasti varian baharu novel coronavirus, dirujuk sebagai "501Y.V2". pada awal Oktober 2020.

 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan