BERITA COVID–19   Kadar penggunaan katil hospital antara faktor Kedah, Johor tidak dapat beralih Fasa PPN | COVID: Pejabat Kerajaan Negeri Sabah dibenar beroperasi kapasiti 80 peratus | Enam PPV di Johor Bahru dibuka untuk walk-in | Kampung Garib di Kudat, Sabah dikenakan PKPD bermula Rabu - MKN | COVID: Negara terus rekod kes sembuh melebihi kes baharu | 
RENCANA

Rawatan Imunoterapi Tawar Sinar Baharu Untuk Penghidap Kanser

29/07/2021 01:51 PM

Oleh Muhammad Bashir Roslan

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Kanser hati merupakan kanser ketiga paling berbahaya di dunia dengan pangkalan data dalam talian yang menyediakan statistik kanser global, Globocan mengunjurkan 830,180 orang meninggal dunia akibat penyakit itu pada 2020, selain 905,677 kes baharu pada tahun sama.

Karsinoma hepatoselular (HCC) merupakan kanser hati primer yang paling biasa dihidapi, khususnya dalam kalangan pesakit hati kronik jangka panjang. 

Di Malaysia, HCC merupakan kanser keenam paling banyak dihidapi rakyat dan penyebab ketiga kematian akibat kanser. Pada tahun lepas sahaja sebanyak 2,149 kes baharu direkodkan selain 2,050 kematian berkaitan HCC dilaporkan.

Antara penyebab HCC di Malaysia ialah hepatitis B dan hati berlemak yang turut dikenali sebagai penyakit hati berlemak berkaitan masalah metabolisme (MAFLD) yang dialami oleh setiap seorang daripada empat orang dewasa di negara ini.

 

SALAH TANGGAPAN


Dr Wan Zamaniah Wan Ishak, Pakar Onkologi Klinikal Fakulti Perubatan, Universiti Malaya (UM).

Di sebalik semua fakta ini, kanser hati jarang dibincangkan secara mendalam di Malaysia, dan ini menurut pakar onkologi klinikal di Fakulti Perubatan, Universiti Malaya (UM) Dr Wan Zamaniah Wan Ishak, antara punca berlaku banyak salah tanggapan berkaitan kanser itu. 

Antara yang paling biasa ialah “pembawa hepatitis B yang sihat” tidak akan merosot dan mengalami sirosis atau kanser hati, katanya yang turut menegaskan istilah “pembawa yang sihat” itu juga tidak kena pada tempat.

Menjelaskan bahawa transmisi virus hepatitis B lazimnya berlaku semasa proses kelahiran daripada si ibu yang dijangkiti, Dr Wan Zamaniah berkata risiko si anak menghidapi penyakit  itu dan seterusnya merosot kepada kanser hati pada kemudian hari dapat dicegah menerusi vaksinasi hepatitis B untuk bayi baru lahir. 


Jenis-jenis Penyakit Hati. -- Gambar ihsan Zeno Group

“Satu lagi salah tanggapan yang biasa berlaku ialah hati berlemak merupakan penyakit hati tidak berbahaya dan tidak akan berkembang menjadi kanser hati. Apa juga penyebab, sama ada hepatitis B, hepatitis C atau lemak atau alkohol, kerosakan pada hati berkembang dalam cara yang sama. Dalam jangka panjang, kecederaan pada hati akan menyebabkan fibrosis (tisu berserat) atau parut, mengakibatkan fibrosis tahap teruk dan sirosis yang mendedahkan penghidap kepada kanser hati,” jelasnya.  

Menurut beliau, barah hati merupakan penyakit yang kompleks melibatkan kewujudan dua kondisi yang mengancam nyawa, iaitu selain kanser, hingga 90 peratus kes HCC mempunyai masalah sirosis serius yang mana keseluruhan organ hati dipenuhi parut (penebalan tisu).

 

DOMINASI LELAKI


Tahapan Penyakit Hati. -- Gambar ihsan Zeno Group

“Kajian Pusat Perubatan UM (PPUM) pada 2015 mendapati usia purata penghidap HCC ialah 61 tahun dan 80 peratus merupakan lelaki. Lima daripada enam pesakit HCC juga didiagnosis pada peringkat akhir, justeru tidak lagi boleh menerima rawatan kuratif.

“Umumnya, jangka hayat bagi mereka yang menunjukkan simptom, sama ada kanser peringkat akhir atau penyakit hati, tidak melebihi enam bulan selepas didiagnosis. Justeru, pengesanan awal menerusi ultrabunyi dalam kalangan mereka yang berisiko menghidap HCC amat penting bagi meningkatkan peluang untuk hidup,” katanya.

Mengenai sebab majoriti penghidap HCC adalah lelaki, perunding pakar hepatologi di PPUM Prof Dr Rosmawati Mohamed berkata tidak ada punca definitif yang dikenal pasti, namun dipercayai penurunan adiponectin (sejenis hormon yang dikeluarkan oleh sel-sel lemak dan berperanan mengawal metabolisme) dalam kalangan lelaki semasa akil baligh mungkin menyumbang kepada peningkatan risiko golongan itu menghidap kanser hati.  

Katanya organ hati kaum lelaki juga tidak berupaya menangani keradangan kronik yang dicetuskan oleh agen jangkitan tertentu seperti toksin akut dan lain-lain tekanan.

“Ada lagi faktor lain, antaranya keterdedahan kepada toksin daripada alam sekitar selain tabiat berisiko seperti mengambil alkohol dan merokok yang sememangnya diketahui faktor risiko HCC,” katanya.

 

RAWATAN IMUNOTERAPI 


Prof Dr Rosmawati Mohamed, Perunding Pakar Hepatologi PPUM.

Namun menurut Dr Rosmawati masih ada sinar harapan bagi penghidap kanser untuk pulih atau menjalani kehidupan harian lebih berkualiti.

Rawatan imunoterapi merupakan antara intervensi berkesan, katanya yang menjelaskan kaedah tersebut merupakan yang terbaharu dalam rawatan kanser. Rawatan itu membolehkan sistem imun tubuh mengenal pasti sel kanser dan memusnahkannya.

Disebabkan rawatan ini masih baharu, beliau berkata amat penting bagi pengamal penjagaan kesihatan menjelaskan kepada pesakit tentang opsyen yang tersedia agar mereka dapat membuat pilihan yang tepat dalam melawan kanser.

“Imunoterapi ditawarkan di hampir semua hospital, dan sekalipun kosnya pelbagai, ada banyak bantuan pembiayaan, program klinikal serta sumber lain yang dapat meringankan beban kewangan pesakit kanser.

“Sebagai doktor, menjadi matlamat kami untuk meningkatkan akses pesakit kepada lebih banyak opsyen rawatan bagi mencerahkan lagi peluang mereka pulih,” katanya. 


-- Gambar hiasan. ecohealthguide.com

Imunoterapi didapati bersinergi dengan rawatan lain kanser seperti radioterapi dan kemoterapi, selain berkesan bagi merawat kebanyakan jenis kanser.

“Imunoterapi boleh ‘melatih’ sistem imun tubuh mengingati sel kanser, membentuk imunomemori yang memungkinkan remisi jangka panjang. Terdapat pelbagai jenis imunoterapi yang berfungsi dalam cara berbeza bagi melawan sel kanser. Sesetengah rawatan membantu sistem imun menghentikan atau memperlahan pertumbuhan sel kanser, sementara yang lain pula membantu sistem imun memusnahkan sel kanser atau menghalang kanser merebak ke bahagian lain.

“Rawatan biasa kanser berfungsi dalam cara yang sedikit berbeza, misalnya kemoterapi yang membunuh sel kanser yang berkembang dengan cepat, atau terapi radiasi (radioterapi) yang menggunakan radiasi dos tinggi untuk membunuh sel kanser serta mengecutkan saiz tumor.

“Imunoterapi yang dibuat secara seiring dengan rawatan biasa kanser boleh meningkatkan keberkesanan dan menghentikan penularan kanser dalam tubuh. Doktor boleh membantu pesakit mengenal pasti gabungan rawatan yang sesuai dengan mereka berdasarkan tahap kanser dan keadaan keseluruhan pesakit,” katanya.

Dr Rosmawati berkata imunoterapi dapat mengurangkan secara signifikan risiko kematian dan potensi untuk kanser itu bertambah teruk.

Selain itu, imunoterapi tidak mempunyai banyak kesan sampingan, manakala kesan yang dialami pula tidak teruk kerana rawatan tersebut hanya menyasarkan sistem imun, bukan sel dalam tubuh. Rawatan imunoterapi membolehkan penghidap bebas kanser untuk jangka masa lebih panjang selain menikmati hidup yang lebih berkualiti.

 

Diterjemah dan disunting oleh Noor Hayati Muda

BERNAMA

 

 


 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan