RENCANA

MALAYSIA PRIHATIN MENYINARI PELOSOK PEDALAMAN SABAH

09/09/2021 02:49 PM

Oleh Fadzli Ramli

Sabah sekali lagi menjadi tuan rumah kepada Sambutan Hari Malaysia 2021 pada 16 September ini.

Bersempena dengan hari yang penuh bersejarah ini, Bernama menyiarkan rencana dua siri dengan fokus kepada semangat keprihatinan dan kebersamaan menjadi tunjang buat Sabah menempuh pelbagai cabaran COVID-19, senada tema sambutan, Malaysia Prihatin

Ini bahagian satu daripada dua bahagian.

KOTA KINABALU (Bernama) -- Ketika berdepan cabaran getir Pandemik COVID-19 ketika ini, sejauh mana agaknya anda menyantuni jiran tetangga serta anggota komuniti sekitar tempat tinggal anda untuk memastikan mereka berada dalam keadaan baik serta selamat?

Pernahkah anda mengetuk pintu rumah mereka atau sekurang-kurangnya menelefon atau menghantar mesej kepada anggota komuniti anda bertanya khabar? Atau bertanya sudahkah mereka menerima vaksin? Cukupkah bekalan makanan atau mengingatkan mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP)?

Untuk mendapatkan banyak jawapan “Ya” atau “Ada” bagi soalan yang diajukan mungkin sukar bagi masyarakat bandar, namun situasi yang cukup berbeza penulis perhatikan berlaku dalam kalangan masyarakat Sabah terutama yang tinggal jauh di pedalaman.

Penulis yang mengikuti program vaksinasi COVID-19 untuk masyarakat pedalaman Sabah baru-baru ini melihat sendiri betapa teguhnya semangat keprihatinan masyarakat Sabah yang kekal diwarisi sejak generasi terdahulu, jelas terpancar dalam kepayahan hidup sepanjang Pandemik COVID-19 ini.

Meskipun tersisih daripada kemewahan dan permodenan, namun mereka tetap gigih berusaha mendapatkan apa sahaja maklumat terkini mengenai COVID-19 dan berkongsi maklumat yang diperolehi. Mereka juga berhubung dengan banyak pihak untuk mendapatkan bekalan vaksin bagi penduduk kampung.

Justeru, Malaysia Prihatin, tema sambutan Hari Malaysia 2021 jelas diterjemahkan dalam kehidupan masyarakat pedalaman Negeri Di Bawah Bayu ini.

 

KEBERSATUAN YANG SAMA


Yakub Sim, Ketua Kampung Long Pasia. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Pertama kali bertemu dengan Ketua Kampung Long Pasia, Yakub Sim, penulis mengakui agak gementar dengan air mukanya yang agak garang dan bertopi 'cowboy'. Bagaimanapun, semuanya itu lenyap dengan sikap mesra dan tutur kata lembut Yakub ketika ditemu bual.

Kampung Long Pasia terletak di kawasan tanah tinggi Malingan pada ketinggian 1,000 meter dari aras laut, kira-kira 300 kilometer dari Kota Kinabalu. Terdapat kira-kira 700 penduduk di kampung ini dari suku Lundayeh. Aktiviti ekonomi utama mereka adalah pertanian terutama bersawah padi dan ekopelancongan.

Yaakub, 64, anak kelahiran Long Pasia, memberitahu penulis, beliau dan bersama beberapa orang penduduk kampung akan mengetuk pintu rumah penduduk bagi mengetahui tentang keadaan mereka selain menyampaikan maklumat terkini mengenai COVID-19.

Menurut beliau, sememangnya menjadi rutin untuk ziarah dari rumah ke rumah penduduk kampung itu bagi bertanya khabar, sesuatu yang dilakukan juga oleh ketua kampung terdahulu.

Beliau meneruskan khidmat murni ini di sebalik wabak COVID-19 yang masih menjadi ancaman demi memastikan kebajikan serta keselamatan anak buahnya.

"Sebelum COVID-19, boleh bercakap, pergi sana sini tengok orang kampung dengan bebas tetapi sekarang kena ikut Prosedur Operasi Standard (SOP). Terkekang juga tetapi kekangan tidak jadikan saya dan orang kampung patah semangat untuk jaga semua orang.

"Pada peringkat awal COVID-19 itu datang memang agak sukar faham kerana ini virus masih baharu lagi dan cara ia merebak itu amat pantas. Memang kita pernah berdepan dengan penyakit lain sebelum ini seperti denggi dan malaria tetapi ini COVID-19 tidak boleh dibuat main," katanya kepada Bernama.


Perkampungan Long Pasia berusia lebih 400 tahun dan penduduknya terdiri daripada suku kaum Lundayeh. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Seorang lain ketua kampung di pedalaman Sabah yang menarik perhatian penulis ialah Nicholas Kamun. Beliau adalah ketua kampung, Kampung Nukakatan. Jarak kampung ini terletak lebih 300 kilometer antara satu sama lain dan terletak di dua daerah berbeza iaitu Sipitang dan Tambunan.

Penduduk dua buah kampung itu tetap memegang nilai kebersatuan sama terutama dalam menghadapi COVID-19 walaupun berbeza latar belakang iaitu Kampung Long Pasia, Sipitang terdiri daripada etnik Lundayeh, manakala Kampung Nukakatan, Tambunan majoritinya etnik Kadazan-Dusun.

Menurut Nicholas, 69, tidak kira latarbelakang etnik, agama, bahasa atau budaya sudah menjadi tradisi buat masyarakat Sabah untuk sentiasa mengambil tahu dan prihatin antara satu sama lain terutama ketika  menghadapi cabaran getir seperti COVID-19.

"Selain ancaman kesihatan, ketika COVID-19 ini, kita penduduk kampung juga berdepan dengan kesukaran hidup, ada yang hilang pekerjaan dan sebagainya. Jadi selain beri maklumat COVID-19 dan suruh dapatkan vaksin, kita tanya keadaan mereka dan bantu apa yang perlu," katanya.

Kampung Nukakatan terletak pada ketinggian sekitar 1,000 meter dari aras laut di lereng bukit berhampiran Gunung Kinabalu, kira-kira 60 kilometer dari Pekan Tambunan dan lebih 100 kilometer dari Kota Kinabalu.

 

BERITA PALSU


Seorang anggota RELA membawa seorang warga emas untuk mendapatkan suntikan vaksin sempena Program Jiwa Murni Army Combat Medic Vacination Programme (ACMVP). --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Penulis juga sempat bertanya kepada kedua-dua ketua kampuing ini tentang penularan berita palsu mengenai COVID-19 dan vaksin, yang mana menurut mereka walaupun kekurangan akses internet, berita palsu itu turut tersebar di kampung mereka.

Menurut Yakub dan Nicholas, agensi kerajaan antaranya Kementerian Kesihatan Malaysia menjelaskan tentang bahaya COVID-19 dan kepentingan vaksin. Berbekalkan maklumat itu, beliau bersama beberapa orang kampung turun padang bertemu penduduk kampung menerangkan tentang perkara itu.

Yakub berkata, terdapat segelintir penduduk kampung yang cuba mempengaruhi orang lain dengan mengemukakan pendapat sendiri mengenai vaksin seperti penerima akan meninggal dunia dan tidak kurang juga mereka yang takut apabila melihat jarum suntikan.

"Sebagai ketua kampung, saya orang pertama disuntik vaksin dan kemudian tunjukkan kepada orang kampung saya baik sahaja. Jika ada kesan sampingan hanya sedikit, maka dengan cara ini mudah orang kampung percaya," katanya.

Menurut Nicholas pula, bagi memudahkan pemahaman orang kampung, beliau menerangkan kerajaan sekian lama memberikan pelbagai jenis vaksin yang terbukti selamat untuk rakyat, justeru, vaksin COVID-19 diberikan kerajaan ini tidak terkecuali.

"Apa yang memudaratkan ialah apabila tidak dapat vaksin dan kemudian jangkit COVID-19 kepada orang lain. Jadi saya nasihatkan semua penduduk kampung jangan percaya semua berita palsu itu, semak dahulu semua maklumat diterima," katanya.

Selain itu, Yakub dan Nicholas bersama penduduk kampung lain juga berusaha memastikan penduduk kampung sentiasa mematuhi SOP bagi membendung penyebaran COVID-19 yang menurut mereka agak sukar pada mulanya tetapi semakin mudah apabila penduduk mula faham kepentingannya.

 

KEPENTINGAN TERIMA VAKSIN

Ketika menyertai program vaksinasi di kampung pedalaman ini, penulis juga sempat berkenalan dengan beberapa orang penduduk yang berusaha memberi pemahaman kepada orang kampung mereka mengenai COVID-19 dan program vaksinasi.


Elsyana Frederick, penduduk Kampung Long Pasia. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Seorang anak muda dari Kampung Long Pasia, Elsyana Frederick,16, memberitahu penulis, beliau mendapat banyak maklumat mengenai vaksin dan COVID-19 dari sekolahnya di Pekan Sipitang dan kemudian menyalurkan maklumat itu kepada ahli keluarga serta penduduk kampung.

"Kita kena jaga semua orang, jangan kita pentingkan diri sendiri sahaja. Jadi jangan malu-malu untuk kongsikan maklumat...mencabar juga mahu terangkan terutama apabila di media sosial dan internet tersebar berita palsu semua, tetapi kita fikir mahu jaga semua sahaja," katanya.

Beliau berkata, semangat melindungi masyarakat itu telah sebati dalam dirinya sejak kecil dan ia menjadi pembakar semangat untuk berusaha menerangkan kebaikan vaksin kepada orang kampungnya, sekali gus meyakinkan mereka vaksin dapat melindungi merea daripada jangkitan COVID-19.

Ketika megikuti program vaksinasi di Tamparuli yang majoriti penduduknya etnik Kadazan-Dusun, penulis berkenalan dengan seorang warga emas Pumpuan Dirim. 

Tamparuli adalah sebuah kawasan luar bandar, dalam daerah Tuaran di Pantai Barat Sabah dan terletak kira-kira 36 kilometer dari Kota Kinabalu.


Penduduk Kampung Long Pasia hadir di SK. Long Pasia untuk mendapatkan suntikan vaksin sempena Program Jiwa Murni Army Combat Medic Vacination Programme (ACMVP) untuk penduduk Kampung Long Pasia Sipitang. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Berbeza dengan orang ramai yang gementar dan takut untuk diberikan vaksin, Pumpuan, 82, hanya bersahaja ketika menunggu giliran dan menerima suntikan itu.

Malah ketika berbual dengan penulis setelah menerima suntikan, Pumpuan sempat menasihatkan orang ramai untuk mendapatkan vaksin COVID-19.

Pumpuan selalu menerangkan kepada ahli keluarga dan jirannya bahawa ketika dirinya yang dalam usia emas itu berani untuk mendapatkan vaksin COVID-19, mengapa orang lain yang lebih muda dan lebih kuat harus takut.

"Ambil vaksin ini saya sendiri yang mahu dijarum (dicucuk vaksin) kerana mahu beri kita sihat ini bukan mahu buat kita jadi sakit, tidak dijarum itu lagi sakit jadi saya nasihat lah kepada orang kita ini supaya jangan takut dijarum, kita mahu semua orang sihat ini," katanya.

 

KERJASAMA SEMUA


Nama Kampung Long Pasia diambil daripada sebuah sungai yang bernama Sungai Long Pasia. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim, hasil kerjasama semua pihak terutama penduduk kampung sendiri, kesedaran tentang bahaya COVID-19 dan kepentingan vaksinasi kini semakin tinggi dalam kalangan penduduk luar bandar.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli itu ketika ditemui penulis tersenyum lebar apabila melihat sendiri pusat pemberian vaksin (PPV) di kawasan pedalaman Sabah menjadi tumpuan penduduk untuk mendapatkan vaksin.

"Kesedaran masyarakat semakin meningkat hasil kempen masuk kampung, bersemuka, menerusi maya, keluarga, jiran, kawan-kawan, serta kenalan rapat, turut membantu menjayakan program vaksinasi ini sehingga ke pelusuk Sabah.

"Peranan dan tindakan kepimpinan dari peringkat daerah hingga ke peringkat kampung, juga banyak membantu melancarkan program vaksinasi. Ini menunjukkan kebersamaan erat antara kita semua, saya harap ini semua dapat diteruskan," katanya.

Bagaimanapun, beliau memohon kepada pihak kerajaan supaya memastikan jumlah bekalan vaksin untuk program itu mencukupi setelah usaha memberikan kesedaran itu berjaya dilakukan secara bersama bagi membolehkan Sabah mencapai imuniti kelompok dengan segera.

Sementara itu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun yang juga ADUN Karanaan berkata, usaha membendung penyebaran COVID-19 memerlukan kerjasama erat daripada orang ramai yang perlu mematuhi SOP serta tampil mendapatkan vaksin COVID-19.

Beliau yang juga jurucakap COVID-19 Sabah menerangkan kepada penulis bahawa corak jangkitan COVID-19 secara sporadik atau tidak diketahui puncanya semakin meningkat di negeri ini, justeru semangat kebersamaan masyarakat Sabah dalam melawan COVID-19 kini adalah penting.

"Terdapat trend di mana jumlah saringan kontak rapat menurun tetapi jumlah kes melalui saringan bergejala bertambah. Trend ini agak membimbangkan kerana ia satu petanda virus COVID-19 semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat tanpa diketahui punca penyebaran.

"Kes sporadik ini sering dikaitkan dengan kegagalan atau kecuaian mematuhi SOP serta amalan penjagaan kesihatan diri yang tidak sempurna maka jaga SOP sebaiknya. Ini adalah masa untuk kita secara bersama prihatin mengekang penyebaran COVID-19," katanya.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan