BERITA COVID–19   COVID: Makmal UNIMAS, CRC Sibu akan terus pantau varian baharuĀ  | COVID: Kes baharu turun lagi, 5,097 kes dilaporkan Sabtu | Varian baharu COVID-19: Arab Saudi sekat penerbangan dari 7 negara benua Afrika | Varian baharu: Perancis, Arab Saudi, beberapa negara lain larang perjalanan dari Afrika | PKPD di Puspen Sungai Ruan, Raub dari 28 Nov hingga 11 Dis | 
RENCANA

Pusat Internet Komuniti Lonjakkan Perniagaan Usahawan Kecil

18/10/2021 05:12 PM

Oleh Mohamad Bakri Darus

CAMERON HIGHLANDS (Bernama) -- Langkah kerajaan untuk mentransformasikan Pusat Internet Komuniti (PIK) kepada Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) akan membantu melonjakkan semula perniagaan usahawan kecil luar bandar.

Kebanyakan mereka yang menjalankan perniagaan secara tradisional amat terkesan dengan pandemik COVID-19 dan PEDi ibarat sinar baharu bagi golongan ini.

Sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), usahawan ini juga mula berjinak dengan perniagaan dalam talian memandangkan premis mereka terpaksa ditutup.

PIK menjadi pilihan mereka untuk mendapatkan pengetahuan dan kemahiran bagaimana untuk menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi meneruskan perniagaan.

Antara pengusaha di Cameron Highlands yang tampil mengambil inisiatif ini ialah Normah Ketot, 55, yang mendaftar dengan PIK Tanah Rata pada Januari 2020.


Normah Ketot, Pengusaha Hatiers Cafe & Bakerie.

Beliau mengakui bahawa PIK ibarat 'penyambung nyawa' bagi perniagaannya yang terkesan teruk apabila premis Kafe yang dimulakan pada tahun 2014 terpaksa ditutup akibat pandemik dan PKP.

Menurut usahawan makanan berasaskan bakeri dan cokelat buatan sendiri (homemade chocolate) ini, pelaksanaan PKP menyebabkan perniagaannya terhenti tiba-tiba apabila bilangan pelancong ke tanah tinggi itu merudum.

"Bagi memahirkan kaedah pemasaran secara dalam talian, saya menghadiri latihan keusahawanan di PIK ini. Petugas di sini banyak membantu. Saya menggunakan platform perniagaan facebook, shopee dan website. Ia baik untuk perniagaan saya," katanya kepada Bernama di PIK Tanah Rata baru-baru ini.

Beliau menambah, setelah menggunakan platform media sosial sebagai ruang pemasaran, jualannya boleh mencapai RM9,000 sebulan berbanding sebelumnya kira-kira RM6,000 sebulan.

Normah dan beberapa usahawan kecil lain hadir untuk bertemu dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa yang melawat PIK Tanah Rata baru-baru ini sempena Program Kembara Connectivity kementerian berkenaan.

 

CARI ALTERNATIF UNTUK TERUSKAN PERNIAGAAN


Muhammad Rozeimie Rohimin, Pengusaha Mama Rozie Sweet Potato Ball. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Seorang lagi usahawan yang ditemui, Muhammad Rozeime Rohimin, 32, yang menjalankan perniagaan makanan bebola ubi,  mewarisi perniagaan berkenaan daripada ibunya yang berniaga di tepi jalan dan pasar malam sekitar Cameron Highlands.

"Apabila berlaku COVID-19 dan penguatkuasaan PKP, saya terpaksa mencari alternatif lain untuk meneruskan perniagaan ini dan PIK adalah pilihan terbaik untuk usahawan kecil seperti kami," katanya.

Melalui PIK, beliau menghadiri latihan keusahawanan perniagaan dalam talian termasuk pemasaran dan kini produk sejuk beku itu dijual di seluruh negara.

"Saya suka dengan PIK ini kerana ia menyediakan banyak kemudahan seperti komputer, internet yang laju dan stabil selain ada tenaga pengajar ICT," katanya.

Beliau yang kini menggunakan kira-kira enam tan ubi keledek sebulan untuk menghasilkan produknya berbanding 100 kilogram sebulan sebelum ini, turut memulakan perniagaan secara dalam talian,  mempunyai lapan orang ejen pemasaran.


Sasaran kerajaan kepada 97% kawasan di seluruh negara akan mendapat kemudahan liputan rangkaian jalur lebar generasi keempat (4G) menjelang hujung tahun 2022 bakal merancakkan perniagaan dalam talian. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Nor Aishah Ismail, 35, usahawan makanan berasaskan bakeri pula berkata, setelah membuat pemasaran secara dalam talian,  jualan produknya meningkat kepada sekitar RM2,000 sebulan berbanding RM500 sebulan sebelumnya.

Beliau yakin apabila PIK ditransformasi kepada Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia, usahawan luar bandar akan dapat menggunakan pelbagai kemudahan yang disediakan untuk meningkatkan kegiatan ekonomi digital penduduk di kawasan luar bandar.

 

PIK TANAH RATA


Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa (tengah) diiringi Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor (kiri) melakukan lawatan ke Pusat Internet Komuniti Cameron Highlands pada Program Kembara Connectivity. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

PIK Tanah Rata yang terletak di Kampung Taman Sedia (Cameron Highlands), kini memberi khidmat kepada kira-kira 5,000 orang sejak memulakan operasi pada sekitar tahun 2018.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan mentransformasi kira-kira 1,000 PIK kepada PEDi dalam usaha meningkatkan kegiatan ekonomi digital penduduk di kawasan luar bandar.

Antara penambahbaikan ialah penyediaan kelengkapan dan kemudahan capaian internet di setiap premis, selain penyertaan serta kebolehupayaan penduduk di kawasan luar bandar untuk menguasai paltform ekonomi digital.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan menyusun gerak kerja serta menyediakan latihan dalam memperkasa pengetahuan penduduk dan memastikan mereka dapat manfaatkan e-dagang sebagai satu kaedah untuk memasarkan produk tempatan ke peringkat global.


Tan Sri Annuar Musa (kiri) mendengar penerangan daripada Pengurus Pusat Internet Komuniti Cameron Highland Ahmad Afandi Asmawi (kanan) berkaitan kemudahan komputer pelajar di Pusat Internet Komuniti Cameron Highlands. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Bercakap kepada pemberita selepas melawat PIK Tanah Rata, Annuar berkata, setiap PEDi akan mempunyai lembaga atau jawatankuasa pentadbir yang dianggotai wakil komuniti, pertubuhan bukan kerajaan dan persatuan peniaga yang kesemuanya akan berganding bahu untuk memperkasakan masyarakat di sesebuah kawasan luar bandar.

"Perkara ini penting kerana kita tidak mahu hanya kerajaan menjadi penyedia infrastruktur kelas pertama dengan perbelanjaan bilion ringgit menerusi JENDELA (Pelan Jalinan Digital Negara), namun tahap penggunaan, keterlibatan dan penguasaan masyarakat hanya di kelas ketiga," katanya.

Menurut beliau, sebelum ini penduduk luar bandar berhijrah ke bandar untuk mendapatkan pekerjaan atau berniaga, namun PEDi akan membantu penduduk menjalankan perniagaan walaupun mereka berada di kawasan luar bandar tetapi masih mampu menerokai pasaran luar.

 

PEMBINAAN MENARA TELEKOMUNIKASI BAHARU


Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa (berbaju biru) mendengar penerangan daripada Pengurusan Hal Ehwal Korporat Kawasan Timur Digi, Fairose Harun (berbaju hitam) semasa hadir melihat Pencawang Telekomunikasi ke 6 di Lembah Bertam-Felda Sungai Koyan. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Pada Program Kembara Connectivity KKMM melibatkan Selangor, Perak dan Pahang itu, Annuar turut meninjau tahap capaian jalur lebar termasuk di Sekolah Kebangsaan Telanok yang terletak 51 kilometer dari Tanah Rata, iaitu kawasan perkampungan penduduk Orang Asli.

Beliau turut mengumumkan pembinaan menara telekomunikasi baharu di Cameron Highlands yang melibatkan peruntukan RM120 juta.

Dianggarkan 90 peratus kawasan Orang Asli di tanah tinggi ini akan mendapat perkhidmatan jalur lebar daripada gentian optik pada penghujung tahun 2022.

Manakala 10 peratus lagi kawasan Orang Asli di Cameron Highlands akan dibina menara telekomunikasi menggunakan teknologi jalur lebar satelit membabitkan peruntukan kira-kira RM50 juta.

Kerajaan mensasarkan 97 peratus kawasan di seluruh negara akan mendapat kemudahan liputan rangkaian jalur lebar generasi keempat (4G) menjelang hujung tahun 2022..

Menerusi JENDELA, kerajaan memperuntukkan dana hampir RM4 bilion bagi merangka pembangunan infrastruktur untuk mencapai sasaran berkenaan.

Peruntukan itu antaranya melibatkan penambahbaikan capaian 4G di  kawasan yang masih menerima liputan 3G, pemasangan gentian fiber optik, pembinaan serta menaik taraf menara telekomunikasi di seluruh negara terutamanya di kawasan pedalaman dan penempatan Orang Asli.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA



 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan