BERITA COVID–19   COVID: Makmal UNIMAS, CRC Sibu akan terus pantau varian baharu  | COVID: Kes baharu turun lagi, 5,097 kes dilaporkan Sabtu | Varian baharu COVID-19: Arab Saudi sekat penerbangan dari 7 negara benua Afrika | Varian baharu: Perancis, Arab Saudi, beberapa negara lain larang perjalanan dari Afrika | PKPD di Puspen Sungai Ruan, Raub dari 28 Nov hingga 11 Dis | 
RENCANA

Program empowerNCER MyKasih Perkasa Pendidikan Orang Asli

23/10/2021 11:41 AM

Oleh Erda Khursyiah Basir

KUALA LUMPUR (Bernama) -- “Eng hok (saya suka) program empowerNCER Akademik @ Perak. Cikgu yang mengajar adalah Orang Asli dan ini amat membantu memudahkan proses pembelajaran saya dan rakan-rakan,” kongsi Nazira a/p Noli, murid tahun lima di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 7,  Batang Padang, Perak. 

Nazira merupakan antara 900 murid Orang Asli yang terpilih untuk mengikuti program empowerNCER Akademik @ Perak bagi tujuan pembangunan akademik dan modal insan kaum itu di sekitar pedalaman negeri tersebut, susulan penutupan sekolah akibat pandemik COVID-19. 

Program empowerNCER Akademik @ Perak (Orang Asli) merupakan program pembangunan insan di bawah Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).


Antara peserta Program empowerNCER Akademik @ Perak yang juga menerima manfaat Program empowerNCER MyKasih.

Program bertujuan meningkatkan pencapaian akademik dan peratusan kehadiran murid Orang Asli di sekolah, terutama dalam fasa peralihan ke tahun enam dan sekolah menengah, menerusi kaedah pengajaran tambahan berkesan berdasarkan modul yang disediakan pensyarah dan pakar pendidikan daripada UPSI, merangkumi asas pembelajaran ‘membaca, menulis dan mengira’ (3M). 

 

KOLABORASI DENGAN MYKASIH

Pada masa sama, NCIA turut berkolaborasi dengan Yayasan MyKasih (MyKasih) bagi program empowerNCER MyKasih yang bertujuan memberi akses kemudahan danfasiliti termasuk bantuan makanan kepada murid Orang Asli di kawasan pedalaman. 

Program pelengkap kepada latihan akademik yang memberi fokus kepada kesihatan dan pembangunan sahsiah itu melibatkan murid tahun lima dan enam  daripada SK Pos Kemar di Hulu Perak; SK Batu 14 dan SK Batu 7 di Batang Padang; serta SK Pos Legap dan SK Pos Perwor di Kuala Kangsar, merangkumi pelbagai latar belakang suku Orang Asli, antaranya Murut, Semai dan Temiar. 


Norfazlyna a/p Shaari bersama sebahagian murid Orang Asli sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran pada program empowerNCER Akademik @ Perak.

Dengan peruntukan sepenuhnya oleh Yayasan MyKasih, program itu mempunyai empat komponen utama, iaitu pemberian bantuan makanan tanpa melibatkan penggunaan wang tunai kepada murid; Pembelajaran Abad ke-21 untuk menambah baik pembelajaran 3M; program Robotic Science, Technology, Engineering and Mathematics (STEM) Learning yang memberi kesedaran tentang STEM dan aplikasi pembelajaran; serta Laman Akuaponik yang bertujuan mendedahkan murid kepada bidang keusahawanan melalui penjualan hasil tuaian tanaman.

Program itu menunjukkan impak positif dari segi peningkatan kehadiran murid di sekolah serta minat mereka terhadap STEM. 

 

PENDIDIKAN KUNCI UTAMA 

Menyifatkan pendidikan adalah kunci utama dan jalan keluar daripada belenggu kemiskinan, Ketua Eksekutif NCIA Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata kerjasama NCIA dengan MyKasih melalui program itu bertujuan membantu komuniti Orang Asli. 

Menurut beliau, sebelum negara dilanda pandemik COVID-19, tenaga pengajar daripada UPSI telah digerakkan ke perkampungan Orang Asli bagi mengadakan aktiviti pembelajaran berkaitan kemahiran 3M. 

“Berikutan penutupan sekolah dan langkah pencegahan untuk mengurangkan penularan wabak, UPSI telah melantik 31 fasilitator daripada komuniti Orang Asli bagi mengendalikan proses pembelajaran dan pengajaran di perkampungan mereka. 

“Fasilitator ini terdiri daripada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mereka dibekalkan modul pengajaran daripada UPSI. Proses pembelajaran tidak terhenti berikutan penularan wabak, tetapi tetap diteruskan bagi menjamin masa depan mereka,” katanya. 


Antara peserta Pertandingan Robotik Kebangsaan Maya 2021.

Seorang fasilitator, Norfazlyna a/p Shaari yang berbangga dapat menyumbang bakti kepada Orang Asli, berkata program itu memberi pengalaman luas kepadanya dalam mengejar cita-cita menjadi guru.

Jebasingam dalam pada itu berkata UPSI turut bekerjasama dengan pihak kantin sekolah yang terlibat bagi menyediakan makanan dan minuman kepada murid dan fasilitator. 

“Sebelum ini, murid yang layak diberikan elaun bulanan RM60 melalui kad pintar MyKasih bagi membolehkan mereka membeli makanan tanpa tunai di kantin sekolah. 

“Memandangkan penutupan sekolah berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), peruntukan bulanan daripada kad pintar itu digunakan oleh pihak UPSI untuk berurusan dengan kantin sekolah bagi menyediakan makanan kepada murid-murid dan fasilitator. 

“Kami mengoptimumkan sepenuhnya kemudahan yang diberikan oleh pihak MyKasih. Bukan hanya menyediakan makanan kepada murid yang terlibat, tetapi MyKasih juga menyediakan bakul makanan kepada semua murid Orang Asli di lima buah sekolah berkenaan,” katanya, menambah setiap bakul makanan bernilai RM150 itu yang mengandungi barang kering seperti beras, tepung, gula dan sebagainya, telah diedarkan kepada 1,600 murid bagi meringankan beban keluarga mereka ketika pandemik. 

 

SUMBANG KOMPUTER RIBA

Sementara itu, Jebasingam berkata pada tahun lepas,  hampir 400 unit komputer riba, projektor dan pencetak disumbangkan kepada 19 buah sekolah Orang Asli, yang ditempatkan di makmal komputer sekolah berkenaan. 


Yayasan MyKasih (MyKasih) juga menyediakan bakul makanan kepada semua murid Orang Asli terlibat.

“Sumbangan komputer riba baharu itu diharap dapat memupuk minat murid Orang Asli untuk meneroka dunia pembelajaran yang lebih luas. Ini juga merupakan satu kaedah untuk menarik minat mereka hadir di sekolah kerana berpeluang belajar menggunakan teknologi digital dalam era globalisasi yang semakin canggih ini.

“Disebabkan pelaksanaan PKP dan penutupan sekolah, pihak MyKasih telah membenarkan fasilitator yang dilantik oleh UPSI menggunakan kemudahan itu bagi proses pengajaran dan pembelajaran di kampung mereka. 

“Menerusi kemudahan komputer riba di kampung (Orang Asli), kita harap dapat menarik minat mereka untuk terus belajar bagi memastikan mereka tidak tersisih daripada program transformasi negara, selaras dengan konsep Keluarga Malaysia dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), yang bertujuan memastikan tidak ada kaum atau etnik ketinggalan dalam usaha menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi,” katanya. 

MyKasih turut menyediakan bahan pengajaran dan alat bantuan dalam mempersiap murid mengikuti Pertandingan Robotik Kebangsaan Maya 2021 yang bermula pada 24 Sept lepas selama tujuh hari.


Yayasan MyKasih (MyKasih) juga menyediakan bakul makanan kepada semua murid Orang Asli terlibat.

“Seramai 74 murid di bawah program empowerNCER MyKasih, termasuk 10 murid Orang Asli daripada lima buah sekolah, terlibat dalam pertandingan itu. Ini dapat memberi pendedahan dan pengalaman baharu di samping memupuk serta menanam minat mereka dalam bidang robotik,” katanya. 

Menerusi pertandingan itu, Sekolah Menengah Kebangsaan Langkawi yang juga antara sekolah yang terlibat dalam program empowerNCER MyKasih, terpilih ke Kejohanan Dunia Permainan Robot Maya 2021 yang akan berlangsung pada November ini. 

Jebasingam berkata sinergi antara MyKasih, NCIA, UPSI dan JAKOA penting bagi membantu murid yang kurang bernasib baik mendapat pendidikan berkualiti dan membina kehidupan yang lebih baik buat keluarga mereka. 

“Sehubungan itu, adalah menjadi harapan kami agar organisasi lain, terutama sektor swasta, dapat turut serta dalam program seumpama ini, supaya lebih ramai murid dapat terlibat pada masa akan datang bagi menyokong aspirasi RMK12 untuk menangani kemiskinan dan membangunkan masyarakat yang inklusif termasuk pembangunan Orang Asli,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan