RENCANA

BIOGEOTRAIL KUBANG BADAK GAMIT PENGUNJUNG TEROKA 12 TAPAK PENUH SEJARAH

27/10/2021 01:54 PM

Oleh Muhammad Basir Roslan

LANGKAWI (Bernama) -- Lawatan ke Langkawi mungkin tidak lengkap jika tidak meneroka Biogeotrail Kubang Badak di Sungai Kubang Badak yang  merangkumi 12 geotapak, antaranya Bukit Menora, Sungai Siam dan Gua Pinang.

Sungai Kubang Badak pada suatu ketika dahulu merupakan antara pengeluar utama arang kayu yang dihasilkan daripada pokok bakau minyak dan bakau kurap, namun menurut pemandu pelancong bertauliah Iqramullah Othman, aktiviti itu dihentikan selepas gugusan Pulau Langkawi diiktiraf  Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Langkawi UNESCO Global Geopark.


Kadar sewa bot di Jeti Nelayan Kubang Badak ialah minimum RM250 sejam bagi lapan penumpang, sambil menelusuri Sungai Siam yang mengambil masa selama dua atau tiga jam. -- fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Turut dikenali sebagai Langkawi Geopark, pengiktirafan itu yang diperoleh pada 1 Jun 2007, merangkumi kesemua 99 pulau (104 ketika air surut) dan merupakan gugusan pulau yang pertama diiktiraf di Asia Tenggara.

Berkongsi cerita mengenai Biogeotrail Kubang Badak, Iqramullah, 22, berkata  mereka yang ingin mengunjungi tapak-tapak berkenaan boleh menyewa bot di Jeti Nelayan Kubang Badak dengan kadar sewa minimum RM250 sejam (lapan penumpang) bagi menelusuri Sungai Siam yang biasanya mengambil masa dua hingga tiga jam.

 

KEBUK ARANG BERSEJARAH


Pemandu pelancong bertauliah di Langkawi, Iqramullah Othman (lelaki bertopi coklat, kiri). -- fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Iqramullah berkata antara lokasi bersejarah yang menarik untuk dilawati ialah tinggalan kebuk arang berusia 150 tahun di Bukit Menora.

"Berdasarkan sejarah, komuniti masyarakat Siam di sini yang mula–mula mempopularkan kaedah penghasilan arang kayu daripada pokok bakau. Ini memandangkan kawasan ini dahulunya antara kawasan perdagangan utama yang terkenal dalam  kalangan pedagang luar seperti dari China dan India,” katanya.

Menurutnya, kebuk itu dibangunkan menggunakan batu pasir  berbentuk bulat yang dikutip dari sungai dan batu pasir yang dipotong menjadi bentuk bata.

“Sesebuah kebuk boleh memuatkan  500 hingga 1,500 batang kayu bakau yang akan dibakar dalam keadaan asap terkurung di dalam kebuk,” jelasnya.


Antara tapak kebuk arang penuh sejarah yang berusia 150 tahun di Bukit Menora. -- fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Difahamkan proses untuk membuat arang kayu bakau itu mengambil masa sekurang-kurangnya sebulan bagi menjaga kualiti.

Bagaimanapun kata anak muda itu aktiviti komersial berkenaan tidak lagi dijalankan selepas pengiktirafan Langkawi Geopark, selain pokok bakau juga telah diisytiharkan sebagai sumber alam yang perlu dipelihara dan dipulihara.

Beliau turut berkongsi cerita asal-usul Bukit Menora yang menurutnya mendapat nama daripada sebuah drama tari berasal dari Thailand. 

Dalam drama tari itu, penari utamanya yang memakai kecopong, sejenis mahkota tinggi diperbuat daripada logam lembut,  digelar "Menora” atau monyet menari.

Pulau Kubang Badak ini juga kaya dengan hasil laut, khususnya ikan loban, udang kara dan udang lipan selain pelbagai jenis fauna, antaranya memerang licin yang mudah menambat hati pelancong dengan sikap jinaknya. 

 

GUA KUNO


Keindahan dan keunikan formasi batu kapur di Gua Pinang yang pastinya mengujakan pelancong. -- fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Iqramullah berkata destinasi lain yang turut berbaloi untuk dikunjungi ialah geotapak Gua Pinang yang merupakan sebuah gua laut kuno.

Difahamkan gua ini terbentuk sekitar 6,000 tahun dahulu akibat proses ombak ketika paras laut berada sekitar 15 meter lebih tinggi berbanding sekarang. Lapisan cangkerang setebal lebih satu meter di dinding Gua Pinang turut menjadi bukti perubahan paras laut di kawasan itu.

Menurut Iqramullah,  Gua Pinang juga diiktiraf sebagai antara gua terbesar di Langkawi dan tertua di Malaysia. Gua itu mempunyai beberapa buah kubah yang tinggi dan dihubungi oleh sistem terowong yang sempit.


Terdapat pelbagai keunikan pelbagai flora dan fauna yang ada di Kubang Badak BioGeoTrail. -- fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

"Gua sepanjang  130 meter ini juga menampung himpunan kelawar yang terbesar di Langkawi iaitu sekitar 7,000 hingga 8,000 populasi kelawar. Antara spesies yang unik ialah kelawar ladam bulat dan cecadu gua.

“Najis kelawar atau guano yang terkumpul di atas lantai gua ini dimanfaatkan oleh komuniti tempatan yang menjadikannya baja untuk tanaman durian dan buah-buahan lain,” katanya.

Menurutnya, Gua Pinang merupakan antara destinasi ekopelancongan yang popular berikutan kaya dengan pelbagai flora unik, antaranya asam batu, kemuning akar dan pokok gaharu, manakala fauna yang menjadi tumpuan pula ialah burung pekaka emas dan burung enggang.

 

PENGALAMAN TANGKAP KETAM


Pengerusi Koperasi Nelayan Sungai Kubang Badak Berhad, Rusasmizal Mohamad Ghazali. -- fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Setelah bersiar-siar di sekitar Geotapak Kubang Badak, pelancong boleh singgah di kolam ternakan ketam nipah yang diselia oleh Koperasi Nelayan Sungai Kubang Badak Berhad, tidak jauh dari jeti utama, untuk belajar cara menangkap ketam.

Pengerusi koperasi Rusasmizal Mohamad Ghazali berkata usaha itu dibuat bagi menggalakkan penglibatan ahli koperasi dalam ekopelancongan selain dilihat dapat menarik lebih ramai pelancong yang mahu merasai pengalaman “sehari dalam kehidupan nelayan". 

“Kolam ini beroperasi sebelum penularan COVID-19 dan kami pernah menerima kunjungan pelajar UiTM Arau yang datang untuk belajar tentang cara penternakan ketam daripada kami.

“Kami merancang untuk mengusahakan lebih banyak jenis hidupan laut pada masa akan datang seperti udang karang bagi menarik lebih ramai pelancong singgah di kolam kami,” katanya.

Sementara itu, bercerita tentang penternakan ketam nipah, Rusazmizal berkata pihaknya membeli benih atau anak ketam daripada nelayan di sekitar Kubang Badak pada harga RM12 sekilogram (sekitar 10 hingga 12 ekor dengan berat 90 gram seekor) yang kemudiannya diletakkan di dalam kolam penternakan selama tiga bulan.

Anak-anak ketam itu diberi makan potongan ikan tamban dan akan ditangkap selepas tiga bulan, iaitu apabila berat haiwan krustasea terbabit sekitar 200 hingga 250 gram, dan dikuarantin di dalam bakul selama tiga hari bagi membersihkan segala kotoran dan najis.

“Biasanya daripada 5,000 ekor benih ketam yang kita letakkan ketika proses awal penternakan, sekitar 80 peratus betul-betul mencapai piawaian itu, dan ketam yang mencapai piawaian tersebut kita akan bungkus dan edar kepada pembeli atau dimasak di sini,” katanya.

Katanya pelancong juga boleh singgah di restoran Crabfarm Langkawi yang diusahakan oleh seorang ahli koperasi, terletak tidak jauh dari kolam berkenaan.

Pelbagai masakan ketam nipah disajikan pada harga berpatutan, katanya, menambah pengunjung tidak akan berasa "rugi” jika datang ke Kubang Badak.

 

Disunting oleh Noor Hayati Muda

BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan