BERITA COVID–19   Varian Omicron: Indonesia kenakan sekatan ke atas 8 negara Afrika | COVID: Kes baharu turun kepada 4,239 - KP Kesihatan | Varian Omicron: Turki bawa keluar 41 rakyatnya dari Afrika Selatan | UK, Jerman, Itali lapor kes COVID-19 babitkan varian Omicron | COVID: Makmal UNIMAS, CRC Sibu akan terus pantau varian baharuĀ  | 
RENCANA

Pementasan KLPAC Untuk Memperingati 'Penyair Rakyat' Usman Awang

28/10/2021 03:25 PM

Oleh Soon Li Wei

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) --  "When can all citizens enjoy rights; To the same justice, the same treatment; And be known as one race: Bangsa Malaysia?"

(Bilakah semua warganegara mendapat hak

Layanan dan keadilan yang sama

Dikenal dengan satu rupa nama:

Bangsa Malaysia?)

Sajak bertajuk  'My Friend' ini, diterjemah daripada versi asal 'Sahabatku', oleh (Allahyarham) Datuk Dr Usman Awang, disampaikan oleh Joe Hasham OAM dengan diiringi persembahan tarian oleh Feyee Bethany, sewaktu acara  'Remembering Usman Awang' yang berlangsung di Pusat Seni Persembahan Kuala Lumpur (KLPAC), baru-baru ini.

Berkisar tentang ketaksamaan dalam kalangan rakyat Malaysia, Allahyarham yang juga Sasterawan Negara menulis puisi berkenaan untuk sahabatnya, Dr MK Rajakumar, yang dikenakan tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 1960an.


Sajak bertajuk 'My Friend' ini, diterjemah daripada versi asal 'Sahabatku', oleh (Allahyarham) Datuk Dr Usman Awang, disampaikan oleh Joe Hasham OAM. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Pengasas bersama KLPAC, dan Actor Studio,  Joe Hasham dan Datuk Dr Faridah Merican, 'Sahabatku' dalam mengenang Usman Awang, bercakap tentang personaliti kemanusian Allahyarham sebagai seorang rakan seperjuangan dan mesra dengan semua orang tanpa mengira latar belakang dan bangsa. 

"Saya memilih untuk menyampaikan puisi 'My Friend' dan novel Allahyarham 'Scattered Bones' (diterjemahkan daripada novel asal Tulang-Tulang Berserakan) untuk memperingati Usman, sahabat baik kami serta mentor saya.

"Saya mengenali Usman menerusi isteri saya, (Datuk Dr) Faridah pada awal tahun 1980an. Beliau menjadi mentor saya bukan sahaja untuk saya menghargai seni persembahan dan sastera tetapi juga kehidupan.

"Kami sahabat akrab dan sering keluar makan-makan bersama. Mengahwini wanita tempatan adalah satu cabaran besar tetapi saya bersyukur kerana dengan adanya Usman, perjalanan hidup saya dengan Faridah dipermudahkan, "  kongsi Joe Hasham dengan Bernama sewaktu ditemu bual baru-baru ini.

Beliau juga memetik sebahagian daripada novel 'Scattered Bones' (Tulang-Tulang Berserakan), satu-satunya novel karya Usman Awang yang mengandungi aksi, tragedi serta kegembiraan, pertarungan antara Empayar Jajahan Inggeris dan Komunis Malaya untuk menguasai Malaya dalam pementasan berkenaan.


Pengasas bersama KLPAC, dan Actor Studio, Joe Hasham dan Datuk Dr Faridah Merican. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Faridah, yang juga dikenali sebagai Wanita Pertama Teater Malaysia, menggambarkan Usman Awang sebagai seorang lelaki berjiwa  'muhibbah dan mudah bergaul'. 

"Beliau begitu bersemangat kalau bercakap tentang soal muhibbah dan beliau juga memberi perhatian berat kepada isu kemanusiaan. Beliau tidak pernah langsung menunjukkan rasa benci kepada sesiapa dan sentiasa tersenyum. 

"Ramai orang tertarik dan terpegun dengan hasil karyanya, termasuk saya. Saya kenal Usman sejak tahun 1960an lagi.

"Tulisannya sering mencerminkan serta mempersoalkan realiti dalam budaya, masyarakat serta tingkah laku, " kata Faridah, yang juga pengarah 'Remembering Usman Awang'.

 

USMAN AWANG DALAM KENANGAN


Usman Awang adalah antara nama yang tersohor dalam dunia kesusasteraan tempatan. -- Gambar ihsan penganjur acara 'Remembering Usman Awang'.

Usman Awang adalah nama yang tersohor dalam dunia kesusasteraan tempatan. Dilahirkan sebagai Wan Osman Wan Awang pada tahun 1929 di Kuala Sedili, Johor, Usman turut dikenali dengan nama pena 'Tongkat Warrant' di peringkat awal beliau menceburi bidang penulisan ketika berusia 19 tahun.

Menerusi hasil karya beliau yang antaranya menggarap isu kepentingan keharmonian antara kaum, beliau adalah pendokong sejati untuk kewujudan masyarakat berbilang kaum, selepas merantau ke seluruh ceruk dunia dan melihat sendiri pelbagai budaya serta masyarakat.

Beliau turut dikenali sebagai 'Penyair Rakyat' kerana hasil tulisannya turut menyentuh hati rakyat Malaysia tanpa mengira umur, kaum atau jantina. Semasa hayatnya, beliau memenangi banyak anugerah kesusasteraan, termasuk SEA Write Award (1982) dan Sasterawan Negara (1983).

Bakat serta pencapaian beliau amat dikagumi memandangkan beliau berhenti sekolah pada usia muda akibat kesempitan kewangan keluarganya.

Beliau menjadi buruh paksa semasa penjajahan Jepun dan berkhidmat sebagai anggota polis sewaktu penjajahan Inggeris di Malaya.

Usman kembali ke Rahmatullah pada 29 November 2001.

 

DALAM EMPAT BAHASA


Pelbagai aktiviti diadakan sempena acara 'Remembering Usman Awang', antaranya pembacaan sajak dan tarian. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Pementasan teater 'Experiencing Usman Awang' adalah yang kedua oleh KLPAC selepas tempoh empat bulan dan berlangsung dari 21 Oktober hingga 24 Oktober 2021 dengan pematuhan ketat Prosedur Operasi Standard (SOP).

Sekitar 200 orang penonton menyaksikan pementasan teater tiga hari itu.

Untuk meraikan ulang tahun kelahiran Usman yang ke-92 pada 12 Julai (sekiranya beliau masih hidup), KLPAC dengan The Actors Studio mengadakan lapan pementasan pendek - Scattered Bones (Tulang-tulang Berserakan), Sahabatku, Beli Buatan Malaysia, Kekasih, Merpati Putih, Jelajahi Dunia Ini, Mata Ayah, Ke Makan Bonda dan Salam Benua.

Pementasan berkenaan menerusi kaca mata 16 orang bakat kreatif.

Disampaikan dalam bahasa 'muhibbah' - Bahasa Malaysia, Inggeris, Mandarin dan Hokkien, ada yang dalam bentuk puisi sementara yang lainnya ditafsirkan secara tarian dan musik asal, dengan tema cinta, perpaduan, belas kasihan dan semangat kebersamaan.

Menurut Faridah, pasukan pelakon menjalani latihan menerusi 'Zoom' pada 14 Jun untuk persembahan teater sempena ulang tahun hari kelahiran Usman pada 12 Julai.

"Malangnya akibat Perintah Kawalan Pergerakan, kami terpaksa menangguhkannya. Namun kami taklah berputus asa dan menerusikan persediaan dengan harapan kami dapat kebenaran untuk kembali ke pentas.

"Kami bersungguh-sungguh mahu melakukan pementasan ini dan akhirnya, ia dapat juga diadakan, " katanya dengan penuh rasa gembira untuk pementasan yang berlangsung pada 21 Oktober lepas.


Acara 'Remembering Usman Awang' telah berlangsung di Pusat Seni Persembahan Kuala Lumpur (KLPAC), baru-baru ini. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Beliau berasa amat teruja melihat hasil karya Usman dipentaskan dalam pelbagai bahasa serta bentuk dan berharap rakyat Malaysia dapat menjiwai sebuah negara Malaysia yang menerima kepelbagaian masyarakat.

Faridah memuji pementasan dalam bahasa Mandarin dengan musik asal berdasarkan puisi ' Merpati Putih, 'Jelajahilah Dunia Ini' dan 'Mata Ayah', dipersembahkan oleh Tan Li Yang dan Ian Chow. 

Begitu juga tarian Zahir Muzani berdasarkan puisi 'Ke Makam Bonda' dan 'Salam Benua' dalam bahasa Hokkien oleh Mark Beau de Silva dan Amelia Tan. 

"Kami juga berganding bahu dengan pelajar-pelajar TUTAS (Taylor's University and The Actors Studio) yang menjadi sebahagian daripada pementasan ini. Empat daripada mereka mengambil bahagian dalam puisi kegemaran saya iaitu  'Kekasih' dan penari Feyee Bethany untuk 'Sahabatku'. 

"Kami juga berbangga dengan Sheena Baharudin yang begitu menjiwai puisi 'Merpati Putih', 'Jelajahi Dunia Ini' dan Omar Ali yang mendeklamasikan 'Beli Buatan Malaysia'," katanya.

 

MEMPERINGATI PUJANGGA RAKYAT


Usman Awang sering menekankan soal muhibbah di kalangan masyarakat serta memberi perhatian berat kepada isu kemanusiaan di dalam setiap karyanya. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Menurut Faridah, persembahan teater adalah usaha untuk mengenang kembali memori Usman serta hasil karya beliau yang tiada tolok bandingnya, di samping mengekalkan legasi beliau.

Beliau yang juga Profesor Adjung dan pengarah pembangunan program TUTAS juga berkata, hasil karya Usman adalah sebahagian daripada kelas "Sejarah Teater Malaysia”untuk program ijazah seni persembahan konservatori.

"Kami merancang untuk menganjurkan pementasan ini secara tahunan sebagai penghormatan kepada masa silam dan akan datang kita. Kami mahu karya-karya Usman Awang dikenang dan kekal dalam memori kita. 

"Dua puluh tahun sudah berlalu sejak Usman meninggal dunia tetapi bagi saya, Usman kekal dalam hati saya," katanya sambil menambah, seawal tahun 2019, konsep yang sama dipentaskan bertajuk "Don't Let Usman Awang Know'.

Joe Hasham berkata, meskipun pementasan yang diadakan itu bukanlah secara besar-besaran, namun walaupun kecil, ianya cukup bermakna untuk mengenang tokoh yang tersohor itu.

"Jika beliau masih ada, kami pasti beliiau akan tersentuh dengan apa yang kami lakukan ini, " katanya.

 

Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA 

 

 


 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan