BERITA COVID–19   COVID: 3,856 kes baharu hari Ahad, menurun berbanding semalam - KP Kesihatan | Singapura mudahkan rejim saringan VTL udara dan darat bermula Isnin | COVID: 3,764 kes dilaporkan hari ini - KP Kesihatan | Pengimbas suhu dikeluarkan daripada SOP wajib - Khairy | Thailand kembalikan perjalanan tanpa kuarantin bulan hadapan | 
RENCANA

Urusan Pendaftaran Taska, Pusat Jagaan Kanak-kanak Rumit, Melecehkan?

24/11/2021 03:33 PM

Oleh Erda Khursyiah Basir & Muhammad Basir Roslan

Isu kecuaian, pengabaian dan penderaan bayi dan kanak-kanak oleh pengasuh, taman asuhan kanak-kanak (taska) dan pusat jagaan sering kali berlaku bagaikan tiada berkesudahan. Lebih meruntun hati apabila ada yang tergamak bertindak kejam memperlakukan bayi dan kanak-kanak sehingga meragut nyawa mereka.

Artikel siri kedua daripada lima bahagian ini mengupas isu urusan pendaftaran pengasuh, taska dan pusat jagaan yang dikatakan rumit, tekanan yang dialami pengasuh serta aspek penjagaan kanak-kanak istimewa.

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Pasti ramai yang masih ingat kisah seorang remaja perempuan istimewa bernama Bella, 13, yang tular di laman sosial pada awal tahun ini.

Remaja sindrom down ini dilaporkan mengalami kesan lecur dan luka pada anggota badan, dipercayai akibat didera di pusat jagaan yang dikenali sebagai Rumah Bonda (RB) .


Siti Bainun Ahd Razali, pemilik Rumah Bonda. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Susulan pendedahan itu, pengasas pusat berkenaan bukan sahaja dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak bahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menyita premis RB yang terletak di Wangsa Maju itu, selepas mendapati ia tidak pernah berdaftar dengan JKM.

 

PROSES PENDAFTARAN MENYUSAHKAN?


Pegawai Penguatkuasaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melakukan operasi menyita sebuah pusat jagaan yang tidak didaftarkan di sekitar Setapak. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Isu banyak taman asuhan kanak-kanak (taska) dan pusat jagaan yang tidak berdaftar, lazimnya terbongkar apabila berlaku kes penderaan atau kematian di premis berkenaan, yang membawa kepada siasatan penuh pihak berwajib.

Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506), Fasal 4 di bawah JKM, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, mewajibkan pendaftaran pusat jagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Pendaftaran ini juga mesti memenuhi keperluan piawaian minimum JKM dan pihak yang melanggar Akta ini boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan termasuk kompaun, penutupan premis dan pendakwaan di mahkamah.

Hukuman bagi kesalahan taska dan pusat jagaan tidak berdaftar ialah denda tidak melebihi RM10,000.00 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

"Urusan pendaftaran rumit, melecehkan dan mengambil masa yang lama". Ini adalah antara alasan utama yang sering digunakan oleh pengurusan taska atau pusat penjagaan apabila "pecah tembelang" premis mereka beroperasi secara haram.

Menurut Naib Yang Dipertua Persatuan Pekerja Sosial Malaysia, Amy Bala, urusan pendaftaran taska atau pusat penjagaan memang mengambil masa kerana pengusaha perlu melengkapkan beberapa dokumen.


Amy Bala, Naib Yang Dipertua Persatuan Pekerja Sosial Malaysia (dua dari kanan).

Ini termasuk memberi senarai pekerja dengan kelayakan dan pengalaman yang sesuai, serta mengambil kira mereka ada mengambil kursus bersesuaian seperti kursus perkembangan kanak-kanak, memahami psikologi remaja, pengurusan serta pentadbiran dan kewangan pusat jagaan.

Beliau menambah, sebelum mendapatkan kelulusan pendaftaran dari JKM, pengusaha perlu mendapatkan kebenaran dari agensi lain yang terlibat sebagai contoh, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

"Pihak bomba perlu memastikan sesebuah pusat jagaan dilengkapi dengan kelengkapan keselamatan yang sesuai seperti pintu keluar (selain pintu masuk utama), kamera litar tertutup serta alat pemadam api.

"Sekiranya tiada, pihak bomba tidak boleh memberi kebenaran untuk pusat ini beroperasi, " katanya dalam wawancara dengan Bernama baru-baru ini.

Di samping itu, Amy berkata, pengurusan berkenaan juga perlu memastikan sistem pengudaraan di dalam premis berada dalam keadaan baik dan sesuai dengan jumlah tingkap yang mencukupi

Sebelum memulakan operasi, pengusaha juga perlu mendapatkan kebenaran daripada jiran tetangga memastikan kehadiran kanak-kanak yang ramai tidak mengganggu persekitaran kejiranan.

"Jumlah kanak-kanak yang ramai boleh menyebabkan bunyi bising yang ketara," jelasnya, sambil menambah, dengan dokumen yang lengkap, kelulusan untuk pendaftaran biasanya mendapat kelulusan JKM dalam tempoh tiga minggu.

 

TEMPAT PERLINDUNGAN DIPERCAYAI


Taman asuhan kanak-kanak (taska) dibenarkan beroperasi semula dengan kekal mematuhi penjarakan sosial ketika bermain atau belajar bagi mengekang penularan COVID-19. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Kanak-kanak yang di tempatkan di taska atau pusat jagaan ialah mereka yang memerlukan perlindungan di tempat yang selamat dari segi mental dan fizikal, terutama bagi ibu bapa mereka yang keluar bekerja.

Pada masa yang sama, ibu bapa turut meletakkan sepenuh kepercayaan kepada pengasuh dan penjaga untuk menjaga anak-anak mereka.

Justeru, Amy berpendapat, adalah tidak wajar menjadikan urusan pendaftaran yang leceh dan merumitkan sebagai alasan untuk tidak mendaftar.

“Apa niat utama pengusaha menubuhkan taska atau pusat jagaan kanak-kanak jika awal-awal lagi gagal memenuhi semua prosedur yang telah ditetapkan JKM ? ” katanya.

Menyentuh isu penderaan yang berlaku di taska, beliau yang berpengalaman selama lebih 30 tahun sebagai aktivis kanak-kanak berkata, antara yang menjadi punca ialah premis yang beroperasi tidak mempunyai sumber kewangan mencukupi untuk memastikan bilangan pekerja sosial (pengasuh atau penjaga kanak-kanak) mengikut nisbah yang ditetapkan pada satu-satu masa.

“Ada pekerja yang terpaksa bekerja lebih masa sebagai contoh, lebih daripada 10 jam sehari sehingga mengakibatkan mereka mengalami keletihan melampau.

"Apabila pengasuh ini tertekan, mereka akan mula melampiaskan kemarahan terhadap kanak-kanak di bawah jagaan mereka. Maka berlakulah kejadian seperti pukul, merotan malah sehingga tahap mendera kanak-kanak," katanya.

Beliau turut menambah, terdapat taska yang terlalu memfokuskan kepada program akademik dan keagamaan sekali gus mengabaikan fitrah kanak-kanak yang ingin bermain, bersosial dan meneroka perkara baharu.

“Inilah akibatnya sekiranya taska atau pusat jagaan tidak mengikut modul penjagaan dan pendidikan yang telah ditetapkan oleh pihak JKM,” katanya.

 

KANAK-KANAK ISTIMEWA


Prof Madya Dr Hasnah Toran, Pensyarah di Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaaan Malaysia. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Sementara itu pensyarah di Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaaan Malaysia Prof Madya Dr Hasnah Toran yang juga merupakan Pengerusi Raudhah Autisme berkata terdapat perbezaan aspek penjagaan kanak-kanak normal dan istimewa yang memerlukan pihak terlibat terutamanya JKM untuk lebih peka akan perkara ini.

Beliau yang juga pakar bidang Pendidikan Khas dan Intervensi Awal berkata, kanak-kanak istimewa seperti autisme, sindrom down atau yang mengalami kecacatan fizikal perlu diurus oleh pengasuh yang benar-benar terlatih.

“Pengasuh di taska dan pusat jagaan biasa diwajibkan menjalani Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak PERMATA (Kursus Asuhan PERMATA (KAP)) di bawah kelolaan JKM, tetapi untuk pusat jagaan kanak-kanak istimewa, perkara ini sebaliknya (tidak diwajibkan).

“Perkara ini secara langsung lebih mudah mengundang kejadian seperti penderaan dan penganiayaan kepada anak-anak istimewa kerana pengasuh mereka tidak mempunyai kemahiran dan ilmu penjagaan yang sewajarnya.

“Tambahan pula individu yang mengendalikan kanak-kanak istimewa ini perlu mempunyai kesabaran yang tinggi,” katanya, mencadangkan agar kursus seperti KAP, namun pengisiannya khusus untuk kanak-kanak istimewa, diwajibkan kepada semua petugas di pusat jagaan kanak-kanak istimewa.

Beliau pada masa sama berkata, proses untuk memohon lesen pusat jagaan kanak-kanak istimewa juga sukar berdasarkan pengalaman rakan-rakan terdekat selain garis panduan yang ditetapkan tidak dikaji semula bersesuaian dengan keadaan semasa.

“Hanya dua tempat yang boleh memberi kelulusan untuk permohonan lesen iaitu Kementerian Pendidikan (KPM) sebagai pusat pendidikan khas swasta atau melalui JKM sebagai pusat rehabilitasi atau sebagai pusat jagaan,” katanya.

Berpendapat kanak-kanak istimewa terutama yang mengalami kurang upaya ringan perlu digalakkan untuk menghadiri taska atau tadika bersama-sama dengan kanak-kanak lain sebagai perlaksanaan pendidikan inklusif, beliau bagaimanapun berkata implementasi pendidikan inklusif perlu dijelaskan tatacara serta garis panduannya.

 

PUSAT INTERVENSI AWAL KHAS


Rumah Kebajikan Taman Sinar Harapan Tunku Ampuan Najihah, Seremban. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Usaha kerajaan untuk menyediakan perkhidmatan intervensi awal kanak-kanak istimewa atau taska pendidikan khas masih terlalu kurang, dan setakat ini hanya terdapat dua Pusat Genius Kurnia iaitu yang terletak di Sentul dan Putrajaya.

Pusat Genius Kurnia adalah pusat intervensi awal untuk kanak-kanak yang mengalami masalah autisme.

Dalam memberikan pandangan ini, Hasnah berkata, kerajaan mungkin perlu mempertimbangkan untuk menjalin kerjasama dengan pihak swasta, dengan kerajaan menyediakan modul pembelajaran atau kursus manakala pihak swasta menyediakan fasiliti dan kemudahan infrastruktur.

“Kanak-kanak istimewa yang tidak mendapat intervensi awal dan masuk ke alam persekolahan apabila berusia tujuh tahun, KPM pula akan mewarisi isu dan masalah yang sama kerana ia tidak diselesaikan sejak di peringkat akar umbi.

“Inisiatif Kerajaan Negeri Selangor menubuhkan Pusat Sokongan Pendidikan Awal Anak Istimewa Selangor (Pusat Anis) dan Kerajaan Negeri Sarawak menubuhkan One-Stop Early Intervention Centre (OSEIC), bagi tujuan memenuhi keperluan kanak-kanak istimewa wajar diberikan pujian,” katanya.

Beliau menambah, pihak berkuasa perlu meningkatkan aspek pemantauan bagi memastikan kelancaran operasi taska dan pusat jagaan sekali gus mencegah berlakunya insiden seperti penderaan.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA

 

 

 

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan