RENCANA

JKM SEDIA PELBAGAI INISIATIF GALAK TASKA, PUSAT JAGAAN BERDAFTAR

23/02/2022 05:02 PM

Oleh Erda Khursyiah Basir & Balkish Awang

Isu kecuaian, pengabaian dan penderaan bayi dan kanak-kanak oleh pengasuh, taman asuhan kanak-kanak (taska) dan pusat jagaan sering kali berlaku bagaikan tiada berkesudahan. Lebih meruntun hati apabila ada yang tergamak bertindak kejam memperlakukan bayi dan kanak-kanak sehingga meragut nyawa mereka.

Dalam artikel siri akhir daripada lima bahagian ini Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menegaskan kewajipan untuk setiap pengasuh dan pengusaha taska mempunyai sijil KAP, menjawab dakwaan proses pendaftaran yang rumit serta yuran taska dan pusat jagaan yang dikatakan mahal, serta inisiatif yang digembleng bagi menggalakkan lebih ramai pengasuh, taska dan pusat jagaan untuk berdaftar dengan agensi itu.

KUALA LUMPUR (Bernama) -- ‘Jom Daftar’ dan khidmat nasihat pendaftaran adalah antara program advokasi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menggalak serta memudahkan lebih banyak premis taman asuhan kanak-kanak (taska) dan pusat jagaan berdaftar dengan agensi itu. 

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JKM, Fatimah Zuraidah Salleh, mesyuarat ‘Pusat Sehenti’ juga kerap diadakan JKM negeri bersama agensi teknikal yang terlibat bagi mengatasi masalah pendaftaran.

“Bagi taska dan pusat jagaan kanak-kanak yang tidak mempunyai usaha untuk berdaftar pula, JKM akan mengambil tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas ke atas mereka," katanya dalam wawancara eksklusif dengan Bernama baru-baru ini. 

 

WAJIB JALANI KAP


Fatimah Zuraidah Salleh, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memandang serius isu pengasuh yang bekerja di taska dengan memastikan mereka menjalani Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak PERMATA (Kursus Asuhan PERMATA/KAP) di bawah kelolaan JKM.

Mana-mana individu samaada pengusaha, pengurus, penyelia atau pengasuh yang bekerja di taska wajib untuk mengikuti dan lulus KAP.

“Tiada sijil KAP bermakna tidak layak untuk menjadi pengusaha, pengurus dan penyelia taska. Walaupun masih ada pengasuh yang belum melengkapkan kursus KAP, mereka masih boleh bekerja di taska berdaftar dengan JKM. Namun begitu, mereka perlu hadir dan lulus KAP dalam tempoh 12 bulan mulai tarikh mereka berkhidmat di taska dan menjadi pengasuh berdaftar.

“Berdasarkan Peraturan-Peraturan Taman Asuhan Kanak-Kanak 2012, sekiranya pengusaha gagal memastikan pengasuh hadir dan lulus KAP dalam tempoh 12 bulan, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya,” jelas beliau.

Bermula 1 Januari 2013, KAP diwajibkan ke atas pengusaha, pengurus, penyelia dan pengasuh, bagi menggantikan Kursus Asas Asuhan Kanak-Kanak (KAAK) yang dilaksanakan sejak 1988.

Ia bertujuan memenuhi syarat pekerjaan sebagaimana yang digariskan di dalam Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 dan Peraturan-Peraturan Taman Asuhan Kanak-Kanak 2012 kepada semua bakal pengusaha, pengurus, penyelia dan pengasuh taska.

Sehingga Ogos 2021, sebanyak 5,436 buah taska di seluruh negara berdaftar dengan JKM manakala sebanyak 1,858 pusat jagaan, mendaftar sehingga September 2021.

Untuk pengasuh pula, sehingga Oktober 2021, seramai 18,385 orang telah berdaftar dan daripada jumlah itu, seramai 9,310 orang pengasuh mempunyai sijil KAP manakala selebihnya belum mempunyai sijil berkenaan.

Fatimah Zuraidah pada masa sama menolak dakwaan KAP tidak diwajibkan untuk pengasuh dan pengusaha di taska kanak-kanak istimewa atau orang kurang upaya (OKU) kerana syarat kelayakan pengasuh di taska adalah sama untuk semua kategori sebagaimana termaktub dalam Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984.

 

PROSES DAFTAR 21 HARI

Beliau yang turut menjawab dakwaan proses mendaftar taska dan pusat jagaan yang dikatakan rumit dan memakan masa yang lama menjelaskan, di peringkat JKM, permohonan pendaftaran taska yang lengkap akan diproses untuk kelulusan dalam tempoh 21 hari bekerja.


Menara SSM@Sentral.

Menurut beliau, permohonan yang lengkap bermaksud, dokumen yang dihantar lengkap dengan kelulusan pendaftaran perniagaan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan mendapat kelulusan tiga agensi teknikal iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Kesihatan.

Di samping itu, semua dokumen yang diperlukan oleh JKM juga hendaklah dilengkapkan seperti sijil KAP, menu makan, jadual aktiviti, pelan lantai dan sebagainya.

Fatimah Zuraidah menjelaskan, selepas dokumen lengkap dikemukakan kepada pihak JKM, semakan dokumen dan pemeriksaan ke taska akan dilakukan.

Langkah seterusnya ialah penyediaan laporan oleh pegawai dan kemudian akan dibawa untuk kelulusan Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri.

"Sijil perakuan pendaftaran untuk sah tempoh selama lima tahun akan dikeluarkan bagi setiap permohonan yang diluluskan. Semua syarat yang ditetapkan dalam Panduan Permohonan Pendaftaran Taska adalah berdasarkan Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 yang perlu dipatuhi agar keselamatan dan kebajikan kanak-kanak di taska terjamin," katanya.

 

KAJI PASARAN

Bagi mempercepatkan urusan pendaftaran taska di peringkat JKM, pemohon dinasihatkan membuat kajian pasaran permintaan dan penawaran, mengenal pasti syarat pendaftaran dan agensi teknikal yang terlibat serta mendapat khidmat nasihat daripada agensi berkaitan.


Pengusaha boleh merujuk kepada Garis Panduan Perancangan dan Penubuhan Tadika dan Taska yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa atau merujuk kepada PBT. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Pemohon juga boleh mendapatkan khidmat nasihat PBT, iaitu Pihak Berkuasa Tempatan dan Jabatan Tanah dan Survei untuk Sarawak sahaja, selain membuat kajian dengan masyarakat setempat serta mendapatkan kebenaran penubuhan taska.

"Pengusaha boleh merujuk kepada Garis Panduan Perancangan dan Penubuhan Tadika dan Taska yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa atau merujuk kepada PBT,” katanya.

Mengenai dakwaan kesukaran memohon lesen untuk pusat jagaan OKU, Fatimah Zuraidah berkata, permohonan untuk penubuhan pusat jagaan OKU adalah di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 dan tertakluk kepada beberapa perkara.

Antaranya, kelulusan serta sokongan agensi teknikal seperti PBT, JBPM dan Jabatan Kesihatan, serta memenuhi standard minimum yang ditetapkan seperti pematuhan nisbah penjaga dan penghuni iaitu seorang penjaga untuk 10 OKU, manakala seorang penjaga untuk empat OKU terlantar.

Turut termaktub dalam keperluan standard minimum itu ialah pematuhan nisbah penghuni dan ruang lantai, penjaga mempunyai kelayakan atau pengalaman bersesuaian, penyediaan menu yang seimbang yang disahkan oleh JKM, penyediaan program/aktiviti harian yang disahkan oleh JKM, penyediaan kemudahan perabot dan peralatan, penyimpanan dan penyelenggaraan rekod-rekod, pengawalan kebersihan dan keselamatan di dalam dan luar premis pusat jagaan.

 

YURAN, KUALITI PERKHIDMATAN


Pelbagai faktor termasuk menyediakan menu makan yang mencapai standard Kementerian Kesihatan (KKM) menyebabkan yuran taska dan pusat jagaan berdaftar lebih tinggi. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Dalam menjawab isu yuran taska dan pusat jagaan berdaftar yang dikatakan mahal sehingga mengakibatkan ramai ibu bapa terpaksa memilih untuk menghantar anak-anak mereka ke tempat yang tidak berdaftar, beliau berkata kadar yuran bergantung kepada kualiti perkhidmatan yang ditawarkan oleh sesebuah taska atau pusat jagaan.

Taska berdaftar sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan sebagai contoh, menu makan yang mencapai standard Kementerian Kesihatan (KKM), gaji minimum pengasuh yang ditetapkan oleh Kementerian Sumber Manusia selain bergantung kepada pengalaman dan kelayakan pengasuh di samping beberapa faktor lain.

“Kadar yuran adalah di luar kawalan JKM. Ibu bapa bebas untuk memilih taska berdaftar yang menawarkan yuran mengikut kemampuan mereka kerana ada taska yang menawarkan harga berpatutan bagi golongan yang kurang berkemampuan.

“Kerajaan pada masa sama turut menyediakan beberapa inisiatif bagi meringankan beban ibu bapa antaranya subsidi yuran pengasuhan taska untuk taska yang berdaftar dengan kadar RM180 sebulan untuk seorang kanak-kanak yang layak.

“Syarat kelayakan adalah pendapatan isi rumah per kapita RM800 sebulan dan ke bawah di kawasan bandar dan RM500 sebulan dan ke bawah di kawasan luar bandar, manakala syarat kelayakan subsidi yuran pengasuhan taska komuniti dan taska di tempat kerja sektor awam adalah jumlah pendapatan isi rumah RM5,000 sebulan dan ke bawah,” jelasnya.

Selain itu, bagi individu yang membayar cukai pendapatan, pelepasan cukai sebanyak RM3,000 setahun juga dibenarkan kepada ibu bapa yang menghantar anak ke taska.

Sementara itu, geran penubuhan taska di tempat kerja sektor awam juga disediakan untuk agensi kerajaan bermula 2019 dan diteruskan pada 2022.

Taska yang ditubuhkan di pejabat agensi kerajaan dapat memberi kemudahan kepada ibu bapa selain kadar yuran taska di tempat kerja lebih berpatutan untuk kumpulan sasar berkenaan.

Di samping itu, potongan cukai turut diberikan kepada majikan tempat kerja sektor swasta yang menyediakan elaun atau subsidi kepada pekerja yang menghantar anak ke taska dan perbelanjaan penyelenggaraan kemudahan taska mulai tahun taksiran 2013.

“Pengecualian cukai pendapatan bagi tempoh lima tahun kepada pengusaha taska mulai tahun taksiran 2013, serta elaun bangunan industri pada kadar 10 peratus turut diberi kepada sektor swasta yang mengusahakan taska mulai tahun taksiran 2010,” katanya.

 

TEMPAT PERLINDUNGAN SELAMAT

Menyifatkan isu pengasuh, taska dan pusat jagaan tidak berdaftar menjadi intipati penting buat JKM untuk memastikan negara memiliki tempat perlindungan sah berdaftar, selamat dan dipercayai untuk kanak-kanak, Fatimah Zuraidah berkata kerajaan antara lain turut melaksanakan beberapa inisiatif tambahan.


Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun (tengah) melancarkan program Sistem Penilaian Kendiri Pengendali Pusat Jagaan (myKendiri). --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diperkenalkan pada tahun 2020, kerajaan menyediakan bantuan khas kepada pengusaha taska yang berdaftar dengan JKM.

Untuk tahun 2021, bantuan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat Dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) disediakan bagi meringankan beban pengusaha taska yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Tujuan inisiatif ini bagi menggalakkan pengusaha taska untuk berdaftar dan memperbaharui pendaftaran. Sebanyak 2,623 buah taska diluluskan bantuan pada tahun 2020 dan sebanyak 2,667 buah taska diluluskan bantuan sehingga Oktober 2021," katanya.

Di samping itu, menerusi pakej PEMULIH, bantuan kewangan dengan jumlah RM3,000 diberikan untuk semua kategori taska manakala untuk taska yang beroperasi di rumah, bantuan RM800 disalurkan bagi mengurangkan beban pengusaha untuk membayar bil walaupun tidak beroperasi dalam tempoh PKP.

 

TASKA DI TEMPAT KERJA

Antara inisiatif lain JKM, dalam memastikan lebih banyak taska dan pusat asuhan berdaftar ialah membuka lebih banyak taska di tempat kerja.

Sejak 2019, JKM mula memperuntukkan Geran Penubuhan Taska di Tempat Kerja dan sehingga kini sebanyak 167 buah agensi kerajaan di seluruh Malaysia mendapat kelulusan.


Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Menurut Fatimah Zuraidah, dalam ucapan Bajet 2022 pada 29 Oktober lepas, kerajaan sekali lagi menyediakan RM30 juta geran bagi penubuhan taska di tempat kerja sektor awam.

Penambahan taska di tempat kerja memerlukan kerjasama daripada semua kementerian dan kerajaan negeri, termasuk majikan sektor swasta kerana penubuhan taska di ruang/premis/lokasi yang sesuai adalah di bawah bidang kuasa kementerian/kerajaan negeri serta majikan masing-masing.

Pada masa yang sama, kata beliau, agensi kerajaan atau majikan boleh menggunakan ruang dalam pejabat atau premis yang berdekatan dengan pejabat atau kuarters kakitangan untuk dijadikan taska di tempat kerja bagi tujuan memberi kemudahan kepada pekerja, terutama mereka yang bekerja mengikut giliran.

“Penubuhan taska di tempat kerja amat penting untuk meningkatkan produktiviti pekerja kerana taska yang berdaftar sentiasa dipantau oleh JKM, keselamatan anak-anak akan terjamin berbanding dengan anak yang dihantar ke rumah pengasuh atau pusat jagaan yang tidak berdaftar," katanya dengan menambah, sehingga kini, sebanyak 365 buah taska di tempat kerja didaftarkan dan mendapat sambutan menggalakkan daripada ibu bapa.

Beliau turut menegaskan, taska yang berdaftar dengan JKM akan dipantau sekurang-kurangnya dua kali setahun selain pemeriksaan mengejut turut diadakan bila perlu. Manakala bagi pusat jagaan, pemeriksaan berkala dijalankan setiap enam bulan dan jika terdapat keperluan, pemeriksaan mengejut turut dilakukan.

Selain itu, pengendali pusat jagaan berdaftar hendaklah melaksanakan penilaian kendiri setiap enam bulan melalui Sistem Penilaian Kendiri Pusat Jagaan (myKendiri) secara dalam talian bagi memastikan operasi pusat jagaan mematuhi standard minimum yang ditetapkan di dalam Akta Pusat Jagaan 1993 dan dan Peraturan-Peraturan Pusat Jagaan 1994.

“JKM turut melaksanakan pemantauan pematuhan penularan COVID-19 di taska dan pusat jagaan bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa, dipatuhi,” katanya.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan