RENCANA

SEDEKAD PENUBUHAN, YAYASAN PENERAJU TERUS PERKASA AGENDA BUMIPUTERA

19/05/2022 05:16 PM

Oleh Erda Khursyiah Basir

KUALA LUMPUR (Bernama) -- “Idea mewujudkan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) tercetus ketika saya dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Unit Perancang Ekonomi (EPU)) pada 2009.

“Ketika itu kami perlu membuat persiapan bagi Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) (2011-2015) untuk dibentangkan di Parlimen pada 2010. Jadi saya fikir inilah peluang keemasan yang mesti diambil untuk terus memperkasa agenda Bumiputera.

“Melihat kepada sejarah, sebelum ini kita sudah ada Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan dalam RMK2 pada 1971, jadi mengapa tidak kita membawa satu ‘semangat’ yang hampir sama malah lebih fokus kepada agenda Bumiputera?” demikian menurut Pengerusi Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) Tan Sri Nor Mohamed Yakcop membuka bicara mengenai asal usul penubuhan Yayasan Peneraju dalam wawancara eksklusif dengan Bernama, baru-baru ini.

Nor Mohamed menyandang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (EPU) daripada 2009 hingga 2013 dan Menteri Kewangan Kedua, daripada 2004 hingga 2009.

Beliau adalah juga menteri yang bertanggungjawab kepada bermulanya operasi Yayasan Peneraju secara rasmi pada 14 Februari 2012.

 

IBARAT PELUANG KEDUA


Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Pengerusi Institut Penyelidikan Khazanah (KRI).

Menurut Nor Mohamed, sepanjang tempoh lebih kurang 40 tahun sejak DEB sehingga RMK10, kaum Bumiputera di negara ini menikmati pelbagai kejayaan termasuk dalam aspek perniagaan.

“Sungguh pun kita belum mencapai sasaran 30 peratus ekuiti pemilikan saham Bumiputera, tetapi pencapaian hampir 20 peratus dalam total ekuiti, adalah satu kejayaan yang besar. Dari segi peningkatan jumlah profesional seperti jurutera, akauntan, peguam pun kita (Bumiputera) dah makin ramai,” katanya. 

Beliau menambah, masih terdapat beberapa ruang penambahbaikan yang perlu diberi perhatian, antaranya ‘peluang kedua’ untuk anak-anak Bumiputera yang berkebolehan tetapi terpaksa hidup dalam situasi mencabar serta isu melibatkan komuniti Bumiputera yang terpencil.

Selain itu, walaupun jumlah profesional Bumiputera meningkat melebihi 50 peratus, namun dalam bidang akauntan ia dilihat kurang berjaya kerana jumlahnya adalah 30 peratus dan profesional akauntan (bertauliah) pula hanyalah lapan peratus pada ketika itu. 

“Inilah antara perkara yang kita ambil berat. Saya berbincang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (ketika itu) yang kita perlu fokus kepada agenda Bumiputera. Macam mana nak fokus? Kita wujudkan satu badan yang bertanggungjawab dalam bidang pendidikan profesional, latihan dan kemahiran untuk anak-anak Bumiputera (selepas mendapat kelulusan di Parlimen).


Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera.

“Anak-anak cemerlang yang dapat 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak menjadi isu untuk mendapat biasiswa kerajaan atau dari pelbagai pihak tetapi bagaimana dengan mereka yang dapat keputusan 6A, 7A atau 8A? Mereka ini juga dikira bagus tetapi bukan cemerlang dan mereka sebenarnya terpaksa hidup dalam keadaan serba serbi mencabar. 

“Ada yang perlu meredah hutan berjalan kaki dengan jarak yang jauh pergi dan balik sekolah, keadaan tempat tinggal yang serba kekurangan, tidak selesa tanpa bekalan elektrik dan air, ibu bapa buta huruf, miskin dan hanya bekerja kampung tetapi masih mampu mendapat keputusan yang baik.

“Jadi kita ambil inisiatif dengan memberikan biasiswa kepada mereka untuk melanjutkan pengajian ke universiti. Alhamdulillah ramai yang dah buktikan mereka berjaya dengan cemerlang,” katanya, menambah suku kaum Penan di Sarawak sebagai contoh antara komuniti Bumiputera terpencil yang telah dibantu untuk masuk ke universiti melalui program tajaan yayasan berkenaan.

 

IMPAK KESEJAHTERAAN NEGARA


Tan Sri Nor Mohamed Yakcop menunjukkan buku laporan tahunan 2012 Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera pada majlis pelancaran biasiswa Peneraju Tunas (Iltizam) pada 14 Mac 2013. Turut kelihatan Raja Azura Raja Mahayuddin (kiri). --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Sehingga Disember 2021, Yayasan Peneraju  berjaya membantu seramai 46,676 individu melalui pelbagai program kendaliannya iaitu Peneraju Tunas (14,470), Peneraju Skil (20,681), Peneraju Profesional (8,215), Peneraju Teknologi (3,163) dan Peneraju Spesialis (147). 

Selain melahirkan modal insan berkualiti, penerima faedah Yayasan Peneraju juga berjaya mengharumkan nama negara di persada dunia menerusi pelbagai pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Ini termasuk memperoleh 77 anugerah, antaranya pencapaian terbaik dan antara kedudukan teratas dunia, bagi pensijilan perakaunan Certified Accounting Technician (CAT) dan Association of Chartered Certified Accountant (ACCA) World Prize Winner; empat anugerah ACCA Malaysia Top Affiliate, di samping 40 pencapaian kedudukan 10 peratus teratas di dunia bagi peperiksaan Chartered Financial Analyst.

Kejayaan lain ialah seramai 71 orang pelajar berjaya diterima masuk ke 50 universiti utama di dunia untuk mengikuti pelbagai jurusan di bawah Peneraju Tunas (Potensi).

Menyifatkan ia umpama dejavu (kejayaan Yayasan Peneraju seperti DEB sebelum ini), Nor Mohamed berkata, melihat anak-anak Bumiputera dari keluarga susah mengoptimumkan kebolehan diri, mengubah taraf hidup dan membawa keluarga mereka keluar dari kepompong kemiskinan adalah impak yang cukup besar kepada kesejahteraan negara. 

“Apa yang Yayasan Peneraju buat ini adalah sebahagian daripada langkah kerajaan untuk bantu anak-anak Bumiputera. Semestinya kita bangga dengan kejayaan ini dan cabaran yang kita hadapi sekarang ialah untuk mengulangi dan meningkatkannya dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“Zaman berubah, keadaan hari ini berbeza dengan pekerjaan yang wujud juga pelbagai, seiring kepesatan teknologi semasa. Jadi yayasan ini perlu menyediakan anak-anak Bumiputera dengan job of the future, bidang pekerjaan baharu yang mungkin kita tak pernah terfikir sebelum ini tetapi amat diperlukan pasaran semasa dan masa hadapan,” katanya memberi contoh, kecerdasan buatan (AI), teknologi bionik dan pelbagai bidang lain perlu diteroka.

Dalam usaha untuk menyuntik semangat anak-anak serta ibu bapa tentang pentingnya pendidikan, Yayasan Peneraju secara berterusan turun padang termasuk ke kawasan pedalaman untuk mendekati golongan sasar.

“Tugas yayasan ini tidak habis setakat membawa anak-anak ke institusi pengajian atau latihan kemahiran sebaliknya mereka terus dipantau dari segala aspek sehingga tamat pengajian dan mendapat pekerjaan terbaik,” katanya.

Beliau pada masa sama menambah, kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta wajar ditingkatkan bagi melahirkan lebih ramai anak Bumiputera yang lengkap pakejnya, antaranya dalam bidang akademik, kemahiran insaniah, komunikasi serta pengurusan.

 

FOKUS POTENSI


Anak-anak muda yang menyertai program pembiayaan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera menunjukkan naskah #iniceritasaya edisi kedua yang menampilkan 30 kisah aspirasi dan kejayaan mereka. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Sementara itu, sebagai individu pertama yang dilantik menerajui yayasan berkenaan, bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya Raja Azura Raja Mahayuddin berkata, program bermula dengan tiga teras utama iaitu Peneraju Tunas, Peneraju Skil dan Peneraju Profesional.

Peneraju Tunas melibatkan pembiayaan akademik untuk pelajar sekolah rendah, menengah dan pengajian tinggi yang berpotensi, berpendapatan isi rumah rendah (RM 4,000 ke bawah) dan dari latar belakang yang mencabar.

Peneraju Skil pula adalah pembiayaan kemahiran bagi meningkatkan dan melatih semula skil vokasional dan teknikal dengan pensijilan diiktiraf industri atau antarabangsa dalam pelbagai sektor (seperti automotif, elektrik dan elektronik, pembuatan, maritim, minyak dan gas dan lain-lain), manakala Peneraju Profesional melibatkan pembiayaan pensijilan profesional untuk meningkat dan melatih semula kepakaran dalam sektor perakaunan, kewangan dan perkhidmatan perniagaan.

Raja Azura yang juga pengasas bersama AKRAB Resources berkata, usaha meyakinkan masyarakat adalah cabaran terbesar yayasan ketika itu yang belum dikenali bahkan sewaktu operasi awalnya, apa yang ada hanyalah akaun bank (geran/dana kerajaan), surat pendaftaran yayasan, empat orang tenaga kerja dan tanpa pejabat. 

“Kami mengambil inisiatif pergi ke kampung termasuk yang terletak jauh di pedalaman bagi mencari anak-anak Bumiputera yang berpotensi untuk digilap kebolehan dan bakat mereka.  Antara kenangan manis ialah sewaktu program pertama Peneraju Tunas (Potensi) bagi membantu anak-anak lepasan SPM yang tidak mampu masuk ke universiti.

“Pada waktu itu kami sasarkan 100 orang pelajar dari golongan yang betul-betul susah termasuk dari kaum Orang Asli. Daripada 250 orang pelajar yang ditemu duga.  Alhamdulillah, kami akhirnya berjaya bawa 212 pelajar dari serata Malaysia untuk menyambung pengajian ke peringkat universiti. 

“Mereka ini ada yang tak pernah keluar dari kampung, ada yang datang ke tempat temu duga pun mengambil masa enam jam, perlu naik bot dan ibu bapa terpaksa meminjam duit orang kampung.  

“Kami tak pilih yang cemerlang sahaja sebaliknya yang ‘average’ juga. Apa yang dilihat ialah potensi yang boleh digilap, keyakinan diri, penguasaan Bahasa Inggeris dan pastikan dalam tempoh empat hingga lima tahun bersama Yayasan Peneraju mereka ini ada perubahan. Daripada ‘average’ kepada cemerlang seterusnya persediaan untuk masuk ke alam pekerjaan,” katanya yang mengemudi yayasan itu sehingga 2019.

Beliau menambah, kejayaan terbesar buat dirinya dan amat membanggakan ialah pencapaian anak-anak Yayasan Peneraju termasuk mengubah taraf hidup keluarga mereka serta mampu menyumbang semula kepada masyarakat.

 

CABARAN BERBEZA


Raja Azura Raja Mahayuddin, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Yayasan Peneraju turut menawarkan dua teras baharu iaitu Peneraju Teknologi -  pembiayaan pensijilan profesional untuk peningkatan kepakaran dan kemahiran sektor bidang teknologi serta Peneraju Spesialis - pembiayaan bagi bidang ‘specialist’ untuk peningkatan kepakaran dalam sektor penjagaan kesihatan.

Menurut Raja Azura, negara memerlukan lebih ramai pakar dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan bidang baharu yang lain di samping lebih ramai yang dapat melonjakkan diri ke tahap lebih baik dalam aspek pekerjaan dan gaji, sekali gus memenuhi aspirasi untuk menjadi negara berpendapatan tinggi.

“Dalam zaman digitalisasi dan globalisasi ini kita perlu tahu cara untuk ‘monetizing your skills and knowledge in many ways’. Yayasan Peneraju mungkin boleh mewujudkan program baharu atau menambah baik program sedia ada dengan memberi fokus kepada perkara ini. 

“Gunakan sepenuhnya kemahiran, pengetahuan dan teknologi yang ada untuk mengubah diri ke tahap yang jauh lebih baik termasuk menjana pendapatan. Ini bukan masa menunggu kerja datang kepada kita, zaman dah berubah, kita yang perlu lebih kreatif dan bijak merebut peluang,” tegasnya.

 

 

MODAL INSAN SERBA BOLEH


Dr Mohd Muzzammil Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera.

Turut berkongsi pandangan dalam hal ini ialah Ketua Pengawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Dr Mohd Muzzammil Ismail yang menyandang jawatan berkenaan sejak 26 Oktober 2020.

Komitmen beliau adalah untuk memastikan anak-anak Bumiputera mendapat peluang dalam kerjaya profesional, kemahiran tinggi, teknologi, pakar perubatan serta mencapai peningkatan dari sudut kelayakan akademik melalui program intervensi dan tajaan yang ditawarkan.

Kumpulan yang menjadi sasaran ialah murid sekolah, pelajar lepasan peringkat SPM, diploma dan ijazah serta pelajar tahun akhir ijazah di samping penganggur serta tenaga kerja baharu dan lama yang berumur antara tujuh hingga 45 tahun.

Menurut beliau, usaha itu seiring pemerkasaan agenda Bumiputera dalam melahirkan modal insan berdaya saing dan inklusif serta selaras dengan matlamat RMK12 dan Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030). 

“Aspirasi kami untuk menjadi pemacu utama dalam melahirkan modal insan serba boleh, berkemahiran tinggi dan berdaya saing yang mampu menyumbang kepada sosio-ekonomi negara. 

“Dalam tempoh 10 tahun ini, Yayasan Peneraju berjaya merealisasikan aspirasi lebih 46,000 individu menerusi lebih 370 program pembiayaan yang merangkumi pelbagai segmen kumpulan Bumiputera di seluruh Malaysia termasuk kumpulan B40, M40, luar bandar dan terpinggir. 

“Ini termasuk memberi tumpuan kepada kumpulan mudah terjejas melalui program Peneraju Impak (projek khas) yang fokus kepada latihan dan penempatan (pekerjaan) sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dengan pendapatan tinggi,” katanya, menambah Yayasan Peneraju turut memberi fokus mempersiapkan anak-anak Bumiputera mendepani pelbagai cabaran kerjaya dunia digital dan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0). 

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA


 

 

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan