BERITA PRU15   DUN Johor ucap tahniah kepada PN, BN menang Parlimen Padang Serai, DUN Tioman | Azman mahu bawa aspirasi dan suara rakyat Padang Serai, jadi pembangkang berwibawa | PN menang kerusi Padang Serai, BN pertahankan Tioman | PRU15: Pusat pengundian Parlimen Padang Serai, DUN Tioman, tutup 6 petang | PRU15: Segelintir pengundi di Padang Serai tidak tahu calon tarik diri | 
RENCANA

Anak Watan Sarawak Atasi Kepayahan Hidup Bina Kerjaya Di Petronas

26/09/2022 09:03 AM

MIRI (Bernama) -- Hidup di kawasan pedalaman terpencil di Sarawak yang amnya tiada kemudahan asas, apatah lagi infrastruktur moden, memberikan cabaran tersendiri kepada penduduk selain mendedahkan generasi muda mereka kepada keciciran dari pelbagai sudut termasuk pendidikan dan kerjaya.

Namun bagi Isrom Udau, 46, kepayahan yang dilalui sebagai anak petani di Tinjar, Baram - daerah terpencil di utara Sarawak yang terkenal dengan sarang burung layang-layang dan gua Mulu serta kemesraan etnik Orang Ulu - mengentalkan semangatnya untuk mengubah taraf hidup.

Long Sepiling, rumah panjang yang didiaminya semasa membesar, terletak di tebing Sungai Tinjar, jauh di pedalaman Baram dan terasing dari dunia luar. Satu-satunya cara hendak ke rumah panjang itu ialah dengan menaiki bot ekspres dari Miri,  perjalanan yang mengambil masa selama enam jam.  

Justeru, bergelar Pengurus Besar Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) yang berpangkalan di  Miri pada usia 44 tahun, adalah satu pencapaian yang bukan alang-alang.  

Ayah kepada tiga cahaya mata itu yang menyertai PCSB pada 2004, berkata sepanjang hidupnya, beliau perlu cekal dan tabah dalam mengharungi cabaran yang datang.

"Saya tidak pernah salahkan takdir dilahirkan miskin. Sebaliknya, saya amat menghargainya kerana kepayahan hidup menjadikan siapa saya sekarang,” tambahnya.

Isrom berterima kasih kepada bekas-bekas ketuanya yang banyak membantu dan membimbing beliau dalam membina kerjaya di Petronas, selain menjadikan beliau lebih matang. 

“Saya juga akan lakukan perkara sama, membentuk pemimpin muda (dalam syarikat) terutama mereka yang bekerja di bawah saya, kerana saya mahu mereka juga berkembang dan lebih berjaya daripada saya."

 

KEHIDUPAN AWAL YANG MENCABAR   


Mengimbas kehidupan awalnya di Baram, lelaki itu berkata keluarganya serta penduduk kampung bergantung pada air hujan sebagai sumber air minum dan memasak, sementara Sungai Tinjar yang dihuni banyak buaya menjadi tempat mereka mandi dan membasuh pakaian.

“Ketika itu kehidupan memang jerih. Kami bergantung pada sumber makanan dari hutan,” ceritanya.

Menurut Isrom, ayah dan ibunya, Udau Along dan Puyang Lah - kedua-duanya sudah meninggal dunia - mempunyai kebun di dalam hutan dan mereka biasanya tinggal di pondok sementara di kebun bagi menjaga tanaman.

"Mereka hanya balik ke rumah pada hujung minggu. Pada hari-hari biasa, saya dan tiga lagi adik-beradik terpaksa berdikari, belajar memasak serta melakukan kerja-kerja rumah,” katanya.

Isrom masih ingat abang sulungnya, Eden Udau yang 11 tahun lebih tua daripadanya, akan pergi memancing di sungai berdekatan selepas pulang dari sekolah, dan hanya kembali ke rumah pada lewat petang bersama-sama hasil tangkapan bagi dijadikan lauk makan malam.

“Apabila kami kehabisan ikan dan sayur-sayuran, kami hanya makan nasi yang ditaburi sedikit gula,” kongsinya lagi.

Pada 1981, keluarga Isrom berpindah ke Subis, Miri, bagi mencari kehidupan yang lebih baik. Di situ, kedua ibu bapanya bekerja sebagai buruh ladang kelapa sawit sebelum beralih ke ladang koko. Mereka hanya dibayar gaji minimum dan kuarters ladang yang didiami  juga tiada kemudahan asas.

Kemiskinan keluarga menyebabkan beliau lewat setahun memasuki sekolah rendah kerana terpaksa menjaga adik perempuannya Lahong, selain melakukan kerja-kerja rumah ketika ibu bapanya keluar bekerja, sementara dua abang pula ke sekolah.

Tujuh tahun kemudian, keluarga Isrom berpindah ke kawasan setinggan berhampiran Pujut, Miri di mana ibu bapanya menanam tanaman kontan dan padi di atas sebidang tanah milik kerajaan negeri di utara Sungai Miri, tiga jam perjalanan dengan bot dari bandar Miri.

Ketika itu beliau berusia 10 tahun dan bersekolah di Sekolah Kebangsaan Pujut Corner, kira-kira dua kilometer dari rumah mereka.

“Pada masa itu, dua abang saya sedang belajar di sekolah berasrama, jadi ibu bapa kami amanahkan tanggungjawab menjaga Lahong kepada saya yang hanya berusia tujuh tahun.

“Kawasan setinggan yang kami diami tidak ada bekalan air terawat ataupun elektrik. Kami bergantung pada pelita minyak tanah untuk belajar pada waktu malam. Kami gunakan air hujan untuk mandi, membasuh dan memasak. Ketika musim kemarau, kami akan ke pili bomba terdekat, iaitu kira-kira dua kilometer jauhnya, untuk mengambil air bagi kegunaan di rumah,” cerita beliau.

 

REZEKI BERGOLEK


Isrom Udau

Di sebalik kekangan yang dihadapi, Isrom berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah dan Sijil Rendah Pelajaran. 

Malah, selepas menamatkan darjah enam, beliau ditawarkan biasiswa untuk melanjutkan pendidikan di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR College) di Perak. Usai tingkatan tiga, beliau ditawarkan belajar di Maktab Rendah Sains MARA Balik Pulau, Pulau Pinang serta Kolej Tun Datu Tuanku Hj Bujang, Miri. 

Bagaimanapun beliau terpaksa menolak kedua-dua tawaran itu kerana perlu menjaga adik perempuannya. Justeru, Isrom meneruskan pengajian menengahnya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baru dan SMK Dato’ Permaisuri, kedua-duanya di Miri. 

Beliau kemudian menyambung pendidikan tinggi di Universiti Sains Malaysia dengan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam dan menamatkan pengajian sarjana muda dalam kejuruteraan sumber mineral pada 2000.

Enam bulan kemudian, Isrom mendapat pekerjaan pertama di SOSMA Sdn Bhd (kemudian dikenali sebagai SCOMI) sebagai ahli kimia pengeluaran dan ditempatkan di Terminal Minyak Mentah Miri (MCOT).

Pekerjaan itu memberikan beliau peluang bekerja di pelbagai terminal pesisir dan luar pesisir di Malaysia termasuk Sabah dan Terengganu.

“Saya menerajui syarikat memperoleh beberapa kontrak bernilai tinggi dan mewujudkan persijilan ISO14001 untuk mereka. Bagaimanapun, disebabkan minat saya terhadap waduk (reservoir) dan pengeboran, saya menyertai Sarawak Shell Berhad secara kontrak pada 2003 sebagai jurutera penggerudian,” ujarnya. 

 

BERKEMBANG BERSAMA PETRONAS


Isrom Udau (berdiri, dua dari kanan) bersama ibu bapa dan adik beradiknya.

Pada 2004, PCSB Sarawak menawarkannya pekerjaan tetap sebagai jurutera lapangan di MCOT. Enam tahun kemudian beliau dinaikkan pangkat sebagai pengurus operasi di perairan Bintulu.

"Ketika mula-mula menjadi pengurus, kerja harian saya sangat sibuk. Saya terpaksa menyelia semua hal berkaitan pengeluaran dan operasi di perairan Bintulu termasuk libat urus dengan rakan kongsi pengeluaran baharu kami. Memang penat dari segi mental dan fizikal, namun kuasa dan kepercayaan yang diberikan oleh penyelia memberikan saya motivasi untuk menjalankan tugas,” jelasnya.

Pada 2015, Petronas memindahkan beliau ke Kerteh, Terengganu sebagai ketua aset bagi Medan Minyak Dulang dan Sepat di Operasi Semenanjung Malaysia (PMO), dan pada tahun berikutnya beliau menguruskan Pelantar Minyak Angsi serta Medan Minyak Besar di perairan Terengganu.

Isrom dipindah balik ke Miri pada 2017 untuk mengetuai pasukan di medan minyak Baronia, Baram dan BOBELA.

 


Isrom Udau bersama isteri dan anak-anaknya.

Pada Mac 2020, beliau dilantik sebagai pengurus besar kejuruteraan PCSB Sarawak. Dua minggu kemudian dunia dilanda krisis kesihatan yang tidak pernah terjadi sebelum ini - COVID-19 yang memperlahankan pengeluaran dan pergerakan di seluruh dunia, menyebabkan penurunan ketara permintaan minyak global. 

Pandemik juga menyebabkan penangguhan projek minyak dan gas syarikat minyak dunia termasuk Petronas.

"Ketika Perintah Kawalan Pergerakan, kami diminta bekerja dari rumah dan saya terpaksa menguruskan pasukan baharu saya secara maya. Susulan kejatuhan harga minyak, saya terpaksa melakukan beberapa langkah penjimatan kos dan menyusun semula keutamaan. Berbekalkan peruntukan yang terhad, kami perlu memastikan keselamatan, integriti aset serta pengeluaran terjamin,” kata Isrom.

 Pada Ogos 2021, Isrom meneruskan tugasnya selaku pengurus besar penyenggaraan khusus di PCSB Sarawak.

Tanggungjawabnya termasuk menyelia semua aktiviti penyenggaraan berkaitan bidang-bidang khusus seperti pemeteran, saluran paip, struktur, mekanikal, elektrik dan instrumen di PSCB Sarawak.

 BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan RM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan