RENCANA

AKTIVITI EKSTREM DI GUA DAMAI UJI KEKUATAN MENTAL DAN FIZIKAL

25/05/2023 11:08 AM

Oleh Balkish Awang

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Cukup mencabar dan lelah, ditambah pula peluh yang mencurah-curah.  

Itu baru pendakian di sepanjang Bukit Lembah Damai, Batu Caves (Selangor), belum lagi aktiviti meneroka beberapa buah gua yang terletak di Taman Ekstrem Gua Damai dalam keadaan gelap, yang menuntut kekuatan mental dan fizikal memandangkan sudah puluhan tahun penulis tidak melakukan aktiviti lasak sedemikian.

Inilah pengalaman paling mencabar sewaktu menyertai Program Kembara Media 2023 anjuran Jabatan Penerangan Malaysia, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) di Selangor dan Negeri Sembilan baru-baru ini.

Program empat hari dari 8 hingga 11 Mei itu bertujuan menikmati keindahan serta landskap pelancongan yang terdapat di kedua-dua negeri berkenaan.

 

CABARAN BERMULA


Peserta Program Kembara Media 2023 perlu melalui pelbagai cabaran mendaki dan menuruni bukit di Taman Ekstrem Gua Damai. -- fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Pada hari pertama program, penulis beserta 21 pengamal media yang lain dibawa ke Gamuda Cove, Banting, Selangor dan berpeluang melawat ke tempat menarik antaranya Paya Indah Discovery Wetlands, Goosebumps Rope Course, Cove Aerobar serta Taman Tema Air SplashMania.

Cabaran sebenar kami bermula pada hari kedua ketika tiba di Gua Damai Extreme Park.

Berkeluasan kira-kira dua hektar dengan ketinggian mencecah 100 meter, lokasi ini mempunyai lima gua di dalamnya iaitu Gua Kristal, Gua Anjing, Gua Chili Padi, Gua Ichibawa dan Gua Fig Tree.

Bagaimanapun, hanya empat gua dibuka kepada umum sementara Gua Kristal hanya dibuka kepada pengkaji serta pelajar untuk menjalankan kajian.

Sebelum pendakian bermula, pihak media terlebih dahulu menyaksikan aktiviti payung terjun oleh penerjun profesional, Akmal Jamal Hassan.

Pendakian penulis dan rakan-rakan yang bermula sekitar pukul 10 pagi di Lembah Damai ditemani beberapa petugas Wira Adventure Consultant yang bertanggungjawab memastikan pendakian kami berjalan lancar.

Sepanjang pendakian di dalam hutan itu, kami diperkenalkan oleh petugas dengan beberapa tumbuhan dan herba yang terdapat di kawasan sekitar, antaranya, Tongkat Ali Hitam (Polyalthia Bullata), Ubi Gadong (Dioscorea Hispida), Sehelai Setahun (Monophyllaea Glauca), Derhaka Mertua (Plumbago Indica), Ubi Kekek (Amorphophallus Paeoniifolius) serta Akar Patawali (Tinospora Crispa).

 

KEKUATAN FIZIKAL


Peserta memerlukan fokus yang tinggi semasa menuruni gua berikutan keadaan gua yang gelap. -- fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Laluan semasa di dalam hutan memerlukan kekuatan fizikal kerana kami perlu memanjat, kemudian turun dan naik semula di samping di kiri dan kanan trek laluan dipenuhi pokok dan belukar.

Ada ketikanya penulis perlu menunduk kerana dihalang ranting pokok dan supaya peserta tidak terjatuh, tali disediakan bagi memudahkan perjalanan. 

Lebih mencabar, penulis terpaksa menggelongsor untuk turun kerana laluan yang basah dan licin serta bimbang terjatuh jika terus menuruni bukit dengan berjalan.

Pendakian di Lembah Damai yang mengambil masa kira-kira satu jam lebih itu membuatkan kasut kami disaluti selut tanah selain pakaian juga turut kotor berlumpur.

Walaupun berasa penat dengan aktiviti mencabar ini namun sikap saling menyokong dan kerjasama antara satu sama lain membuatkan semua peserta akhirnya berjaya tiba di permukaan gua.

Bagi penulis yang bertubuh kecil, rasa gementar mula menyelubungi diri sebaik kaki melangkah masuk ke dalam gua untuk turun ke bawah berikutan keadaan gua yang curam dan gelap gelita.

Episod pendakian kami diteruskan dengan memasuki Gua Fig Tree dengan setiap peserta lengkap mengenakan peralatan keselamatan seperti topi , abah-abah serta lampu suluh kepala.

Usai menuruni Gua Fig Tree, kami menyusuri pula gua yang pertama di dalamnya dikenali sebagai Gua Batik kerana teksturnya yang menyerupai batik, yang terletak di sebelah kiri.

Semasa aktiviti itu sekali lagi, rasa gementar penulis berulang kerana perlu memijak tangga besi dan diselang-seli dengan batu gua untuk sampai ke bawah.

Semasa menuruni gua itu, pemandangan sebelah kiri penulis adalah Gua Batik manakala di sebelah kanan pula panorama Gua Langsir yang amat memukau.

Perjalanan turun ke bawah mengambil masa kira-kira 45 minit menjadikan keseluruhan penerokaan di Gua Damai ini lebih kurang dua jam. 

Penat lelah semasa menuruni gua hilang apabila kami semua dijamu dengan nasi upah-upah iaitu makanan tradisional etnik Mandailing.  Nasi dihidangkan di dalam dulang dengan lauk antaranya ayam masak berkuah dan udang. Meskipun menyelerakan namun penulis lebih banyak minum kerana terlalu dahaga.

 

MINAT SUKAN LASAK


Menurut Pengasas yang juga Pengurus Taman Ekstrem Gua Damai Mustapha Al-Bakri yang menetap di Kampung Wira Damai, beliau mula meneroka gua itu selepas mendapati ia mempunyai tarikan pelancongan serta berpotensi dibangunkan untuk aktiviti sukan lasak.

Bermula pada tahun 1997 dengan modal sendiri sebanyak RM100,000 dan ketika masih bekerja sebagai tukang rumah, setiap hari selepas tamat kerja pada waktu petang Mustapha akan ke gua itu untuk membersihkan batu di sekitar gua serta membuat laluan bagi aktiviti pendakian dalam hutan dengan dibantu kumpulan belia kampung kawasannya.

"Gua Damai mula dibuka kepada orang ramai pada tahun 1998 semasa itu pendaki masih sedikit. Apa yang membuatkan saya ingin bangunkan tempat ini selain depan rumah sahaja, ia kerana minat mendalam terhadap aktiviti sukan lasak serta membolehkan pengunjung menikmati perkara sama," katanya kepada pemberita sewaktu ditemui pada program itu.

Mustapha yang kemudian berkhidmat sebagai Jurulatih Rekreasi Tahap 3, bersama Kementerian Belia dan Sukan Malaysia sehingga kini berkata, tempat berkenaan disewa dengan Majlis Perbandaran Selayang sebanyak RM700 sebulan.

Beliau bagaimanapun menzahirkan rasa sedikit kecewa apabila masih terdapat penduduk sekitar yang tidak mengetahui akan kewujudan Sukan Ekstrem Gua Damai biarpun sudah lebih 25 tahun beroperasi.

"Penduduk terdekat seperti Kampung Nakhoda, Selayang, Kampung Laksamana serta Sri Gombak ramai yang tidak tahu. Mereka lalu sahaja tetapi mereka tidak tahu di gua ini boleh dilakukan aktiviti menarik bersama keluarga serta rakan-rakan.

“Saya harap lebih ramai pelancong tempatan tidak kira dari Selangor serta seluruh Malaysia untuk datang melawat Gua Damai kerana destinasi ini adalah hub sukan ektstrem. Pengunjung tidak perlu pergi jauh selain lokasinya berdekatan dengan Kuala Lumpur," katanya menambah kurangnya publisiti serta promosi mengenai Gua Damai serta papan tanda yang kecil membuatkan ramai tidak menyedari keunikan gua tersebut.

 

PILIHAN PENERJUN BASE ANTARABANGSA


Gua Damai menjadi lokasi pilihan penerjun antarabangsa BASE Jump yang tidak melepaskan peluang untuk membuat aksi terjunan mereka. -- fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Meskipun kurang dikenali masyarakat tempatan, Mustapha berkata, Gua Damai adalah lokasi pilihan penerjun antarabangsa BASE Jump yang saban tahun datang untuk melakukan aksi terjunan mereka.

Sehingga kini, ribuan penerjun profesional pelbagai negara melakukan aksi sukan payung terjun BASE di gua berkenaan, antaranya, penerjun dari Mexico. Perancis, Jepun, Australia, USA, United Kingdom, Rusia, Itali, Portugal, Indonesia, Austria serta India.

"Penerjun antarabangsa memang gemar datang ke sini untuk melakukan aksi terjunan mereka sebelum mereka ke destinasi seterusnya iaitu di Menara Kuala Lumpur untuk beraksi di atas menara pula," katanya.

"Program Gua Damai International Base Jump diadakan 14 tahun berturut-turut. Cuma ketika pandemik COVID-19 sahaja program ini terpaksa dihentikan dan kita akan buat semula selepas ini," katanya yang mahir mengendalikan aktiviti melibatkan tali dan telah menjelajah seluruh gua di Malaysia.

Di Gua Damai, Mustapha berkata, pelbagai aktiviti ektstrem boleh dilakukan seperti rock climbing, abseiling, aktiviti sukan payun terjun BASE, flying fox, mendaki bukit dan menerokai gua.

 Menurut beliau, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari sejak menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lagi, antara pemimpin yang sering ke Gua Damai untuk melakukan pelbagai aktiviti lasak sehingga kini.


Peserta Program Kembara Media 2023 bergambar kenangan di hadapan Taman Ekstrem Gua Damai. -- fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Gua Damai diiktiraf sebagai lokasi Geopark Kebangsaan di bawah Program Pembangunan Geopark Malaysia oleh kerajaan negeri bagi tujuan menghargai warisan geologi serta geotapak bertaraf antarabangsa sekali gus menjadikannya satu tarikan pelancongan di Batu Caves.

Sejak lima tahun lepas kerajaan negeri Selangor turut mengadakan  Karnival Sukan Ekstrem bagi memupuk minat orang ramai terhadap sukan lasak.

"Karnival ini bertujuan mendedahkan umum berhubung aktiviti lasak. Jumlah pengunjung meningkat setiap tahun. Hanya dengan bayaran RM5 berbanding RM100 harga asal, pengunjung boleh mencuba pelbagai aktiviti yang ada di sini," katanya dengan menambah, pada tahun ini karnival dijangka diadakan pada bulan September.

Mustapha berkata, karnival itu turut mendapat penyertaan memberangsangkan dalam kalangan kanak-kanak dengan mencatatkan kutipan pulangan paling banyak. 

Sementara itu berkongsi pengalaman, wartawan Majalah Gaya Travel Ameen Nur Hadee Ishak  menyifatkan pendakian di Gua Damai satu pendakian yang paling sukar pernah dilakukan.

"Saya pernah mendaki beberapa gua antaranya Gua Tapadung di Lahad Datu, Sabah dan juga Via Ferrata di Gua Musang, Kelantan.Kedua-duanya mencabar, tetapi Gua Damai lebih ekstrem.

"Ini kerana di Gua Damai trek laluannya lebih licin dan perlu panjat menggunakan tali. Biarpun sukar segala kepenatan terlerai saat berada di dalam Gua Damai. Saya sangat terpegun dengan stalagmit dan stalaktit yang sangat cantik walaupun perlu berhati-hati. Apa pun saya tetap seronok," katanya.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan