RENCANA

KEBEBASAN MEDIA PERLU BERSANDARKAN PERLEMBAGAAN, RUKUN NEGARA - PAKAR

26/05/2023 10:00 AM

Oleh Muhammad Basir Roslan

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Indeks Kebebasan Media Dunia 2023 yang dikeluarkan oleh Reporters Without Border (RSF), sebuah badan bukan kerajaan berkenaan kebebasan media berpangkalan di Paris, menyaksikan Malaysia di tangga ke-73 daripada 180 negara, melonjak 40 kedudukan berbanding tahun sebelumnya.

Dalam laporan itu yang menilai tahap kebebasan media sepanjang 2022, RSF menggambarkan Malaysia sebagai antara negara yang menunjukkan peningkatan prestasi paling ketara dan agak konsisten dalam tempoh tiga tahun berturut-turut hingga 2023, iaitu ke-113 dalam laporan 2022 dan  ke-119 pada 2021.     

RSF mentakrifkan kebebasan media sebagai kemampuan wartawan, secara individu dan organisasi, untuk memilih, mengeluar dan menyebar berita berkepentingan awam tanpa campur tangan politik, ekonomi, perundangan dan sosial serta bebas ancaman terhadap keselamatan fizikal dan mental mereka.  

Penilaian dibuat dalam tempoh Januari hingga Disember pada tahun sebelum laporan dikeluarkan.

Pencapaian ini pastinya sesuatu yang membanggakan kerana Malaysia dianggap oleh organisasi itu sebagai sebuah negara yang melaksanakan undang-undang draconian yang mengekang kebebasan media.


Sambutan HAWANA 2023 yang bertemakan “Media Bebas, Tunjang Demokrasi” pada 27 hingga 29 Mei ini dijadual berlangsung di Casuarina, Meru. -- fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Sewajarnya juga prestasi negara yang diperakui oleh RSF ini diketengahkan pada sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA)  tahun ini. Bertemakan “Media Bebas, Tunjang Demokrasi”, sambutan diadakan sehari lebih awal, iaitu pada Ahad ini, di Ipoh, Perak.

Untuk rekod, HAWANA  dirai pada 29 Mei setiap tahun.

 

KESELAMATAN MINDA MASYARAKAT


Penganalisis keselamatan dan politik daripada Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi UiTM, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin

Mengulas tentang tahap kebebasan media di negara ini, penganalisis keselamatan dan politik daripada Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata sebarang usaha yang digerakkan oleh kerajaan ke arah kebebasan media adalah bersandarkan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Jelas beliau, ini bagi membolehkan pengamal media memainkan peranannya dengan lebih berkesan, terutama dalam membantu membentuk keselamatan minda masyarakat. 

“Pihak media yang bebas perlu menjadi antara pemangkin utama yang menggerakkan dasar keselamatan minda, selaras dengan satu daripada teras dalam Dasar Keselamatan Negara 2021-2025. Industri media perlu bekerjasama dengan pihak berwajib termasuk agensi tertentu, sebagai langkah strategik dalam menggerakan perang saraf media terhadap ancaman digital yang sedang berleluasa.

"Keselamatan minda masyarakat yang dibentuk oleh media ini juga adalah satu kaedah terbaik untuk mempersiap orang ramai mendepani pelbagai ancaman berbentuk subversif dan ideologi yang boleh memecahbelahkan perpaduan kaum. Kita semua bertanggungjawab menjadi benteng negara terhadap ancaman sebegini,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Pada masa sama, beliau berkata usaha mewujudkan industri media yang bebas dan selamat sebenarnya boleh meningkatkan lagi keselamatan dan kestabilan politik negara menerusi penulisan berita yang benar dan objektif.

Media yang bebas juga dapat menyokong pembangunan sosioekonomi kerana pelabur asing lebih yakin untuk melabur di negara ini jika rakyat bersatu padu dan kedudukan kerajaan yang stabil, tanpa diganggu-gugat oleh berita palsu dan fitnah, kata Noor Nirwandy.

Bernama pada 13 Mei lepas, melaporkan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil sebagai berkata pencapaian Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia itu diyakini mampu menjadi antara faktor yang meningkatkan keyakinan pelabur asing terhadap negara ini.

Menurut Fahmi, ini kerana pelaporan media tanpa berselindung merupakan antara kayu ukur pelabur asing sebelum mereka membuat keputusan meletakkan pelaburan lebih RM25 bilion untuk 10 tahun ke depan di negara ini.

 

INDEKS MEDIA MALAYSIA


Orang awam melintasi papan tanda Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 ketika tinjauan Bernama di sekitar bandaraya Ipoh. --fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Berpendapat pelbagai usaha perlu dilakukan oleh kerajaan dan setiap pihak berkepentingan bagi mewujudkan satu atmosfera media yang selamat, Noor Nirwandy berkata antara yang boleh dilakukan ialah melaksanakan pembaharuan dari segi elemen keselamatan kemanusiaan.

“Setiap wartawan akan mudah terdedah kepada pelbagai halangan, tidak kira dalam bentuk fizikal ataupun mental, termasuklah cabaran perubahan iklim sedunia yang turut memberi kesan kepada tugasan wartawan di lapangan.

"Kerajaan dan pihak berwajib perlu terus memperkasa prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan sedia ada yang perlu diamalkan wartawan yang bertugas di lapangan supaya keselamatan dan kebajikan mereka terus terjamin.

"Selain itu, kita juga perlu pastikan wartawan akan terus terpelihara daripada sebarang ancaman siber (dalam bentuk berita palsu, fitnah dan lain-lain) serta ancaman kecenderungan pihak-pihak tertentu untuk memberikan imej negatif kepada wartawan itu sendiri," katanya. 

Beliau pada masa sama mencadangkan kerajaan mewujudkan Indeks Media Malaysia sebagai mekanisme untuk pengamal media tempatan menilai keberkesanan mereka dalam menyampaikan maklumat benar kepada masyarakat selain mengukur tahap kebebasan dan kebajikan mereka.

 

SEGERAKAN PENUBUHAN MMM


Pengasas Bersama Global Risk Journalism Hub, Prof Madya Dr Sara Chinnasamy

Sementara itu, Pengasas Bersama Global Risk Journalism Hub Prof Madya Dr Sara Chinnasamy berpandangan kerajaan dan semua pihak berkepentingan industri media perlu konsisten dalam meningkatkan kredibiliti media arus perdana serta persepsi kepercayaan rakyat terhadap organisasi tersebut.

"Kenapa dan bagaimana kita hendak wujudkan kredibiliti ini? Banyak parameter boleh ditimbang, antaranya melalui usaha mengimbangi pemberitaan antara kerajaan dan pembangkang. Parameter ini tidak boleh diabaikan kerana ia antara tonggak utama yang menilai Indeks Kebebasan Media Dunia RSF di samping parameter lain seperti pemilikan media dan sebagainya.

"Bila ada unsur kredibiliti ini, tidak ada pihak yang akan merujuk sumber alternatif, iaitu pautan platform media lain yang biasanya mempunyai agenda tersembunyi, sering membawa unsur berita berbentuk sumber kedua serta banyak berita palsu yang mengelirukan dan menakutkan rakyat," katanya.

Menurut pensyarah kanan di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM itu lagi, prestasi indeks kebebasan media Malaysia di peringkat global boleh dipertingkat secara lebih efektif menerusi penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) yang sedang digubal dan dijangka dibawa ke Parlimen pada Oktober ini.

"Kita tidak mahu kedudukan kita selalu terumbang-ambing setiap kali Indeks ini dikeluarkan, dan kita perlu mempergiat usaha untuk melonjak ke depan. Untuk itu, tubuhkan segera MMM kerana ia dapat mengawal selia bukan setakat perjalanan media di negara kita malah memelihara kedudukan wartawan.

"Langkah ini juga diyakini dapat mengekalkan konsistensi dan menambah baik penilaian terhadap tahap kebebasan media negara ini di mata dunia, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai antara negara dengan tahap kebebasan media yang proaktif berbanding negara-negara maju," tambah beliau.

Katanya, penubuhan MMM juga wajar disegerakan demi melindungi dan menaik taraf profesion kewartawanan media perdana, khususnya dalam mendepani cabaran digital dari segi pemberitaan. 

“Ini termasuk impak platform media sosial yang memberikan satu tekanan, bukan sahaja banyak ke arah politik kebencian dan elemen hasutan dan fitnah, bahkan berita palsu dengan maklumat yang salah dan tidak tepat,” ujarnya.

 

CORAK KEBEBASAN MEDIA


Wartawan juga berdepan dengan cabaran bertugas di lapangan termasuklah ketika melaporkan tragedi bencana alam seperti tanah runtuh dan banjir. -- fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Turut berkongsi pandangan, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI) Datuk Dr Chamil Wariya yang berharap semua pemilik dan pengamal media dapat bekerjasama dalam mencorakkan kebebasan media yang mereka mahukan menerusi penubuhan MMM itu nanti.

Katanya, pihak industri media tidak boleh mensia-siakan peluang menjadikan MMM sebagai wadah untuk mengawal selia industri secara kendiri.


Ketua Pegawai Eksekutif MPI Datuk Chamil Wariya (kiri). --fotoBERNAMA (2023) Hak CIPTA TERPELIHARA

"Pihak media tidak boleh semata-mata mengharapkan kerajaan memberikan mereka kebebasan dalam 'dulang emas'.  Mereka sendiri perlu berusaha. Sudah tiba masanya pengamal media bersatu padu dan menetapkan tahap terbaik kebebasan yang mereka inginkan, tanpa diganggu-gugat secara berlebihan dari segi politik, pemilikan dan kerangka perundangan yang menyekat.

“Ini semua demi kepentingan untuk terus mengumpul, menerbit dan menyebar berita dan maklumat yang benar kepada setiap ahli masyarakat, selain berterusan menangani isu-isu berkaitan media seperti berita palsu dan sebagainya," jelas beliau. 

Chamil juga sependapat dengan Sara agar kerajaan menyegerakan penubuhan MMM, namun pada masa sama mencadangkan kerajaan memansuhkan undang-undang yang disifatkan oleh beliau sebagai mengekang kebebasan media seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, selain menukar status Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) yang selama ini hanya dilihat sebagai "suara kerajaan”, menjadi entiti penyiaran awam.

BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan