RENCANA

COP28: PERLUKAH TANDA ARAS IKLIM DIKURANGKAN DARIPADA 1.5C?

15/11/2023 11:02 AM

Oleh Soon Li Wei

Mengekang perubahan iklim, daripada langkah mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG), menangani kesannya serta bersiap siaga berdepan bencana alam akan menjadi fokus pemimpin dunia yang dijadual berhimpun di Expo City Dubai dari 30 November hingga 12 Disember depan.

Persidangan Negara Ahli ke-28 (Conference of the Parties), ringkasnya COP28 di bawah Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC) juga dijangka mencari langkah menetapkan suhu global kepada 1.5 darjah celcius di atas paras pra-perindustrian, seperti ditetapkan Perjanjian Paris pada tahun 2015.

Dilaporkan sekitar 40,000 orang wakil dari 198 negara termasuk orang kenamaan, diplomat, perunding dan para saintis dijangka menghadiri COP28 di ibu negara Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu.

Pada 31 Oktober lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan dalam hantaran Facebook, beliau akan mengetuai delegasi ke World Climate Action Summit serentak dengan COP28 di Dubai Disember depan.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata pada bulan Jun, Malaysia akan memberi fokus kepada usaha mempercepatkan peralihan kepada tenaga hijau di samping persediaan melaksana mekanisme untuk pasaran karbon, pembiayaan iklim, pemeliharaan kepelbagaian biologi dan penyesuaian iklim.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York

Menurut Perbadanan Teknologi Hijau Malaysia dan Perubahan Iklim (MGTC), agensi di bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Malaysia dijangka menghantar delegasi terdiri lebih daripada 200 orang wakil, termasuk menteri, pegawai Kerajaan, pakar dalam bidang berkaitan, wakil sektor swasta dan organisasi lain yang berkaitan.

Malaysia juga akan mendirikan Pavillion Malaysia sempena Persidangan berkenaan dan Nik Nazmi berkata sewaktu majlis pelancaran ‘soft launch’ Malaysia Pavillion@COP28, “Malaysia berbangga untuk memaparkan komitmen terhadap tindakan iklim menerusi Malaysia Pavillion.”

 

 

SETIAP DARJAH CELCIUS PENTING  

 

Sejak Perjanjian Paris diterima pada tahun 2015, COP iklim fokus kepada pelaksanaan serta kemajuan ke arah mengehadkan pemanasan global di ‘bawah paras 2°C ' dan  'meneruskan usaha mengehadkan kenaikan suhu kepada 1.5°C di atas paras pra-perindustrian.'

Bagaimanapun para saintis secara konsistennya menzahirkan kebimbangan tentang keperluan mengurangkan suhu global pada setiap COP iklim, memandangkan kedua-dua sistem semula jadi dan manusia adalah sensitif kepada pemanasan iklim, pada pelbagai peringkat.

Dalam mengulangi kebimbangan ini, Presiden Persatuan Sains Marin Malaysia (MSMS) Affendi Yang Amri menekankan bahawa sistem ekologi Bumi akan menerima impak teruk walaupun dengan hanya kenaikan kecil suhu.

Menurut beliau, bukti saintifik menunjukkan purata kenaikan satu darjah Celcius di atas para pra-perindustrian akan mengakibatkan lebih daripada 90 peratus terumbu karang dunia tidak mahu pulih daripada gelombang panas marin yang kerap berlaku.


Gambar yang dirakam oleh pakar penyelidik batu karang Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Profesor Madya Dr Tan Chun Hong menunjukkan peneluran batu karang yang berlaku sekitar waktu bulan penuh di perairan Pulau Bidong pada April lepas.

"Kenaikan CO2 (karbon dioksida) di atmosfera adalah satu punca perubahan iklim yang memberi kesan kepada terumbu karang.

"Lautan bertindak sebagai sinki karbon kita, menyerap 80 peratus lebihan CO2 dan haba dari tanah.

"Ramai orang tidak sedar bahawa lautan adalah 'wira yang tidak didendang' dalam menangkap haba  Bumi, tetapi sekarang, lautan telah mencapai hadnya; suhu laut meningkat secara mendadak, secara tidak sedar menjejaskan sistem ekologi marin, termasuk terumbu karang," katanya yang juga ahli ekologi terumbu karang Universiti Malaya dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini.

Beliau menjelaskan, terumbu karang adalah ‘penyambung’ iklim, kepelbagaian biologi dan krisis sekuriti makanan, menyokong komuniti, menjadi tempat tinggal suku daripada semua spesies marin dan menyediakan protin kepada anggaran satu billion orang.

"Kemusnahan terumbu karang dalam skala global, yang diramalkan para saintis akan berlaku pada 2050 kecuali tindakan segera diambil, sudah tentu akan menyebabkan kesan yang buruk, yang tida boleh digambarkan, kepada sekuriti makanan, kehidupan dan perlindungan pantai.

"Itulah sebabnya mengapa kami sebagai saintis sering merayu pada setiap COP iklim untuk tidak membenarkan suhu bumi meningkat melebihi satu darjah, kerana setiap satu kenaikan mencetuskan ancaman kepada keseluruhan sistem ekologi Bumi," katanya.

 

 

‘GLOBAL STOCKTAKE’ 

 

Fokus utama pada perbincangan di COP28 ialah ‘Global Stocktake’, yang dijangka dimuktamadkan di Dubai Disember nanti.

Sebagai mekanisme yang digariskan di bawah Perjanjian Paris 2015, Global Stocktake ialah penilaian kemajuan kolektif Kerajaan dalam mencapai sasaran jangka panjang mereka di bawah perjanjian berkenaan, iaitu untuik mengehadkan pemanasan global kepada tidak lebih daripada 2°C di atas paras pra-perindustrian, dan menyasarkan peningkatan hanya 1.5°C.

Setiausaha Eksekutif Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Simon Stiell dalam satu kenyataan pada Selasa lepas berkata, kesimpulan  Global Stocktake pertama pada COP28 ialah di mana negara sekali lagi dapat mencapai momentum untuk meningkatkan usaha mereka dalam semua bidang dan berada dalam landasan untuk memenuhi sasaran Perjanjian Paris.

"Stocktake ini bertujuan untuk memberitahu pusingan seterusnya pelan bertindak iklim di bawah Perjanjian Paris (dikenali sebagai nationally determined contributions, or ‘NDCs’) untuk dikemukakan menjelang tahun 2025, membuka jalan untuk mempercepatkan tindakan.                                                                      

"Setiap pecahan darjah adalah penting, tetapi kita sudah tersasar arah. COP28 adalah masa untuk kita berubah dan untuk menunjukkan banyak manfaat hasil daripada tindakan iklim yang tegas; lebih banyak pekerjaan, pendapatan tinggi, pertumbuhan ekonomi, peluang dan kestabilan, kurang pencemaran dan kesihatan yang lebih baik," katanya.

Malaysia meletakkan sasaran untuk mengurangkan pelepasan CO2 berdasarkan Keluaran Negara Kasar sebanyak 45 peratus menjelang 2030.

 

 

TINDAKAN SELANJUTNYA

 

Pengarah Eksekutif UN Global Compact Network Malaysia dan Brunei Faroze Nadar berkata, laporan sintesis dialog teknikal fasa penilaian Global Stocktake dimuktamadkan dan salah satu perkara penting dibangkitkan ialah pelepasan global tidak sejajar dengan keputusan memastikan peningkatan suhu hanya kepada 1.5 darjah.

"Pengurangan pelepasan perlu dibuat serta merta dalam semua bidang. Kita tidak boleh berlengah lagi.

"Di samping itu, tindakan penyesuaian transformasi serta usaha untuk mengelak, meminimum serta menangani kerugian dan kerosakan perlu dilakukan segera bagi mengurang dan bertindak kepada impak yang semakin meningkat.

"Akses kepada sokongan, terutamanya kewangan amat diperlukan untuk tindakan iklim, di samping meningkatkan kerjasama di semua peringkat dan sektor kekal sebagai keutamaan untuk meneruskan Perjanjian Paris," kata beliau ketika berucap di dialog peringkat tinggi Global Stocktake, sempena Minggu Iklim Asia Pasifik 2023 di Johor Bharu baru-baru ini.


Fokus utama pada perbincangan di COP28 ialah ‘Global Stocktake’, yang dijangka dimuktamadkan di Dubai Disember nanti.

Menurut beliau, Global Stocktake kini berada pada fasa komponen hasil politik, dengan mengkaji hasil laporan sintesis dialog teknikal, negara boleh mengenal pasti jurang, amalan terbaik serta peluang untuk peningkatan.

Beliau menggesa semua pemegang taruh untuk menggunakan platform berkenaan dan berbincang mengenai 'Apa yang diperlukan untuk menghasilkan Global Stocktake yang tegas'. 

"Platform ini juga penting untuk membolehkan rantau ini melaksanakan Global Stocktake dengan berkongsi pengalaman, Pelajaran dan amalan yang baik.

 "Hasil Global Stocktake akan membantu serta membimbing COP untuk mengemaskini dan memperbaiki NDC mereka, bagi membolehkan dibuat pembetulan di samping meningkatkan kerjasama antarabangsa untuk tindakan iklim," katanya.

 

 

SUARA ANAK MUDA

 

Sementara itu, Perwakilan Belia Malaysia (MYD) co-Focal Point, Lim Kai Sin berkata, adalah penting untuk menghormati pengetahuan belia tentang iklim, minat mendalam serta perspektif mereka, di samping menyertakan penglibatan beliau dalam dasar iklim.

Langkah ini, katanya, perlu bagi merapatkan jurang intergenerasi mengenai siding iklim antarabangsa yang penting ini.

Lim akan mewakili MYD ke COP28 di Dubai beserta rakan sejawatnya iaitu penyelidik dKieran Li Nair, dan pelajar pasca siswazah Universiti Kebangsaan Malaysia Yashirdisai Sampasivam untuk menampilkan suara belia Malaysia di pentas antarabangsa.

Bagi beliau, golongan belia perlu diberi peranan penting dalam perjuangan menentang perubahan iklim.


Sekumpulan orang muda menyertai perhimpunan 'Fridays For Future' di hadapan Parlimen Stockholm diketuai oleh aktivis perubahan iklim, Greta Thunberg (empat dari kanan)

"Penting untuk menterjemahkan isu iklim antarabangsa kepada konsteks tempatan bagi mendapatkan penglibatan belia Malaysia.

"Sebagai wakil beliau, kami perlu mengenal pasti isu agenda penting bagi Malaysia dan memperjuangkannya untuk manfaat negara ini dalam masa sama mahukan perubahan positif.

"Bagi menjamin masa depan yang mampan, adalah penting kita terus membina atas apa yang telah kita capai dan bersuara lantang untuk memperjuangkan perubahan," katanya menambah, bidang fokusnya adalah Peralihan yang adil dan Global Stocktake di COP28.

Pelajar kejuruteraan alam sekitar tahun akhir Harbin Institute of Technology ini berharap COP28 akan meletakkan asas teguh serta menyediakan peta hala tuju kepada semua pihak untuk komited melupuskan penggunaan bakar bakar fosil dan dalam masa yang sama mempunyai matlamat jelas untuk penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan kecekapan tenaga.

Sejak tahun 2015, MYD memainkan peranan aktif dalam menyokong wakil belia Malaysia ke COP sebagai wakil.

MYD diasaskan pada tahun 2015 untuk mewakili pergerakan iklim belia Malaysia serta meningkatkan kesedaran mengenai dasar iklim dalam kalangan rakyat negara ini.

Baru-baru ini, ia dilantik untuk menganggotai Panel Penasihat Perubahan Iklim di bawah NRECC.

 

(Artikel ini dihasilkan dengan sokongan Climate Tracker’s COP28 Climate Justice Journalism Fellowship)

 

Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan