RENCANA

TEKNOLOGI AI BANTU PERKASA INDUSTRI PEMBINAAN NEGARA

28/02/2024 12:17 PM

Oleh Nurqalby Mohd Reda

Industri pembinaan negara dijangka semakin produktif seiring dengan kecanggihan teknologi semasa termasuk berkaitan Kecerdasan Buatan (AI) yang mampu menjadikannya lebih kompetitif.

Malahan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dalam satu kenyataan baru-baru ini menyatakan teknologi AI sedang merevolusikan industri pembinaan negara, sekali gus bakal menjana kecekapan baharu dalam sektor ini.

Menurut CIDB, pasaran AI dalam sektor pembinaan di seluruh dunia akan berkembang secara signifikan dari tahun 2023 hingga tahun 2030.

Pasaran AI dalam pembinaan yang bernilai AS$519.63 juta pada tahun 2021, dijangka meningkat kepada AS$3554.22 juta menjelang 2027, dengan Purata Kadar Pertumbuhan Tahunan (CAGR) yang luar biasa sebanyak 37.78 peratus.

AI jug dilihat bakal memberi syarikat pembinaan kelebihan dalam aspek pemantauan projek pada masa sama meningkatkan produktiviti industri itu.

Namun dalam kerancakan evolusi teknologi AI ini lebih-lebih lagi di luar negara seperti di Amerika Utara dan Eropah, penggunaan atau pelaksanaannya di negara ini masih berdepan dengan beberapa kekangan.

 

BELUM MENYELURUH

Pensyarah Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Ar Nasrudin Sharkawi berkongsi dengan Bernama baru-baru ini mengenai kepentingan serta kekangan pelaksanaan teknologi AI di Malaysia.


Pensyarah Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, USIM, Ar Nasrudin Sharkawi

Menurut beliau, tidak dapat dinafikan penggunaan teknologinya amat perlu bagi memperkasa serta mewujudkan daya saing dalam industri pembinaan negara.

Ini kerana, katanya, teknologi itu dapat menyelesaikan permasalahan yang kompleks selain mampu menganalisis serta menyimpan pelbagai data atau maklumat dengan menggunakan sistem berkomputer.

Beliau menambah, AI juga berkeupayaan membantu dengan mengambil alih kerja yang selama ini dilakukan oleh tenaga manusia dan impaknya cukup besar dalam mengubah senario industri pembinaan negara.

“Dalam industri pembinaan, AI berkeupayaan meningkatkan kecekapan sesuatu kerja yang boleh dilakukan secara automatik bermula daripada peringkat pra-pembinaan sehingga sesuatu kerja pembinaan itu selesai. Contohnya, dalam reka bentuk bangunan serta pembangunan sistem pengawasan atau keselamatan di tapak projek.

“Kita melihat ketika ini teknologi itu diterima pakai oleh pemain industri pembinaan di Malaysia, namun ia masih belum meluas dan menyeluruh,’’ katanya.

Nasrudin berkata, faktor kurang kesedaran dan pengetahuan dalam penggunaan  AI mengakibatkan kebanyakan pemain industri tidak berminat untuk melaksanakan teknologi itu dalam projek pembinaan yang dikendalikan.

Selain itu, kebanyakan mereka berdepan kekangan untuk membuat pelaburan awal dalam mengguna pakai teknologi itu di samping kekangan dari segi kemahiran mengendalikan alatan, perisian, mesin atau robotik yang dilengkapi  AI serta keupayaan memilikinya yang disifatkan bernilai tinggi.

“AI bukanlah satu teknologi atau entiti yang terbatas kepada penggunaan robotik atau teknologi tinggi secara eksklusif. Sebaliknya, AI merangkumi pelbagai jenis teknologi serta melibatkan elemen seperti penggunaan mesin dan perisian termasuk BIM (Building Information Modeling).

“Tidak dinafikan penggunaan teknologi AI menunjukkan impak positif dalam aspek operasi sesebuah projek pembinaan itu. Antara negara yang aktif menggunakan AI dalam pelaksanaan projek mereka termasuk China, Jepun, Singapura serta Sweden.

“Di Malaysia, kemampuan kewangan menjadi kekangan, dan atas faktor itu juga ia mempengaruhi pemain industri terutamanya kontraktor kecil untuk tidak menggunakan teknologi ini dan akhirnya mereka kekal menggunakan kaedah sedia ada atau konvensional,’’ tambahnya. 

 

KETERSEDIAAN

Mengulas lanjut, Nasrudin berkata, sehubungan itu, pendekatan menyeluruh perlu dilaksanakan agensi berkaitan termasuk CIDB bagi menyedia dan meningkatkan pemain industri berkemahiran berteraskan AI di negara ini.


Kontraktor kecil lebih berminat menggunakan kaedah sedia ada berbanding teknologi AI

Usaha berkenaan, katanya, termasuk memberi latihan kepada pemain industri pembinaan negara supaya mereka mahir mengendalikan teknologi tersebut.

Menurut beliau, dalam konteks itu ia bukan sahaja akan memberi nilai tambah kepada pemain industri bahkan meningkatkan amalan kerja mereka untuk terus kekal relevan, seiring dengan perkembangan industri pembinaan dunia.

“Promosi terhadap kesedaran dan manfaat AI serta mewujudkan kerjasama pemain industri dengan pihak berkepentingan serta agensi kerajaan akan membantu mendorong penerimaan teknologi ini dalam kalangan pemain industri dan kontraktor kecil.

“Ia secara tidak langsung akan membentuk ketersediaan mereka untuk menggunakan teknologi itu dan situasi ini juga akan mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan kontraktor. Kita tidak mahu kontraktor yang mahir (menggunakan AI) akan mendapat kelebihan dan kemungkinan memonopoli sesuatu projek pembinaan,’’ katanya.   

Tambahnya, langkah kerajaan dalam menawarkan geran, insentif dan subsidi antara usaha yang dilihat mampu memberikan galakan serta ganjaran kepada pemain industri  yang mengambil inisiatif mengguna pakai teknologi AI.

 

PEMANTAUAN

Pandangan senada turut disuarakan pensyarah di Fakulti Alam Bina Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Dr Shazwan Mohamed Shaari yang menyifatkan pemain industri pembinaan negara agak terkebelakang dalam penggunaan teknologi berteraskan AI.


Pensyarah Fakulti Alam Bina UNIMAS Dr Shazwan Mohamed Shaari

“Bagi saya pemain industri tidak menolak teknologi ini, namun mereka lebih melihat kepada kriteria dan keperluan. Adakah mereka benar-benar memerlukan teknologi ini dalam memudahkan pekerjaan mereka?

“Sekiranya tidak membabitkan projek pembinaan yang berskala besar, kemungkinan mereka tidak akan melabur untuk tujuan itu kerana  tidak mahu terbeban dengan kesan kewangan pada masa akan datang,’’ katanya.

Shazwan berkata, meskipun AI diakui mempunyai banyak manfaat namun ancaman perkembangan teknologi itu tidak boleh dipandang ringan.

Beliau berkata, pemantauan secara berterusan terhadap teknologi itu perlu dibuat bagi membendung sebarang amalan tidak selamat oleh pemain industri pembinaan termasuk langkah berjaga-jaga harus dilaksanakan segera dengan membabitkan syarikat teknologi dan kerajaan.

“Pemantuan ini perlu supaya pemain industri tidak sewenang-wenangnya melakukan aktiviti salah guna membabitkan AI. Bagi saya apa sahaja teknologi baharu yang dilaksanakan di negara ini perlu didatangkan bersama undang-undang. Sekiranya akta sedia ada lompong, perlu dibuat penambahbaikan.

“Sebagai contoh jika dilihat pada penggunaan dron, pada awalnya dron boleh diterbangkan hampir di mana-mana namun selepas kejadian tidak beretika pengguna sehingga mengancam keselamatan orang lain, kerajaan mengemaskini undang-undang dron sedia ada bagi tujuan keselamatan,’’ katanya.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

 

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan