RENCANA

"WAJIB" BERBAHASA ASAL, CARA ORANG ASLI KENSIU PERTAHAN BUDAYA

04/03/2024 07:58 PM

Oleh Rosnani Saad

Hanya ditemukan di Kedah dan merupakan satu-satunya komuniti Orang Asli di negeri itu, suku kaum Kensiu daripada rumpun Negrito tidak begitu dikenali oleh kebanyakan rakyat di negara ini.

Berjumlah hanya sekitar 350 orang dengan kesemua mereka tinggal di Kampung Lubuk Legong, kira-kira 12 kilometer dari pekan Baling, tidak menghairankan jika suku kaum ini “mewajibkan” ahli komuniti mereka berbahasa Kensiu ketika berkomunikasi sesama sendiri, demi menjaga kelestarian bahasa mereka yang kini diaduk dengan bahasa lain. 

"Yek sayeng Kensiu… bahasa menik Kensiu men'ed ap jagak be'ed be'ed',” tutur Mazwan Ibrahim, remaja lelaki Kensiu yang ditemui Bernama di kampung itu baru-baru ini.

“Saya sayang suku Kensiu… bahasa Kensiu unik, kena jaga elok-elok,” terjemahnya kemudian sambil tersenyum malu, satu sikap yang dipamerkan oleh kebanyakan penduduk di kampung itu apabila bertemu “orang luar” buat pertama kali.

Menurut pelajar tingkatan empat di sebuah sekolah agama di Sik itu, dia sedar tanggungjawab melestarikan budaya Kensiu terletak di bahunya selaku generasi muda suku kaum tersebut.

“Atas faktor itulah saya tawarkan diri jadi sukarelawan bagi mengumpulkan dan memasukkan perkataan-perkataan Kensiu dalam kamus Wikikamus,” sambung remaja itu yang ditemui semasa program mendokumentasikan bahasa dan budaya orang Kensiu pada 24 dan 25 Feb lepas.  

Program anjuran Kumpulan Komuniti Pengguna Wikimedia Malaysia dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu merupakan sebahagian daripada usaha Wikimedia Malaysia dalam merekodkan bahasa Orang Asli yang sedang diancam kepupusan di negara ini, bermula dengan suku Mendriq di Kelantan pada tahun lepas.

 

ASIMILASI BAHASA

Sementara itu, menurut Tok Batin Kampung Lubuk Legong Razali Kulim, bahasa asal Kensiu yang dituturkan oleh nenek moyang mereka dulu, sudah bercampur dengan bahasa dan dialek setempat memandangkan komuniti Kensiu yang mendiami kampung tersebut berasal dari beberapa daerah di Kedah.

"Menurut sejarah, penduduk dibawa ke sini oleh kerajaan pada 1952. Ada yang sebelum ini tinggal di Sik, Kupang, Sedim dan juga selatan Thailand. Semua dihimpunkan di kampung ini.


Sebuah keluarga suku Kensiu yang kini tinggal di perkampungan Orang Asli di Kampung Lubuk Legong, Baling.

“Walaupun semua adalah suku kaum Kensiu, pengaruh bahasa setempat mempelbagaikan bahasa pertuturan masing-masing, baik dari segi perkataan ataupun bunyi sebutan. Bagi memudahkan komunikasi, secara beransur-ansur kami gantikan perkataan-perkataan yang berbeza itu dengan bahasa Melayu.

“Contohnya, perkataan udang. Dulu kami panggil 'kleksuk',” jelas Razali, 45, menambah ada perkataan “dimodenkan” kerana lebih mudah disebut dan difahami oleh generasi muda.

“Walaupun di kampung ini kami bertutur menggunakan bahasa Kensiu, ada perkataan lama yang agak sukar difahami oleh generasi muda, menyebabkan ibu bapa dan orang lebih tua menggantikan perkataan terbabit dengan perkataan lain yang lebih mudah disebut dan difahami,” jelasnya lagi.

“Contoh lain ialah perkataan batu yang dulu kami sebut ‘balok’, tapi kini berubah kepada ‘batuk’. Perkataan ‘metless’ atau ‘subsied’ yang dalam bahasa Melayunya adalah beras,  kini kami sebut ‘bias’,” sambung Razali.

Jelas beliau lagi, bahasa Kensiu juga tidak mempunyai tulisan, dan ejaan perkataan hanya dicipta selepas mereka mengikuti pendidikan formal di sekolah kebangsaan.

“Generasi muda usahakan mengeja perkataan Kensui mengikut bunyi sebutan agar kami ada rekod bertulis,” katanya lagi.

Pada masa ini, anak-anak Kensiu mengikuti pendidikan rendah di Sekolah Kebangsaan Siong yang terletak kira-kira dua kilometer dari perkampungan mereka. Bagi pendidikan menengah pula, selain Sekolah Menengah Kebangsaan Siong, ada antara anak-anak terbabit dipilih oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah mengikuti pengajian di Maahad Dini Sultan Abdul Halim, Sik, kendalian institusi itu.

 

WAJIB BERBAHASA KENSIU

Razali yang dilantik sebagai Ketua komuniti Kensiu pada 2016, berkata pada ketika itu hanya terdapat  60 buah keluarga merangkumi kira-kira 200 orang penduduk di kampung tersebut.

“Kini sudah berkembang kepada 85 keluarga dengan 350 penduduk.  Kecuali tiga keluarga, kesemua yang lain beragama Islam,” ujar beliau.


Tok Batin Kampung Lubuk Legong Razali Kulim.

Sepertimana suku Mendriq yang menyaksikan perkahwinan campur, suku kaum Kensui juga mengalami perkara sama apabila ada yang berkahwin dengan suku Semai, Temiar, Jahai, Kintaq dan Batek. 

“Dalam usaha mengekalkan budaya serta bahasa kami, pasangan kahwin campur yang menetap di kampung ini diwajibkan mempelajari dan mempraktikkan bahasa Kensiu.

"Ada juga perkahwinan membabitkan orang Melayu dan kaum-kaum lain, namun kebanyakannya memilih untuk hidup berdikari di luar kampung ini," jelasnya, menambah isu itu merupakan antara kekangan dalam melestarikan budaya dan bahasa suku kaum tersebut. 

Justeru, kata Razali, beliau amat mengalu-alukan langkah yang diambil oleh Wikimedia Malaysia untuk mendokumentasikan bahasa mereka.

"Suku Kensiu merupakan suku Orang Asli berpopulasi terkecil di Malaysia dan hanya ada di perkampungan ini… kita takut suatu hari nanti, bahasa Kensiu akan lenyap sekiranya tidak dibukukan atau direkodkan dengan baik dan teliti.

"Oleh yang demikian, saya akan pastikan sukarelawan yang terbabit dalam usaha memasukkan perkataan Kensiu ke dalam kamus berkenaan menjalankan tugas mereka secara berterusan, agar inisiatif ini tidak terhenti separuh jalan,” tegas beliau.

 

MARTABATKAN BAHASA KENSIU

Sementara itu, Bendahari Kumpulan Komuniti Pengguna Wikimedia Malaysia Mohd Taufik Rosman berkata seramai tujuh sukarelawan termasuk tiga dari Indonesia, terbabit dalam misi di kampung tersebut yang turut disertai oleh 26 penuntut UIAM.

"Projek Wikikata ini bertujuan memelihara bahasa dan memastikan bahasa etnik di negara ini terpelihara dan terakam di Internet… sekarang semua benda di hujung jari tetapi bukan semua bahasa wujud dalam Internet.


Setiap perkataan bahasa Kensiu akan disimpan di dalam Wikikamus berdasar kategori kata kerja dan kata nama.

"Yang ada dalam Internet hanya bahasa dominan seperti bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan sebagainya… bahasa etnik sangat kurang, contohnya bahasa Orang Asli di Semenanjung dan bahasa etnik di Sabah dan Sarawak," katanya kepada Bernama.

Menurut beliau, usaha di kampung itu dilaksanakan susulan kejayaan mereka merekodkan 300 patah perkataan bahasa Mendriq. 

"Kami bantu dengan memberi tunjuk ajar kepada sukarelawan yang terdiri daripada 17 orang anak muda suku Kensiu, untuk mengisi perkataan berserta maksudnya ke dalam Wikikamus, iaitu kamus dalam talian.

"Program tidak akan terhenti selepas bengkel dua hari ini kerana kita akan terus membimbing mereka melalui aplikasi WhatsApp… apa sahaja yang mereka tidak faham mereka boleh hubungi kami,” ujarnya.

Menurut beliau, sepanjang dua hari bengkel, mereka berjaya merekodkan 390 patah perkataan Kensiu.

"Sebanyak 215 rakaman audio sebutan dan tiga video percakapan dalam bahasa Kensiu turut dihasilkan.

"Kami berharap agar lebih banyak perkataan dapat dimasukkan ke dalam Wikikamus… semua perlu dilakukan secara konsisten kerana kami risau bahasa ini akan hilang begitu sahaja jika tidak dipelihara,” tambah beliau.

 

MISI REKODKAN BAHASA DIANCAM KEPUPUSAN

Pensyarah di Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM Prof Madya Dr Fazal Mohamed Sultan yang turut serta dalam bengkel itu, berkata misi program tersebut ialah merekodkan bahasa suku Orang Asli daripada rumpun Negrito yang merupakan kumpulan Orang Asli terkecil di Malaysia. 

"Terdapat enam suku di bawah rumpun Negrito, iaitu Kensiu, Kintaq, Jahai, Mendriq, Bateq dan Lanoh. Paling kecil populasi adalah suku kaum Kensiu yang menyusuli Mendriq. Kita sudah berjaya rekodkan bahasa Mendriq, dan Kensiu ini adalah projek kedua,” jelasnya yang menyokong penuh misi Wikimedia Malaysia.


Mazwan Ibrahim, remaja lelaki Kensiu yang juga sukarelawan pada program itu menunjukkan beberapa perkataan berserta maksudnya yang disimpan di dalam Wikikamus.

Bercerita lanjut, Fazal berkata beliau membuat kajian tentang Orang Asli di Semenanjung Malaysia, khususnya suku Mendriq, sejak 14 tahun lalu.

Sepanjang tempoh itu, beliau berkata banyak data telah berubah termasuk ada perkataan Mendriq yang tidak lagi diketahui maknanya oleh generasi muda, sekali gus mencetuskan kebimbangan perkara serupa berlaku kepada Kensiu.

“Kita mahu selamatkan seberapa banyak (bahasa) yang boleh… kita nak mereka maju tetapi dalam masa yang sama kita tidak mahu bahasa mereka hilang," katanya, menambah projek seterusnya ialah merekodkan bahasa Bateq.

Pada masa sama, Fazal berkata mereka bagaimanapun hanya berperanan sebagai pemudah cara kerana usaha itu tidak akan berjaya tanpa kesungguhan dan kerjasama  daripada ahli masyarakat itu sendiri.

Di Semenanjung Malaysia, terdapat tiga kumpulan Orang Asli, iaitu Senoi yang merangkumi 55.09 peratus, Melayu Proto (41.97 peratus) dan Negrito (2.94 peratus).

Di bawah keluarga Senoi ada suku Temiar, Semai, Jah Hut, Che Wong, Semoq Beri dan Mah Beri, sementara Melayu Proto dibentuk oleh suku kaum Temuan, Jakun, Semelai, Orang Kanaq, Orang Seletar dan Orang Kuala, manakala Negrito terdiri daripada Kensiu, Kintaq, Jahai, Mendriq, Lanoh dan Bateq.

 

MANFAAT MEREKODKAN BAHASA KENSIU

Bagi penuntut UIAM Ahmad Ali Karim, 21, beliau memilih menjadi sukarelawan Wikimedia Malaysia kerana bidang itu agak berbeza berbanding kerja-kerja sukarela lain.

"Saya sertai sukarelawan Wikimedia pada 2020. Saya agak teruja bila berpeluang memasuki perkampungan Orang Asli yang ada di negara ini. Kali pertama di Kelantan dan kedua di sini.


Sukarelawan Wikimedia daripada pelbagai latar belakang yang menjayakan misi mendokumentasikan bahasa Kensiu baru-baru ini.

"Banyak pengalaman dan pengetahuan yang saya peroleh, antaranya bahasa Kensiu yang melambangkan jati diri mereka… Walaupun dikelilingi arus pemodenan, mereka masih mengekalkan bahasa asal sebagai bahasa komunikasi harian,” kata penuntut tahun dua jurusan sains politik itu. 

Katanya, walaupun ada yang memandang remeh usaha mereka, hal itu tidak melemahkan semangatnya untuk membantu memelihara bahasa Orang Asli di negara ini.

"Di Amerika Selatan sebagai contoh, terdapat banyak suku Orang Asli dan ada suku yang mencatatkan cara perubatan dalam bahasa mereka.

"Justeru, jika bahasa mereka tidak direkodkan dan dibiarkan pupus, menjadi satu kerugian kerana bukan semua perubatan tradisional tidak berkesan, sebaliknya ada yang memberi faedah kepada kesihatan," katanya.

Sukarelawan Wikimedia dari Indonesia, Dr. Arjuna Fikrillah, 27, pula berkata walaupun beliau merupakan doktor perubatan, beliau tertarik dengan bahasa Orang Asli.

"Di negara saya ada banyak bahasa asli, sekitar 700 bahasa, namun hanya sebahagian kecil sahaja yang dilestarikan.

"Bila ada acara (program) di Malaysia, saya ingin tahu bagaimana bahasa ini dilestarikan dan mungkin cara itu dapat diterapkan di Indonesia.

"Ini merupakan kali pertama saya di Malaysia dan kali pertama juga saya mengikuti acara di perkampungan Orang Asli suku Kensiu… banyak pengalaman yang saya dapat di sini," katanya.

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan