Sabtu, 30 Mei 2020
SUKAN
22/05/2020 06:54 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mei -- Skuad Bawah 18 Tahun (B-18) kebangsaan, memandang ke hadapan untuk menjadi pasukan Malaysia pertama membuat penampilan di pentas Piala Dunia, kata pengurusnya Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar.

Katanya, pihaknya kini menunggu prosedur operasi standard (SOP) sukan bola sepak, yang dijangka akan dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada bulan depan, sebelum meneruskan perancangan menghadapi Kejuaraan B-19 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 di Uzbekistan, Oktober depan.

"Kami amat komited untuk melayakkan diri ke Piala Dunia B-20 2021, untuk menjadi pasukan pertama Malaysia beraksi secara merit ke Piala Dunia. Ia bukan misi mustahil, memandangkan kita pernah menang dengan kuasa besar Asia seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Australia. Jurang itu tidak besar lagi.

"Tetapi kami perlu tunggu SOP yang dikeluarkan MKN nanti, sebelum kami boleh teruskan dengan pelan yang telah dirangka. Barisan kejurulatihan pasukan juga telah siap dengan beberapa alternatif, sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan," katanya kepada Bernama, hari ini.

Beliau berkata proses undian peringkat kumpulan Kejuaraan B-19 AFC 2020, yang menjadi medan kelayakan ke Piala Dunia B-20 2021 itu telah ditetapkan pada 21 Jun depan, sementara pusingan akhir kejuaraan itu tidak berdepan sebarang perubahan tarikh.

Dalam pada itu, Kamarul Ariffin mengakui penularan pandemik COVID-19, sedikit sebanyak merencatkan perancangan teliti pasukan, selain berpotensi memberi impak negatif terhadap perkembangan prestasi pemain.

“Pemain masih mengikuti latihan dan menjaga tahap kecergasan yang berpandukan arahan kelab dan pasukan masing-masing, tetapi dalam keadaan sekarang apa yang boleh dibuat sangat minima,” jelasnya.

Namun, beliau menegaskan motivasi pemain berada dalam keadaan terbaik, selepas membuat lawatan ke kediaman beberapa pemain antaranya Luqman Hakim Shamsudin dan Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi.

“Saya pergi ke rumah beberapa pemain melihat keadaan sesi latihan, dan berjumpa secara peribadi. Apabila bercakap dengan Luqman dan Mukhairi Ajmal, saya dapati mereka amat bersemangat dengan sasaran di sana (Uzbekistan), dan kekal bermotivasi untuk layak ke Piala Dunia,” katanya.

Skuad B-18 negara mencuri perhatian pada Kejuaraan B-19 Konfederasi Bola Sepak ASEAN (AFF) 2019, selepas menundukkan pilihan utama, Australia 3-0 dalam saingan Kumpulan B, namun tewas 0-1 ketika kedua-dua pasukan bertembung di pentas final.

Skuad kendalian Brad Maloney itu kemudian mengetepikan cabaran pilihan utama, Thailand, untuk muncul juara Kumpulan G Kelayakan Kejuaraan B-19 AFC 2020, sekali gus mengesahkan slot ke Uzbekistan.

-- BERNAMA

 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan