SUKAN

PENANG FC HARAP KEHADIRAN SATU LAGI TONGGAK IMPORT

18/04/2024 10:59 AM

KUALA NERUS, 18 April (Bernama) -- Ketua jurulatih Penang FC Akmal Rizal Ahmad Rakhli mengakui kelab bimbingannya amat mengharapkan tambahan seorang lagi pemain import bagi memperkuat pasukan itu musim ini.

Bekas penyerang kebangsaan itu berkata kehadiran pemain import amat diperlukan pada posisi tengah menyerang bagi membantu menghasilkan jaringan.

Akmal Rizal berkata beliau sudah memiliki calon yang berkelayakan dari negara Amerika Latin, namun perancangan tersebut hanya dapat direalisasikan dengan persetujuan pihak pengurusan.

"Esok (hari ini) pihak pengurusan akan bermesyuarat. Mungkin ada kata putus sama ada saya boleh membawa seorang lagi pemain utama di bahagian tengah menyerang.

"Calon kuota bebas sudah ada. Saya harap perkara ini dapat direalisasikan untuk kita tambah kekuatan di bahagian serangan," katanya ketika ditemui selepas perlawanan Kejohanan Empat Penjuru Pra Musim menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di sini, malam tadi.

Akmal Rizal berkata beliau juga belum memutuskan kesebelasan utama yang akan membarisi skuad Harimau Kumbang musim ini.

Justeru katanya peluang masih terbuka untuk semua termasuk pemain muda membuktikan keupayaan bagi merebut tempat utama dalam pasukan.

"Semua pemain yang ada dalam pasukan ini saya yang pilih. Jadi sama ada pemain baharu, pemain muda yang dinaikkan daripada skuad bawah 23 tahun atau yang dikekalkan daripada musim lalu mempunyai peluang sama rata.

"Terpulang pada pemain bagaimana mereka nak ambil peluang untuk buktikan keupayaan masing-masing," katanya yang berazam untuk mendapatkan kedudukan terbaik dalam Liga Super musim ini.

Penang FC musim ini sudah mengikat empat tonggak import iaitu Moon Gun Young, Rodrigo Dias, Rafael Vitor dan Richmond Ankrah yang dipinjamkan oleh Selangor FC selama semusim.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan