SUKAN

PENGANALISIS TERKILAN CARA HARIMAU MUDA TEWAS DI TANGAN UZBEKISTAN

18/04/2024 06:51 PM

KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Persembahan hambar skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan ketika tewas 0-2 di tangan pasukan pilihan Uzbekistan pada saingan Piala Asia B-23 2024 di Doha, Qatar semalam perlu dielakkan dalam perlawanan akan datang.

Ia selepas pendekatan taktikal skuad Harimau Muda pada aksi pembukaan Kumpulan D itu menerima kritikan hebat apabila pasukan dilihat menyajikan permainan negatif terutama di separuh masa pertama yang menyaksikan tiada sebarang percubaan tepat ke gawang lawan berjaya dilakukan Malaysia.

Permainan negatif pasukan negara kendalian Juan Torres Garrido itu juga dapat dilihat menerusi kegagalan pemain menguasai bola di kawasan sendiri dan di kawasan pihak lawan apabila sering kehilangan bola selepas antara dua dan tiga sentuhan, selain lebih gemar bermain hantaran jauh.

Lebih perit, kedua-dua gol yang dicipta Uzbekistan berpunca daripada kesilapan individu pemain negara termasuk satu penalti yang diberikan kepada juara edisi 2018 dan naib juara edisi lepas itu.

Aksi hambar ditunjukkan Harimau Muda semalam turut mendapat perhatian penganalisis bola sepak tempatan Datuk Dr Pekan Ramli yang terkilan dengan cara kekalahan dialami Malaysia.

“Kita tidak sepatutnya kalah kepada Uzbekistan macam mana kita kalah malam tadi, saya dapati kecergasan pemain di tahap yang rendah, mereka bermain permainan yang negatif dan corak permainan yang ditunjukkan tidak seperti bola sepak moden.

“Kesilapan-kesilapan individu yang berlaku semalam juga tidak sepatutnya terjadi di peringkat ini. Sesuatu perlu dilakukan segera bagi mempertingkatkan tahap permainan pasukan untuk lawan Vietnam dan Kuwait selepas ini kalau tidak kita mungkin pulang tanpa sebarang mata,” katanya kepada Bernama hari ini.

Pada pertembungan di Stadium Antarabangsa Khalifa semalam, ketua pasukan Uzbekistan Jasurbek Jaloliddinov menyempurnakan penalti pada minit ke-11 selepas pemain pertahanan Muhamad Syahir Bashah dipersalahkan kerana menjatuhkan Ruslanbek Jiyanov.

Pemain gantian Ulug'bek Khoshimov melengkapkan kemenangan 2-0 Uzbekistan yang muncul naib juara edisi lepas pada minit ke-83 berpunca kesilapan Muhammad Abu Khalil dalam membuat hantaran di kawasan sendiri.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia perlu bangkit mengutip mata ketika membuat perhitungan dengan Vietnam di venue sama pada Sabtu ini sebelum bertemu Kuwait pada aksi terakhir kumpulan di Stadium Al Janoub di Al Wakrah pada Selasa depan.

Malaysia yang pernah mara sehingga ke peringkat suku akhir pada edisi 2018, menyasarkan untuk menyamai pencapaian itu pada kempen kali ini

Hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke suku akhir dan berpeluang meneruskan cabaran merebut tiga slot automatik ke Sukan Olimpik Paris 2024 manakala pasukan keempat terbaik kejohanan akan bermain perlawanan play-off bertemu Guinea di Paris, Mei ini.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan