SUKAN > BERITA

WAI CHING TUKAR CORAK LATIHAN, ADAPTASI KESIBUKAN JADUAL HARIAN

11/06/2024 07:41 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Jaguh larian menara Soh Wai Ching menerapkan corak baharu dalam latihannya dalam usaha menambah baik prestasi menjelang kejohanan berturut-turut yang akan dihadapinya pada masa akan datang.

Atlet berusia 30 tahun itu berkata ia berikutan kesibukan jadual hariannya yang menyebabkan beliau tidak mempunyai masa untuk menjalani latihan seperti yang dilakukannya sebelum ini. 

Beliau berkata kekurangan sesi latihan akibat jadualnya yang padat telah mengundang perkara-perkara yang tidak diingini seperti terjatuh yang dialaminya pada kejohanan DC Tower Run 2024 di Menara DC, Vienna, Austria Sabtu lepas. 

“Persembahan saya tidak konsisten sebab jadual padat, ia ambil masa dan tenaga dan jejaskan masa latihan, jadi prestasi memang jatuh. Saya tukar cara latihan, selalunya saya naik 400 anak tangga setiap hari, tetapi saya tukar 150 sahaja sehari tetapi dengan intensiti tinggi. 

“Cara latihan sebelum ini memang tidak sesuai dengan jadual masa saya, jadi saya perlu optimumkan masa yang ada, supaya ia boleh memperbaiki prestasi,” katanya kepada pemberita pada sidang media Larian Menara Berjaya Time Square di sini hari ini. 

Sabtu lepas, Wai Ching melalui detik sukar apabila terjatuh ketika kejohanan sebelum bangkit menamatkan larian di tempat kedua dengan catatan masa lima minit 58 saat, 11 saat di belakang pelari Jepun, Ryoji Watanabe (5:47.2s) pada acara DC Tower Run 2024 di Menara DC, Vienna, Austria.

Dalam pada itu, Wai Ching berkata beliau telah memulakan corak latihan baharu itu dua minggu lepas dan ia memerlukan masa lebih kurang empat hingga lapan minggu untuk melihat hasil latihan itu. 

Beliau akan berdepan lima kejohanan dalam negara termasuk Larian Menara MBPJ, Menara Selangor, Berjaya Time Square, Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Menara WTC selain dua kejohanan antarabangsa di Filipina dan Perth, Australia.

Mengulas mengenai Larian Menara Berjaya Time Square yang akan dianjurkan pada 4 Ogos ini, Wai Ching berkata beliau tekad untuk memecahkan rekod larian menara yang diciptanya sendiri iaitu 5:06s pada edisi tahun lalu. 

“Saya tak mahu lepaskan peluang ini dan tidak mahu bagi peluang peserta negara lain ungguli larian di Berjaya Time Square,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan