SUKAN > BERITA

PAN GON LIHAT INDONESIA BANGKIT SEBAGAI KUASA BAHARU SERANTAU

12/06/2024 05:48 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon meramalkan Indonesia akan muncul sebagai kuasa besar di rantau ini dalam masa terdekat selepas Garuda mencipta sejarah mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 buat kali pertama semalam.

Pan Gon berkata beliau dapat melihat Indonesia berusaha keras untuk mencapai kejayaan itu sambil menekankan bahawa keperluan Malaysia meningkatkan usaha untuk menyahut cabaran tersebut.

"Bagi saya, Indonesia akan menjadi pasukan utama di sekitar sini tidak lama lagi, mereka berusaha keras tetapi kita mesti mencabar," katanya pada sidang media selepas Malaysia menewaskan Taiwan 3-1 dalam perlawanan terakhir Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, di sini malam tadi.

Indonesia mengesahkan kemaraan ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 selepas menewaskan Filipina 2-0 di Jakarta semalam, sekali gus muncul naib juara Kumpulan F pada kempen pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Indonesia, di bawah bimbingan jurulatih dari Korea Selatan berusia 53 tahun, Shin Tae-Yong, turut menempah slot awal Piala Asia 2027 di Arab Saudi.

Antara usaha Indonesia daripada perspektif Pan Gon ialah tindakan rakan senegaranya itu mengambil inisiatif melakukan 'scounting’ di Eropah untuk mencari pemain berdarah kacukan yang beraksi bersama kelab di sana.

Bagaimanapun, Pan Gon, 55, berkata bahawa bagi beliau, pembangunan bakat tempatan bagi melahirkan pemain terbaik  harus menjadi keutamaan sebelum meneroka usaha tambahan.

Malaysia menamatkan saingan di tangga ketiga Kumpulan D dengan 10 mata di belakang Oman selaku juara dengan 13 mata dan Kyrgyzstan sebagai naib juara dengan 11 mata dan Taiwan tercorot tanpa sebarang mata.

Juara dan naib juara kumpulan mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 dan slot automatik ke PIala Asia 2027.

Kegagalan skuad negara meraih slot automatik ke Piala Asia 2027 menyaksikan mereka perlu mengharungi pusingan kelayakan Piala Asia 2027 yang akan berlangsung bermula Mac tahun depan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan