SUKAN > BERITA

PIALA FA: MUFT MARA KE SUKU AKHIR, KEJUTKAN PDRM 3-0

12/06/2024 11:19 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Malaysia University Football Team (MUFT) mencipta kejutan selepas mengatasi PDRM FC 3-0 pada pusingan 16 Piala FA 2024  di Stadium Selayang dekat sini malam ini.

MUFT membuka tirai jaringan seawal minit kelima apabila penyerang Rahman Shah Marajeh membuat rembatan jarak jauh dari luar kotak penalti sebelum skuadnya menggandakan kedudukan menerusi Muhammad Hadi Mohamad yang meledak jaringan kedua empat minit kemudian. 

Bersambung babak kedua, PDRM di bawah kendalian P. Maniam menyusun gerakan untuk memburu jaringan tidak membuahkan hasil termasuk sepakan percuma yang diambil pemain tengah Shafizi Iqmal Md Khirudin yang dinafikan palang gol pada minit ke-75. 

PDRM terus dirundung malang apabila leretan bola Muhammad Zharif Nazhan Refli  yang baru dibawa masuk memberi jaringan ketiga kepada MUFT di bawah bimbingan Ridzuan Abu Samah pada masa kecederaan dan keputusan kekal 3-0 hingga ke wisel penamat.

Keputusan itu menyaksikan MUFT mengesahkan tempat ke suku akhir yang akan berlangsung secara timbal balik pada 28 Jun dan 4 Julai ini.

Empat perlawanan akan berlangsung Jumaat ini dan tiga pada Sabtu ini untuk menentukan slot suku akhir.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan