SUKAN > BERITA

PENGANJURAN SUKAN SEA CIPTA LANDASAN PEMBENTUKAN JUARA BAHARU - JEGATHESAN

13/06/2024 12:32 PM

Oleh Vikneswaran Raman

KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Legenda olahraga negara Tan Sri Dr M Jegathesan bersetuju Malaysia menganjurkan Sukan SEA ke-34 pada 2027 bagi mewujudkan peluang kepada lebih banyak bakat baharu dan muda muncul di persada antarabangsa.

Terkenal dengan julukan Flying Doctor kerana kejayaannya mencipta rekod dan legasi dalam acara pecut, Dr Jegathesan percaya Sukan SEA atau sebelum ini dikenali sebagai Sukan Asia Tenggara (SEAP), telah mencapai matlamat pengembangan bakat dari akar umbi sehingga terbentuknya juara selama bertahun-tahun.

Bekas Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) itu berkata penganjuran Sukan SEA membabitkan bandar-bandar berbeza berbanding model tradisional penganjuran di Lembah Klang, juga akan memberi manfaat kepada pelbagai golongan dan pada masa sama kos serta pengurusan boleh diagih-agihkan.

Dr Jegathesan bagaimanapun berkata keputusan muktamad untuk mengajurkan temasya dwitahunan itu bergantung kepada pihak terlibat kerana hanya mereka mengetahui keperluan kerja dan sumber yang mereka ada.

“Jika anda tidak mencipta peluang akar umbi, juara tidak akan muncul. Sukan SEA memainkan peranan penting dalam mencari dan membangunkan bakat, menjadi landasan kepada pertandingan antarabangsa kepada peringkat Asia Tenggara.

“Atlet di peringkat dunia juga bergantung kepada pembangunan akar umbi, kerana daripada satu kumpulan besar juara akan muncul. Kejayaan dalam Sukan SEA membawa kepada Sukan Asia, dan akhirnya Sukan Komanwel dan Olimpik. Penganjuran temasya ini adalah berfaedah apabila sumber membenarkan,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang meneliti impak penganjuran Sukan SEA 2027 dan akan membentangkan keputusannya kepada Kabinet bulan depan selepas Ahli Majlis Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) pada Mei 2022 sebulat suara bersetuju memberikan hak penganjuran kepada Malaysia.

Malaysia pernah menjadi tuan rumah temasya dwitahunan itu sebanyak enam kali iaitu pada 1965, 1971, 1977, 1989, 2001 dan 2017 dan kesemuanya berlangsung di Lembah Klang.

Dr Jegathesan, yang pernah berkhidmat sebagai pentadbir, pegawai perubatan dan doping di peringkat kebangsaan dan antarabangsa percaya menjadi tuan rumah Sukan SEA dapat memberi manfaat kepada pembangunan sukan, ekonomi dan pemupukan minat terhadap sukan di Malaysia.

“Bagaimana wang dibelanjakan bergantung kepada pihak bertanggungjawab tetapi apabila melibatkan Sukan SEA, nilai yang diperoleh tidak dapat dinafikan. Ia bukan sahaja memupuk atlet juara tetapi juga meningkatkan imej negara, dan menghasilkan kesan berkekalan tentang kebolehan serta bakat dalam menganjurkan dan menyampaikan program sukan kepada orang ramai.

“Ia juga mencetuskan keterujaan orang ramai, memupuk kebanggaan negara, dan menghidupkan semula minat masyarakat dalam pelbagai aktiviti. Bagi bandar raya tuan rumah, acara sebegini juga meningkatkan ekonomi dengan menarik pengunjung dan mempamerkan tawaran tempatan, yang membawa kepada peningkatan perbelanjaan dan pertumbuhan,” katanya.

Mengenai pemilihan sukan dan acara dipertandingkan, pemenang pertama anugerah Olahragawan Negara apabila Anugerah Sukan Negara diperkenalkan pada 1966, bersetuju bahawa gabungan kedua-dua acara Olimpik dan sukan serantau seperti sepak takraw dan pencak silat adalah ideal.

“Kita mempunyai minat serantau dan banyak sukan dalam Sukan SEA tidak menarik secara global untuk dimasukkan dalam Sukan Olimpik. Tapi ia adalah penting kepada penduduk di rantau itu. Jadi, dalam kita berusaha untuk acara Olimpik di peringkat global, hakikatnya kita juga perlu menyediakan peluang kepada sukan serantau untuk bertahan,” katanya.

Flying Doctor yang mencipta kejayaan pada era 1960-an dengan pencapaian pingat emas Sukan Asia, berkata penampilan sulungnya di pentas antarabangsa ialah pada edisi pertama Sukan SEAP pada 1959 di Bangkok, Thailand ketika berusia 16 tahun dan menyaksikan beliau meraih pingat perak acara 4x400 meter (m) lelaki.

Masih dibangku sekolah ketika itu, Dr Jegathesan ternyata teruja menaiki penerbangan buat kali pertama tanpa mengetahui bahawa ia adalah permulaan kepada kerjaya olahraga yang cemerlang sehingga mewakili negara dalam tiga Sukan Olimpik iaitu 1960 di Rom, edisi 1964 di Tokyo dan Mexico 1968, menyaksikan beliau mencipta rekod kebangsaan acara 200m dengan catatan 20.92s.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Persatuan Skuasy Raket Malaysia (SRAM) Mejar (B) S Maniam berkongsi pendapat sama bahawa Malaysia harus menganjurkan Sukan SEA 2027 yang akan menghimpunkan semua lapisan masyarakat untuk menyokong atlet negara.

“Sebagai ahli sukan, saya rasa kita perlu menganjurkan acara antarabangsa…sepanjang tempoh dua minggu penganjuran suasana seperti karnival, akan ada banyak berita sukan, cerita kegemilangan, kegembiraan dan juga kesedihan yang datang daripada kekalahan. Tetapi ia akan benar-benar hebat, itu tidak boleh dinikmati jika acara itu diadakan di tempat lain,” katanya.

Maniam berkata menganjurkan temasya itu akan memberikan manfaat kepada atlet dan juga persatuan sukan kerana venue pertandingan akan dinaik taraf.

Menurut Maniam, SRAM antara persatuan sukan yang berterusan mencungkil bakat baharu untuk memenangi pingat sekurang-kurangnya di peringkat Asia dan Komanwel, Sukan SEA berfungsi sebagai landasan untuk pemain peringkat pertengahan dan bawahan mendapat pendedahan berharga manakala atlet elit pula menumpukan kepada pertandingan lebih besar.

Beliau berkata sekiranya kos penganjuran menjadi antara kebimbangan untuki menganjurkan temasya itu, kerajaan boleh mengikuti model Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 1984 untuk menswastakan Sukan SEA dan meminta lebih banyak syarikat korporat dan berkaitan kerajaan (GLC) menyokong usaha berkenaan.

“Sukan Olimpik LA adalah antara situasi Sukan Olimpik yang jarang berlaku menyaksikan mereka menjana wang,” katanya sambil menambah penampilan sulung skuasy di Sukan Olimpik LA 2028 iaitu setahun selepas Sukan SEA akan menambah minat dalam kalangan negara anggota untuk menyemarakkan lagi temasya dwitahun itu kelak.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan