SUKAN > BERITA

TFC SUMBANG LIMA PERATUS HASIL JUALAN TIKET PIALA FA MALAM INI KEPADA TABUNG DARUL IMAN

14/06/2024 02:01 PM

KUALA NERUS, 14 Jun (Bernama) -- Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) mengambil inisiatif menyumbang lima peratus daripada hasil jualan tiket fizikal perlawanan Piala FA Terengganu FC (TFC) menentang Perak FC malam ini ke Tabung Darul Iman.

Ketua Pegawai Eksekutif TFCSB Mohd Sabri Abas berkata usaha itu adalah sebahagian daripada program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kelab bagi membantu golongan kurang bernasib baik.

Beliau berkata Tabung Darul Iman adalah satu tabung yang diwujudkan oleh kerajaan Terengganu bagi membantu rakyat ditimpa musibah atau kesusahan dengan kadar segera.

"TFC amat berterima kasih dengan sokongan padu yang ditunjukkan oleh rakyat Terengganu tidak mengira masa, sama ada di saat suka atau duka.

"Oleh itu kami ingin mengembalikan sokongan itu dengan memberi balik sumbangan kepada masyarakat. Setakat ini sebanyak 5,000 keping tiket fizikal telah terjual dan lima peratus daripadanya akan didermakan ke Tabung Darul Iman," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Sabri berkata diharapkan sumbangan berkenaan mampu meringankan sedikit beban golongan memerlukan.

“Saya harap peminat bola sepak Terengganu dapat hadir lebih ramai ke stadium pada masa akan datang bagi memberi sokongan dan membantu lebih ramai masyarakat yang memerlukan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan