SUKAN > BERITA

SKUAD BADMINTON JALANI 'TUISYEN' MALAM MENJELANG FASA KRITIKAL KE PARIS 2024

19/06/2024 02:44 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Skuad badminton negara bakal mengikuti kelas ‘tuisyen’ dengan menjalani latihan tambahan pada sebelah malam, pada ketika persediaan Sukan Olimpik Paris yang kini memasuki fasa kritikal.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky berkata latihan tambahan itu, akan diadakan dua atau tiga kali seminggu melibatkan semua pemain di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan ia atas permintaan pemain seperti beregu lelaki Soh Wooi Yik.

Namun, beliau berkata kekerapan latihan malam selain latihan sesi pagi dan petang itu, akan bergantung kepada keadaan dan kondisi pemain, kerana pihaknya tidak mahu mereka mengalami kecederaan atau sakit.

“Setakat ini, kita dah dapat dua atau tiga hari latihan tengah malam, tapi Jumaat ini belum dapat disahkan lagi kerana mungkin ada tempahan gelanggang dari pihak luar.

“Kita bagi keutamaan kepada pemain dalam RTG (program Road to Gold) untuk sebulan ini sehingga bertolak ke Perancis. Kita mungkin boleh ubah masa latihan, pemain lain juga harus faham,” katanya ketika ditemui di sesi latihan di ABM Bukit Kiara di sini, hari ini.

Skuad negara kemudian akan berkampung selama 10 hari di wilayah Aire Sur La Lys, Perancis bermula 10 Julai, menjalani kem latihan pra-Olimpik menjelang temasya terbesar dunia itu, yang bakal berlangsung dari 23 Julai hingga 11 Ogos ini. 

“Latihan pusat itu, untuk membiasakan diri dengan keadaan di sana (termasuk persekitaran dan perbezaan masa). Ia bagi memastikan pemain betul-betul bersedia dan fokus sepenuhnya, lokasinya juga di kawasan yang senyap,” tambahnya. 

Pemain BAM yang bakal beraksi di Olimpik Paris dalam usaha memburu pingat emas pertama negara ialah juara beregu lelaki dunia 2022 Aaron Chia-Wooi Yik, beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah dan beregu campuran nombor satu negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Malaysia turut akan diwakili dua pemain professional, iaitu juara bekas All England Lee Zii Jia (perseorangan lelaki) dan bekas juara Kejohanan Remaja Dunia Goh Jin Wei (perseorangan wanita). 

Sementara itu, Rexy berkata Wooi Yik mahu tinggal di ABM sehingga bertolak ke Perancis pada 10 Julai, supaya dapat memberikan fokus sepenuhnya dan mengelakkan gangguan.

“Satu keputusan yang cukup positif, dia sedar bahawa perlu masa untuk lebih fokus menjelang Olimpik. Mungkin berasa bahawa lebih tenang di sini berbanding di luar (rumah) dan jalani latihan tambahan,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan