SUKAN > BERITA

RUSLEM ZIKRY, NANI SAHIRAH DINOBAT OLAHRAGAWAN DAN OLAHRAGAWATI UPM

22/06/2024 12:49 AM

SERDANG, 21 Jun (Bernama) -- Atlet olahraga  Ruslem Zikry Putra Roseli dan Nani Sahirah Maryata masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Anugerah Sukan UPM edisi ke-38 di sini, hari ini.

Kemenangan tersebut membolehkan kedua-dua atlet kebangsaan itu membawa pulang piala pusingan, piala iringan, sebentuk jam tangan dan wang tunai RM 3,000 yang disampaikan oleh Naib Canselor UPM, Profesor Datuk Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah.

Ruslem Zikry yang merupakan atlet 400 meter (m) dan 400m berpagar itu mengenepikan lima calon lain iaitu Wan Azley Wan Omar (ragbi) Muhammad Hafizie Sudin (ragbi) Adam Ariff Alias (ragbi) Kamal Farhan A. Rahman (olahraga) dan penembak negara Haritz Iklil Hessly Hafiz.

Bercakap kepada pemberita, Ruslem Zikry mengakui terkejut memandangkan pesaing kategori sama mempunyai rekod hebat menerusi pencapaian dalam kejohanan sebelum ini. 

“Ini adalah rezeki buat saya dan batu loncatan buat saya untuk terus melangkah lebih jauh untuk kejohanan akan datang terutama AUG (Sukan Universiti ASEAN),” katanya.

Sementara itu, saingan kategori wanita menyaksikan Nani yang merupakan pemegang rekod kebangsaan acara lontar peluru menewaskan Mandy Goh Li (olahraga), Azreen Nabila Alias (olahraga) Nurul Ashikin Abas (olahraga), Nor Asfarina Isahyigiqa Isahhidun (hoki) dan atlet karate, Siti Nur Azwani Nor Azli.

Nani pula mengakui kejayaan merangkul gelaran Olahragawati UPM menjadi ‘tonik’ buatnya memecahkan rekod kebangsaan miliknya dengan menyasarkan lontaran sejauh 15.22m di AUG 2024. 

“Saya nak balas dendam dekat AUG sebab dekat Terbuka Malaysia sebelum ini tak dapat buat (lontaran terbaik). Jadi doakan saya supaya dapat buat dekat sana (AUG),” katanya.

Antara pencapaian tertinggi Ruslem Zikry ialah meraih pingat emas dan pingat perak dalam Kejohanan Terbuka Singapura 2023 manakala Nani pula berjaya meraih pingat gangsa Sukan SEA Kemboja selain mencipta rekod baharu kebangsaan di Kejohanan Terbuka Perak 2023.

Selain itu, Anugerah Bintang Harapan Lelaki UPM 2023 dirangkul pemain ragbi negara, Adeen Imann Mat Baharuddin manakala pemanah negara, Nur Ain Ayuni Fozi menyandang Anugerah Bintang Harapan Wanita.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan