SUKAN > BERITA

BOCCIA ANTARA SANDARAN SUMBANG EMAS DI SUKAN PARALIMPIK PARIS 2024 - MPM

09/07/2024 07:04 PM

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Boccia menjadi antara sukan sandaran kontinjen negara untuk melengkapkan sasaran empat pingat emas di Sukan Paralimpik Paris 2024 berlangsung pada 28 Ogos hingga 8 Sept ini.

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin berkata selain boccia, sukan lain yang pernah membutirkan emas pada temasya itu ialah olahraga, powerlifting dan badminton kekal menjadi sasaran penyumbang pingat.

“Atlet mana yang disasarkan menang emas, kita belum maklumkan lagi. Kita akan umumkan secara rasmi selepas mesyuarat jawatankuasa  pemilihan nanti,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran 50 Days Countdown Paris 2024 Paralympic Games di sini hari ini.

Setakat ini, kontinjen negara telah menyumbang enam emas di Sukan Paralimpik dengan dua daripadanya diperoleh menerusi jaguh olahraga para negara Datuk Abdul Latif Romly pada edisi Rio 2016 dan Tokyo 2020 dalam acara lompat jauh T20.

Dua lagi atlet olahraga turut mencipta kejayaan sensasi membawa pulang emas pada edisi Rio 2016 iaitu Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (100m T36) dan Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru T20) manakala Bonnie Bunyau Gustin (powerlifting) dan Cheah Liek Hou (badminton) menambah koleksi emas negara pada Tokyo 2020.

Pada edisi Tokyo 2020, Chew Wei Lun melakar sejarah tersendiri apabila muncul atlet pertama dari sukan boccia yang menyumbang pingat perak bagi acara BC1 (kecacatan fizikal) selepas tewas kepada wakil Great Britain, David Smith 2-4.

Pada Mac lepas, Megat D. Shahriman berkata MPM mahu mencipta sejarah dengan menyasarkan empat emas di Paris sekali gus mencapai misi emas ke-10 Malaysia sepanjang penyertaan mereka di temasya Sukan Paralimpik.

Sementara itu, Megat D. Shahriman mengumumkan setiap atlet yang layak ke Sukan Paralimpik 2024 akan menerima sebuah kerusi urut dan beberapa barangan lain manakala ganjaran berupa hadiah wang tunai menanti pemenang pingat di Paris diberikan penaja dari syarikat berasaskan produk kesihatan, Zero Healthcare.

Dalam pada itu, Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Paralimpik 2024 Datuk R Subramaniam menjangkakan empat lagi atlet bakal mengikut jejak 25 atlet yang telah melayakkan diri ke Paris.

Beliau yang juga Setiausaha Agung MPM berkata empat atlet berkenaan terdiri daripada tiga atlet powerlifting manakala seorang lagi dari sukan berbasikal para.

Katanya, pengumuman rasmi mengenai penambahan atlet  akan diumumkan selepas berakhirnya mesyuarat jawatankuasa pemilihan minggu depan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan