SUKAN > BERITA

KONSISTENSI KUNCI KEJAYAAN PEMAIN BADMINTON NEGARA DI PARIS 2024

25/07/2024 10:13 AM

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Sukan Olimpik 1992 di Barcelona memahat sejarah buat sukan tanah air apabila beregu lelaki ketika itu, Datuk Razif Sidek-Datuk Seri Jalani Sidek muncul wakil sulung negara merangkul pingat pada temasya sukan berprestij tersebut.

Pencapaian membanggakan gandingan adik-beradik itu sememangnya mencetus inspirasi buat para pemain lain untuk meraih kedudukan podium buat negara kerana semenjak itu, sukan badminton sering membawa pulang pingat buat negara di Sukan Olimpik kecuali pada edisi Sydney 2000 dan Athens 2004.

Secara keseluruhannya, kem badminton telah menyumbang sembilan pingat terdiri daripada enam perak dan gangsa, namun kilauan yang diharapkan masih belum dapat direalisasikan.

Bagi meneruskan legasi kecemerlangan badminton dan buruan emas sulung negara di pentas Olimpik, Paris 2024 menyaksikan Malaysia mempertaruhkan lapan pemain termasuk pemenang pingat gangsa Tokyo 2020, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia.

Reputasi selaku pemenang pingat gangsa edisi lepas dan gelaran juara dunia 2022 amat ditagih skuad badminton untuk membawa pulang emas pada edisi di Paris kali ini.

Peluang nampak lebih cerah untuk beregu negara melepasi halangan peringkat awal apabila diundi dalam Kumpulan A, bersama pilihan utama dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang, Ben Lane-Sean Vendy dari England dan beregu Kanada. Adam Dong-Nyl Yakura.

Pasangan China dijangka menjadi halangan terbesar gandingan negara berdasarkan rekod pertemuan yang berpihak kepada Wei Keng-Wang Chang, manakala laluan lebih mudah jika Aaron-Wooi Yik berjaya mengetepikan Lane-Vendy dan Adam-Yakura.

Tumpuan turut terarah kepada Zii Jia, yang merangkul dua gelaran iaitu Terbuka Thailand pada Mei dan Terbuka Australia bulan lepas.

Kejayaan itu pastinya menyuntik semangat pemain berusia 26 tahun itu untuk menebus kehampaan selepas tersingkir awal pada penampilan sulungnya di Sukan Olimpik Tokyor 2020, tewas kepada jaguh dari China, Chen Long.

Zii Jia dijangka tidak berdepan masalah mengungguli Kumpulan G selepas diletakkan bersama pemain di ranking ke-72 dunia dari Sri Lanka, Viren Nettansinghe dan juga pemain ke-63 dunia dari Sepanyol, Pablo Abian.

Kemampuan pemain di ranking ketujuh dunia itu hanya akan teruji di pusingan penyingkiran, dijangka akan berdepan wakil Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting diikuti Anders Antonsen dari Denmark di suku akhir, pilihan utama dari China, Shi Yuqi di separuh akhir dan menghadapi juara bertahan dari Denmark, Viktor Axelsen di final.

Sementara itu, tiga lagi wakil negara iaitu beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, beregu wanita Pearly Tan-M. Thinaah dan pemain perseorangan wanita profesional Goh Jin Wei bakal membuat penampilan sulung pada temasya sukan berprestij berkenaan.

Tang Jie-Toh Ee Wei berpeluang cerah untuk layak ke peringkat seterusnya apabila diundi dalam Kumpulan D bersama pilihan kedua dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping, beregu Amerika Syarikat, Vinson Chiu-Jennie Gai dan Terry Hee Yong Kai-Jessica Tan Wei Han dari Singapura.

Tugas berat menanti pasangan ranking ke-13 dunia itu apabila berdepan pilihan utama dan pemenang pingat perak di Tokyo 2020, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dari China, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara (keenam) dari Jepun dan Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti (kesembilan) dari Indonesia dalam Kumpulan A.

Biarpun dibelenggu masalah kesihatan di bahagian perut, namun Jin Wei perlu memiliki semangat juang tinggi bagi melawan ‘musibah’ dialaminya dan membuktikan dirinya tidak hanya sekadar ‘makan angin’ di Paris.

Jin Wei, juga perlu membuktikan kebolehannya dengan menampilkan persembahan terpuji pada aksi Kumpulan H bersama Kim Ga Eun dari Korea Selatan dan pemain Afrika Selatan, Johanita Scholtz, walaupun tidak ditemani jurulatih Nova Armada di Paris susulan kad akreditasi yang terhad buat kontinjen negara.

Mengikut format pertandingan, hanya juara kumpulan bagi acara perseorangan, manakala dua pasangan teratas setiap kumpulan  bagi beregu mara ke peringkat penyingkiran.

Saingan badminton akan membuka tirai pada 27 Julai hingga 5 Ogos dan para pemain kini sudah pasti 'sibuk’ mencongak strategi akan digunakan dalam usaha mengekalkan konsistensi demi mencipta kejayaan cemerlang di Paris.

Sukan Olimpik 2024 akan dibuka secara rasmi esok sehingga 11 Ogos ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan