SUKAN > BERITA

TFC SASAR SATU MATA DI SSI

25/07/2024 11:07 AM

KUALA NERUS, 25 Julai (Bernama) -- Terengganu FC (TFC) menyasarkan satu mata untuk dibawa pulang dari Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri malam esok.

Ketua jurulatih TFC Tomislav Steinbruckner berkata anak buahnya telah bersedia mental dan fizikal untuk menghadapi pasukan terkuat negara, Johor Darul Ta'zim (JDT) bagi perlawanan kelima Liga Super musim ini.

Steinbruckner yakin walaupun tanpa kehadiran dua tonggak utama, Muhammad Safawi Rasid dan Akhyar Rashid, skuad Penyu mampu meraih sekurang-kurangnya satu mata sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah dalam lapan perlawanan termasuk Liga Super dan Piala FA.

"Ketiadan Akhyar dan Safawi akan dirasai, tetapi kita ada pemain lain yang akan mengambil tempat mereka.

“Untuk masa ini, saya fikir Nur Hakim (Nur Hakim Hassan) akan mula… tidak tahu, mungkin pada saat akhir saya akan lakukan perubahan.

Ia bergantung pada keadaan, kita akan lihat siapakah pemain kedua, mungkin satu lagi pada bahagian tengah… atau mungkin satu lagi di bahagian tengah pertahanan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Kompleks Sukan Gong Badak, di sini petang semalam.

Dalam pada itu, Steinbruckner berkata skuad Penyu juga tidak akan menggunakan kaedah bertahan atau 'parkir bas' ketika bertemu juara 10 kali berturut-turut Liga Super itu nanti.

Sebaliknya, pengendali berusia 58 tahun itu mahu anak buahnya bermain secara agresif dan mengelak kesilapan ketika melakukan serangan.

"Jika mahu satu mata, kami mesti bermain seperti mahu tiga mata menentang JDT dan sudah tentu kami tahu ia adalah sukar disebabkan kualiti pemain JDT terutamanya di halaman sendiri.

"Tetapi anda tahu, tidak bagus jika hanya bertahan. Kami mesti mempamerkan corak permainan serangan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan