SUKAN > BERITA

HOMEGIRLS LAYAK KE SUKU AKHIR MIW PIALA DUNIA E-SUKAN

25/07/2024 01:51 PM

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Pasukan Mobile Legend Bang-Bang (MLBB) wanita negara HomeGirls Gaimin Gladiators menempah slot ke suku akhir Kejohanan Jemputan MLBB Wanita (MIW) 2024 Piala Dunia E-sukan di Riyadh, Arab Saudi selepas menamatkan saingan kumpulan C di kedudukan kedua awal pagi tadi.

Jurulatih HomeGirls Muhammad Farhan Ibrahim atau lebih dikenali dengan nama Sora berkata meskipun anak buahnya gugup pada aksi pertama peringkat kumpulan, namun mereka berjaya mengatasi masalah tersebut untuk layak ke pusingan seterusnya.

“Sebahagian daripada pemain kami menyertai pertandingan antarabangsa untuk pertama kali dan sebagaimana anda tahu, piala dunia e-sukan merupakan kejohanan berprestij, jadi mereka kadangkala merasa cemas dan komunikasi antara mereka agak kucar-kacir pada permainan pertama.

“Kami berjaya memperbaiki masalah itu dan fokus pada permainan seterusnya.

“Buat masa ini, saya fikir pemain-pemain telah menyesuaikan diri dengan keadaan dan telah bersedia untuk pusingan seterusnya,” katanya selepas perlawanan akhir kumpulan C hari ini.

Pada aksi yang berlangsung di  Amazon Arena itu, HomeGirls yang turun menentang pasukan dari China Tidal legend Gaming pada perlawanan pertama berjaya meraih keputusan seri 1-1 dalam aksi yang menggunakan format terbaik dari dua.

Skrip sama turut ditampilkan pada perlawanan kedua menentang Juara Dunia dari Indonesia Team Vitality apabila pasukan dari Malaysia itu berjaya bangkit setelah tewas permainan pertama untuk memenangi permainan kedua.

Kejayaan HomeGirls layak ke pusingan akhir menyaksikan pasukan itu sah akan menamatkan saingan di kedudukan lapan terbaik dan membawa pulang wang tunai sekurang-kurangnya AS$25,000 (RM116,000).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan